Sunday, July 17, 2011

UMNO.PMO,media Dan Berih 2.0

Oleh Syed Imran

Seorang pemimpin UMNO kurang senang kerana saya menyiarkan foto pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam blog ini yang ber kaitan bantahan jalanan oleh Bersih 2.0 pada 9 Julai. Saya tidak hairan dan terperanjat dengan sikapnya itu kerana itulah pemikiran mereka yang selalunya berada dalam kotak.

Adalah menjadi hak mutlak saya sebagai seorang pengamat bebas yang menulis secara bebas tanpa menerima petunjuk ataupun arahan daripada mana-mana pihak jauh sekali menerima upah atau bayaran.



Kepada saya, foto itu cukup berharga, tidak kiralah sama ada ia satu lakonan Anwar, seperti yang dikata oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, atau ia benar-benar berlaku.

Saya sedar bahawa foto itu tidak akan mendapat tempat dalam mana-mana akhbar arus perdana ataupun stesen-stesen tv yang sama ada dikuasai, dikawal atupun dimiliki oleh parti-parti politik pendokong pemerintah atau syarikat-syarikat yang dimiliki mereka.

Foto itu disebar ke seluruh dunia oleh agensi berita Reuters kerana ia mempunyai nilai berita.

Apabila saya menyiarkan foto itu bersama-sama foto lain yang dikutip daripada laman-laman sesawang akhbar The Star dan Malaysiakini, saya memberi peluang kepada pembaca blog untuk mengamati mengenai apa yang berlaku.

Seperti yang saya katakan awal lagi, saya adalah seorang penulis bebas, saya tidak bekerja untuk mana-mana pihak dan jauh sekali menerima arahan sama ada secara lisan atau bertulis daripada Pejabat Perdana Menteri atau PMO seperti yang berlaku ke atas akhbar dan media arus perdana. Oleh itu, apa yang saya tulis mungkin tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu, saya tidak kisah kerana itu hak mereka.

Sebagai seorang yang pernah bertugas dengan agensi berita kebangsaan Bernama selama 27 tahun dan hampir lima tahun sebagai setiausaha akhbar kepada menteri di JPM, saya cukup masak dan sedar akan 'arahan' yang sering diterima oleh media daripada PMO, tetapi ia tidaklah sehebat apa yang berlaku sebelum bantahan jalanan oleh bersih 2.0.

Seperti yang disiar oleh media dalam talian Malaysia Today pada 11 Julai, media arus perdana dan hampir semua media pro-pemerintah menerima petunjuk dan pesanan daripada PMO berkaitan isu Bersih, untuk perhatian dan tindakan, di mana perlu.

Petunjuk dan pesanan itu, yang lebih merupakan 'arahan' berpunca daripada apa yang diputuskan oleh Biro Politik UMNO, iaitu biro paling berpengauh dan 'berkuasa' dalam UMNO. Apa yang diputuskan oleh biro yang dipengerusi oleh Najib itu lazimnya menjadi 'dasar' atau 'hala tuju' pemerintah.

Petunjuk dan pesanan bertulis itu yang disebut sebagai 'nota' diedarkan kepada media oleh ketua pasukan komunikasi kebangsaan di PMO, Abdul Jalil Hamid, mantan wartawan. Nota itu menggarisi panduan dasar dan apa yang harus dibuat dan dielak oleh media dalam menangani isu Bersih 2.0.

Antara 'nasihat' yang disampaikan kepada media termasuklah memberi gambaran buruk terhadap pertubuhan dan pemimpin-pemimpin penting Bersih, mengulang sebut bahawa ia adalah perhimpunan haram dan mereka yang mendokong Bersih adalah pengacau dan cuba mencabar Perlembagaan dan undang-undang untuk mendapat pulangan politik.

Media juga diminta membangkitkan kebimbangan di kalangan rakyat bahawa Bersih bekerja untuk kepentingan anasir-anasir luar negara yang cuba menggugat kestabilan negara. Bersih sebenarnya tidak bersih kerana ia adalah perkumpulan haram yang hanya ingin menimbulkan kacau bilau.

Kementerian Dalam Negeri perlu tegas dengan kuasanya ke atas media agar mereka tidak tersasar dari landasan manakala polis akan bertindak ke atas penganjur Bersih berlandaskan ratusan laporan yang dibuat di seluruh negara.

Media juga diminta mengutamakan berita yang berkisar kepada bagaimana perniagaan, peniaga-peniaga kecil, pelancongan dan orang ramai yang akan terjejas akibat rancangan Bersih dan mempersoalkan dari mana Bersih mendapat dana untuk mengadakan tunjuk perasaan itu.

Tiga tokoh utama akan dijadikan 'mangsa' sasaran iaitu Anwar, timbalan presiden PAS Mat Sabu yang dilabel sebagai budak suruhan Anwar dan tali barut DAP dan pengerusi Bersih S. Ambiga. Media diminta guna foto Ambiga bersama-sama pemimpin Pakatan Rakyat untuk menunjukkan keakrabannya dengan mereka.

Media juga diminta mengurangkan penggunaan 'muka-muka yang sama' iaitu Zulkifli Nordin, Zahrain Hashim dan Ibrahim Ali selaku 'alat serangan' tetapi cuba cari muka-muka baru di kalangan Pemuda BN dan NGO tertentu. Stesen-stesen tv akan terus menyiarkan imej demonstrasi-demonstrasi ganas yang berlaku di luar negara.

Sekarang pembaca sudah pasti tahu kenapa stesen-stesen tv selalunya mewawancara Zulkifli dan Zahrain, dua orang mantan wakil rakyat PR yang kini bersifat wakil rakyat bebas mesra BN, apabila pihak media ingin menghentam pemimpin pembangkang tertentu. Saya yakin Zulkifli dan Zahrain akan mendapati amat sukar untuk mempertahan kerusi masing-masing pada PRU akan datang, itupun jika mereka dipilih oleh BN untuk bertanding atau bertanding atas tiket bebas.

Saya tidak mahu mempersalahkan sepenuhnya ketua-ketua pengarang, pengarang bersekutu, pengarang kumpulan mahupun pengarang media arus perdana yang hampir semuanya bergelar datuk dan datuk seri semata-mata kerana mematuhi apa yang diminta oleh PMO. Mereka semestinya dan seharusnya ingin pertahan kedudukan, jawatan dan habuan bulanan kerana bukan mudah untuk menduduki kerusi masing-masing apatah pula keselesaan dan kemewahan.

Yang perlu diingati ialah kuasa yang ada pada rakyat, bukan kuasa yang ada pada PMO, KDN, PDRM ataupun SPR. Jika rakyat puas hati dengan pencapaian BN, maka mereka akan mengekalkan kuasa pemerintah kepada gabungan itu dan jika mereka memilih PR, maka akan berubahlah segala-galanya termasuk kedudukan para pengarang media arus perdana.

http://kudaranggi.blogspot.com

Adegan yang terharu buat 1Malaysia: "Bagi Cina semua keluar dulu, kita jalan nanti"

Oleh: jiannge

Pada 9 Julai 2011, saya menyertai perhimpunan aman BERSIH 2.0. Saya dibasahi hujan, dua hari keletihan dan saya merehatkan diri selama dua hari, sekarang barulah ada mood untuk mencatatkan perasaan saya. Ramai warga internet telah menulis kisah 709 masing-masing, maka saya cuma nak mencatatkan adegan-adegan yang memahat hati sahaja.

1. Saya berkenalan dengan kawan Melayu baru. Seorang ahli PAS yang berpengalaman dalam demonstrasi sebelumnya memegang tangan saya, "Terima kasih kerana sokongan kamu (orang Cina)". Saya menjawab, "Ini usaha yang saya patut lakukan. Ini negara saya juga." (Rupa-rupanya dari pandangan mereka, orang Cina hanya mengaut keuntungan dan mengutamakan keuntungan sahaja. Jadi mereka amat gembira apabila ternampak dua tiga wajah orang Cina.)

2. Seorang uncle Cina membawa isterinya dan dua orang anak yang usianya kira-kira 20 tahun. Tinggi, kurus dan kelihatan lemah. Beliau memesan anaknya, "Cepat, cepat ikut mereka (kelompok orang). Apa takut? Bukan suruh kita pergi mati pun? Jangan takut, kita bukan orang besar. Sekarang bilangan orang yang diperlukan (perhimpunan), kita mesti sokong!" (Kebanyakan ibu bapa akan memarahi anak mereka, agar tidak terlibat dalam perhimpunan. Mengapa pula keluarga ini "terbalik" keadaannya?)

3. Seorang Melayu yang agak lanjut usianya berkata kepada beberapa orang pemuda Cina, "Kita mahu tunjuk perasaan , bukan kemarahan." (EQ pemuda Melayu lebih tinggi daripada orang Cina kali ini, memang cukup kelayakannya untuk berkata sedemikian.)

4. Sepasang suami isteri membawa dua orang anak, yang usianya kira-kira 8 hingga 10 tahun, mengambil makanan ringan di atas tangga. Hati saya berfikir, "Berkelah ke?" Wanita Melayu itu menatap saya, seolah-olah memahami apa yang bermain dalam fikiran saya. Maka beliau senyum dan berkata, "Kami nak mereka tahu, dari kecil lagi, malah belajar bagaimana memperjuangkan demokrasi." (Lantas saya mengangguk-angguk kepala saya, agak malu dengan diri saya yang memandang rendah orang tadi.)

5. Sepasang suami isteri Melayu yang lanjut usianya, mengeluarkan topeng yang kelihatan seolah-olah alat mainan dari beg plastiknya, dengan tangan yang bergetar. Mereka dengan ghairah berkata kepada saya, "Kami ada buat persediaan, kamu ada?" (Hati saya berfikir, memang kamu perlukannya, sebab kamu tak dapat lari dengan cepat!)

6. Sepasang suami isteri Cina yang muda, bukan sahaja turun ke jalan raya, malah membawa kereta bayinya. Mereka memakai baju hujan semasa air hujan mencurah dari langit. Malah, kereta bayinya sudah disediakan dengan kain kalis air. Dengan cepat saya menutup kereta bayinya, kemudian bersama dibasahi hujan di situ. (Bayi pun turut serta dalam perhimpunan, comel juga bayi tu!)

(Selepas saya balik, saya menceritakan kisah ini kepada jiran saya. Makcik-makcik itu mencelah, "Aiyoh, buat apa pergi demo? Apa kena-mengena dengan kita? Memang tak ada otak langsung. Bawa bayi pulak? Mengapa tidak kamu marahnya?" Saya berbisik dalam hati, "Aunty, saya terasa nak marah kamu...")

7. Seorang Mat Salleh nampak saya mengejar untuk merakamkan gambar bagaimana FRU menyuraikan orang ramai. Beliau berlari mengikut saya, malah berulang-kali berkata kepada saya, "You must put it in the media." (Brother, kamu terlebih memandang tinggi teknik sayalah. Saya bukannya pro (profesional) sangat...)

8. Kawan Melayu saya memberitahu saya, dirinya mempunyai pengalaman yang banyak untuk berdemonstrasi - bagaimana beliau tidak gentar dengan kuasa, bagaimana bertahan sehingga akhir, malah beliau berjanji untuk menjaga saya. Ketika gas pemedih mata ditembak untuk pusingan pertama, beliau menarik saya dan berlari. Dalam hati saya tertanya-tanya, "Bukankah kamu kata nak bertahan sampai ke akhir?"

Selepas kami keluar dari kelompok manusia, beliau menunjuk ke satu arah, "Kamu jalan dari sini. Tunggu kami di Stadium Merdeka. Kami akan berjumpa kamu di sana. Hubungi kawan yang lain. Bilangan yang menyertai perhimpunan dah mencukupi sekarang. Saya percaya polis akan lebihkan serangannya. Kamu tak boleh singgah di sini."

Saya bertanya, "Macam mana kamu pula?" Dia jawab, "Saya nak ke baris depan, bersama kawan saya." Seterusnya, beliau memaling dan melangkah menuju ke kepulan asap gas pemedih...

Akhirnya, saya berhimpun dengan kawan saya di tempat yang berhampiran dengan stadium, dan menyertai perarakan terakhir yang menuju ke Stadium Merdeka. Polis mengejar dan menangkap. Saya tidak lagi menemui kawan Melayu saya itu lagi. Saya dimaklumkan kemudiannya bahawa beliau telah ditangkap, bagaimanapun dibebaskan juga akhirnya.

Nota akhir:


Saya membaca pengalaman ramai peserta, termasuk cerita Aunty Anne yang membuatkan saya terharu. Tetapi saya tidak menitiskan air mata, sehingga saya terbaca catatan seorang warga internet,

"Adegan yang paling memahat ingatan saya sepanjang perhimpunan itu adalah, ketika kami sekumpulan orang melarikan diri dari tangkapan polis melalui pagar di belakang Hospital Tung Shin, orang Melayu menendang pagar itu dengan kakinya, dan berkata 'Bagi Cina semua keluar dulu, kita jalan nanti'. Kata-kata ini terus menusuk hati saya, saya amat terkagum! Kini barulah saya menghayati apa makna sebenarnya 'saling menolong tanpa mengira kaum dan budaya dalam Satu Malaysia', dan bukannya '1 Bumi, 1 Malaysia' yang didukung Barisan Nasional'. "

Tiba-tiba saya sebak. Saya tahu apa yang dikatakannya adalah kisah benar, ini kerana kawan Melayu saya juga menjaga saya. Lebih-lebih lagi, kawan saya dalam Facebook rata-ratanya menceritakan pengalaman bagaimana sahabat Melayu menjaga orang Cina kali ini. Mungkin mereka menganggap orang Cina jarang menyertai perhimpunan, tiada pengalaman.

Mengapa saya tersentuh dengan hal yang remeh sebegini? Kerana saya amat memahami, orang Cina adalah kaum minoriti di Malaysia. Seandainya minda perkauman ini tidak dipecahkan, orang Cina akan tetap ditindas dan tidak dilayan dengan adil. Namun, kerajaan kita bersikap perkauman, ditambah pula PERKASA yang melaga-lagakan, hal ini sukar diselesaikan!

Perhimpunan ini melakar gambaran masa depan untuk saya, malah mengubah persepsi saya terhadap kaum Melayu secara menyeluruh. Seandainya dikatakan negara ini musnah kerana politikus dari kaum ini, maka negara ini juga akan bangkit kerana kaum ini! Saya masih menaruh harapan dan keyakinan terhadap kaum ini dan negara ini.

Kawan-kawan Cina saya, perhimpunan aman tidak menakutkan. Jom turun untuk sokong lain kali!

Friday, July 15, 2011

Adakah Bersih pertubuhan haram?

Oleh Haji Abdul Subky Latif

Semua golongan yang anti Bersih 2.0 melebelkan Bersih 2.0 yang mengahttp://dinmerican.files.wordpress.com/2011/06/bersih.gifnjurkan demonstrasi untuk pilihan raya bersih dan adil sebagai gerakan atau pertubuhan haram.

Ketua pegawai RoS — Pejabat Pendaftaran Pertubuhan — pun membuat kenyataan ia pertubuhan haram kerana ia didaftarkan.Bersih 2.0 bukan satu pertubuhan. Ia adalah satu komiti ad hoc yang sepakati oleh beberapa pertubuhan NGO bagi menyelaraskan satu tunjuk perasaan pada 9 Julai 2011 dan selepas itu tugasnya selesai.



Seperti penganjur malam menyambut tahun baru di Dataran Merdeka. Ada badan komiti yang menganjurkannya. Selepas sambutan itu selesai, habislah tugasnya.

Bagaimana pun antara badan bebas yang mengatakan Bersih tidak haram ialah Suhakam yang dipengurusikan oleh bekas Duta Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ia bertegas mengatakan kegiatan itu tidak salah diadakan dan polis wajar memberikan kerjasama supaya ia berjalan lancar.

Tidak berbangkit ia menimbulkan kekacauan. Kekacauan itu satu andaian yang belum dibuktikan. Andaian boleh jadi betul dan boleh jadi tidak. Justseru itu kerjasama polis dikehendaki supaya kekakcauan itu tidak berlaku.

Kalau polis boleh mengambil langkah menghalang kumpulan dakwah hendak menggagalkan pesta hiburan yang mencabul kesucian agama, maka polis wajar bersikap sama dalam kegiatan seperti Bersih 2.0 itu.

Oleh kerana penyokong-penyokong kerajaan yang anti Bersih menempelaknya haram, semua yang di bawah kerajaan termasuk polis dan penulis khutbah Jumaat pun ikut mengatakan ia haram.

Jika ia haram bagai Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima mengadap tiga orang wakil Bersih di Istana Negara bagi mencari jalan keluar dalam kebutuan isu itu?

Yang di-Pertuan Agong mesti bertindak betul dalam semua perkara. Kedudukannya yang tinggi dan mulia tidak boleh dicemari oleh sebarang kelemahan dan kesilapan.

Maka tidak wajar bagi Yang di-Pertuan Agong mencemar dulu bagi menerima mengadap satu kumpulan pertubuhan haram. Istana akan dikira menjatuhkan martabatnya.

Ada pun Yang di-Pertuan Agong tidak bebas bertindak sendiri dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan awam. Hatta untuk menerima jemputan kahwin pun mesti mendapat nasihat kerajaan semasa.

Tidak boleh sebarang orang datang mengadap baginda tanpa badan protokol yang biasanya mendapatkan pandangan dari Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya Perdana Menteri tahu berkenaannya.

Perdana Menteri Najib tahu Pengerusi Bersih 2.0 Ambiga hendak mengadap Yang di-Pertuan Agong. Dengan siapa Ambiga datang juga mesti dimaklumkan.

Tidak mungkin Ambiga, Datuk Samad Said, Sasterawan Negara bersama Zaid Kamaruddin boleh masuk ke Istana Negara tanpa persetujuan Perdana Menteri.

Ambiga membuat permintaan menemui Seri Peduka itu dalam suasana panas dan begitu banyak gesaan supaya dia dikenakan ISA dan status kerakyataan juga dipersoal. Dalam keadaan seperti itu tidak mudah bagi Yang di-Pertuan Agong membuka pintu Istana dan tidak sesenang itu bagi Perdana Menteri menyetujuinya.

Tetapi Yang di-Pertuan Agong menerima mereka mengadap dan Perdana Menteri tidak pula bertindak menyekatnya.

Padahal Ibrahim Ali dari Perkasa juga sebok untuk mengadap Istana. Apabila Ibrahim mengumumkan dia membatal hajatnya, ia tanda pintu Istana tertutup untuknya.

Apabila Yang di-Pertuan Agong mencemar duli menerima mereka, maka dengan sendiri ia membersihkan Bersih dari segala gambaran memburuk-burukkannya. Gambaran yang memburukkannya sebagak haram itu dengan sendirinya terangkat.

Jika Bersih dan Ambiga difitnahkan haram juga, ia seperti menyindir Istana dan tidak mengambil kira sikap yang Istana ambil.

Ambiga telah mengambil sikap menghormati Raja dan mendengar pandangan baginda lalu mengubah sikap bersedia membatalkan pertemuan di tengah bandar tetapi mengalih ke Stadium Merdeka.

Anti Bersih berdegil, terus dengan sikapnya, tidak menghiraukan kunjungan Ambiga ke Istana.

Perdana Menteri pula langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi terbuka. Dia terus menyamakan Ambiga dan Bersih seperti sebelum menermui Yang di-Pertuan Agong.

Sekali pun dia yang mencetuskan idea supaya kegiatan itu dialihkan ke stadum, dia membisu, sama seperti membaling batu sembunyi tangan.

Ada tanda-tanda Perdana Menteri tidak tahu bertindak.

Saya terpegun melihat polis memukul Melayu

Oleh Daniel Low

Saya masih ingat, semasa zaman sekolah rendah, seorang budak Melayu yang gemuk dan comel menjadi sahabat baik saya. Bersama kami pergi dan balik dari sekolah, bersama kami bermain guli, buat bising, bersohttp://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2011/07/Polis-Bersih.jpgrak. Ada sekali dia memberitahu emak saya bahawa saya membeli makanan ringan secara senyap-senyap di sekolah, dan saya dimarah emak saya selepas itu. Saya sangat marah pada ketika itu, namun akhirnya saya berbaik-baik juga dengannya.



Namun, sepanjang saya membesar, saya disosialisasikan dalam masyarakat Cina di Malaysia. Ada perkara yang didedahkan kepada saya. Maka kasih dan sayang saya pada kaum Melayu berbaur dengan rasa benci. Benci dan ketakutan menyelubungi saya untuk 20 tahun. Dan pada 9 Julai 2011, kebencian dan syak wasangka saya terhadap orang Melayu yang terpendam dalam hati saya telah di-nyahkan!

Empat hari sebelum perhimpunan, saya mengambil keputusan untuk menyertai perhimpunan ini. Yang paling membimbangkan saya ialah keluarga dan teman wanita saya. Saya yakin mereka tidak akan bersetuju dengan saya. Untuk dua hari saya runsing hal ini. Akhirnya saya membuat cubaan berani untuk mengajak teman wanita saya pergi bersama. Saya memberitahu bahawa itu kekuatan yang diletakkan Tuhan dalam hati saya. Saya harus berbuat demikian. Anggaplah kami pergi dating sambil berarak. Saya telah bersedia untuk dihujani teguran atau nasihatnya.

Dia tanya kepada saya, betul nak pergi? Saya jawab, "Betul..." Dan dia bersetuju dengan saya! Pada saat-saat itu saya terperanjat, menatapnya dengan mata yang terbeliak. Kemudian ketakutan mula menular dalam hati saya. Kerana, betul kami nak pergi ni....

Kami adalah penganut kristian. Kami berdoa sebelum bertolak. Semestinya kami rasa gelisah dan takut. Pernahkah kami goyah? Ya, malah sepanjang perjalanan dari Rawang ke Kuala Lumpur dalam komuter, kami masih tertanya-tanya dalam perbualan kami, betulkah pilihan kami untuk menyertai perhimpunan ini? Bagaimana kalau kami ditangkap? Tapi rasa terharu dalam hati kita itu akhirnya mengatasi ketakutan yang menghalang kami untuk terus mara.

Wanita Melayu yang hamil


Ada satu adegan yang membuatkan kami amat terharu. Sepasang suami isteri Melayu muda memakai "baju kuning" bersama, dengan si isterinya yang sudah mengandung. Mereka menggalas misi yang cukup penting untuk ke dalam pusat bandar. Si suami menunggu di luar bilik air sementara isterinya di dalam. Saya nampak kegusarannya. Beliau memegang kedua-dua tangannya dengan rapat, mencangkung di situ. Sebaik sahaja isterinya keluar, beliau bangkit dan memegang tangan isterinya, dan sama-sama menaiki jejambat.

Di penghujung sana kelihatan sekumpulan anggota polis sedang menunggu. Kesudahannya diduga. Pasangan suami isteri tadi tidak diberi laluan. Walaupun saya nampak mereka agar terkilan, tetapi saya yakin mereka tidak pasrah begitu sahaja. Cuba fikirkan, apakah yang mendorong seorang isteri yang hamil untuk mengambil risiko bersama suaminya? Takkan mereka tidak sedar bahawa diri mereka mungkin ditangkap, dibelasah? Tapi siapa yang sedar, apa yang mereka terpaksa berkorban, untuk tujuan ini?

Kami pula diberi laluan, kerana berpakaian putih. Sepanjang jalan kami dapati banyak trak polis, tetapi tidak sempat untuk dikira berapa bilangannya. Ini gambaran yang hanya dapat ditonton dalam filem. Ramainya polis, tetapi saya langsung tidak merasakan diri saya selamat!

Jalan raya menjadi sunyi dan sepi. Kami seolah-olah sampai di kawasan bencana. Air muka manusia juga pelik. Semacam hari kiamat.

Kami melangkah dengan cepat, akhirnya sampai di kawasan berdekatan dengan Hospital Tung Shin. Tak sempat kami berkumpul dengan kelompok manusia di sana. Sebaris trak polis berhenti di situ. FRU berbaris membentuk tembok halangan, seolah-olah untuk melindungi kami. Tapi kami sedar apa tujuannya. Kami gagal melakukan apa-apa mendengar jeritan dari orang di sebelah sana.

Berkecai konsep "kerajaan tolong muslim sahaja"

Pada ketika ini, saya melepaskan tangan teman wanita saya. Saya melangkah ke depan. Kerana saya ternampak satu adegan, yang membuatkan saya malu dengan diri saya. Dengan mata sendiri saya menyaksikan bagaimana seorang muslim (beliau berkopiah) ditekan ke atas lantai. Beliau disiku bahagian belakang badannya, tanpa beliau membalas. (Bagaimana beliau boleh balas sedangkan beliau ditekan oleh beberapa orang polis?) Ya, beliau dipukul polis, bukan orang lain.

Hati saya sejuk tiba-tiba. Konsep bahawa "kerajaan asyik menolong muslim sahaja" telah berkecai! Semuanya berkecai. Saya terpegun di situ untuk agak lama.

Akhirnya kami mengambil keputusan untuk membelok ke Stadium Merdeka. Kami basah kuyup kerana hujan yang lebat. Hati saya juga berhujan. Saya tidak faham, mengapa satu perhimpunan yang aman dijadikan sebegini? Kami hanya mahukan satu sistem pilihan raya yang adil!

Akhirnya kami sampai di kawasan berdekatan dengan stadium merdeka. Di situ kami berjumpa dengan kawan-kawan kami dari gereja. Hati kami tenang, dengan semangat yang tinggi.

Saya memandang ke sisi saya. Ada ramai Melayu, India pun ada, malah lebih memeranjatkan, tidak kurang juga orang Cina! Saya terharu ketika kami menyanyi lagu Negaraku bersama. Ini kali pertama saya menyanyi dengan penuh perasaan, begitu terharu. Seterusnya, kami menuju ke Jalan Petaling sambil melaungkan slogan.

Setelah melalui Jalan Petaling, kami terpaksa berhenti, kerana gas pemedih mata dilepaskan di perhentian bas Klang. Kami rasa tersengit dengan gas itu, malah hampir lemas dibuatnya. Kami berundur dengan cepat, tetapi bukan lintang-pukang. Orang berkongsi garam dan air tanpa mengira kaum. Ini kerana garam dapat meredakan rasa sengit yang disebabkan gas pemedih mata.

Hampir setengah jam kemudian, kami menerima khabar bahawa ada kelompok manusia yang berhimpun di KLCC. Kami pun menuju ke sana. Jarak perjalanannya jauh. Kami yang keletihan masuk ke dalam kedai 7-11 untuk membeli air. Teman wanita saya kepenatan terus meniarap di meja. Dua orang "uncle Cina" yang turut serta dalam perhimpunan memberi galakan kepadanya, "Ini demi masa depan kita!"

Akhinya kami gagal sampai ke KLCC. Kedengaran polis sedang melakukan tangkapan. Kami mengambil keputusan untuk balik ke rumah pada kira-kira jam 5 petang. Kami tidak kesal menghadiri perhimpunan ini. Walaupun tubuh kita letih, tetapi hati kita tidak. Saya nak memberi pujian bahawa perhimpunan ini adalah perhimpunan yang berjaya!

709 adalah "milestone" kita bersama. Apa yang paling diingini saya sekarang adalah berkawan dengan lebih ramai sahabat dari kaum lain. Mereka sebenarnya baik! Saya menyeru agar kita tidak lagi menyerang kaum-kaum tertentu dengan hujah yang simplistik. Kita perlu berkawan dengan mereka, secara ikhlas. Jangan lagi kita asingkan diri sebagai orang Cina, Melayu, India dan sebagainya, yang ada orang Malaysia!

Saya yakin, mereka pun berkongsi pandangan yang sama. Ayuh orang muda, bangkitlah! Orang muda adalah tiang negara masa depan! Jangan kita meniru sikap penguasa yang buruk dan menyalahgunakan kuasa!

http://merdekareview.com/bm/index.php

Thursday, July 14, 2011

Bersih 2 : Air mata saya mengalir demi tanahair ini-Paderi

Oleh ps joeann

Saya seorang paderi, malah seorang paderi perempuan.Walaupun saya tidak pernah menyertai perhimpunan sebelum ini, namun saya amat prihatin terhadap senario negara. Lebih-lebih lagi, negara kita seakan-akan keparahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kemarahan meruap-ruap dalam hati saya. Maka saya mula mempertimbangkan sama ada turun ke jalan raya atau tidak kali ini.



Demi masa depan negara, dan supaya saya tidak kesal kemudian, maka saya mengambil keputusan untuk turut serta. Ia berlaku dua minggu sebelum tarikh perhimpunan berlangsung. Hati saya tidak tenang sejak itu.

Saya meronta-ronta dalam hati saya. Ketakutan, kontradiksi bergelut dalam diri saya.

Ini kerana identiti saya. Sekumpulan artis berada di bawah jagaan saya. Mereka juga tersentuh dengan keadaan sedemikian, namun mungkin ada yang menganggap mereka tidak sesuai untuk hadir aktiviti sedemikian kerana identiti mereka sebagai orang awam. Dan mungkin ada yang menganggap saya sebagai seorang paderi, hanya perlu menasihat agar mereka berdoa dalam rumah.

Namun demikian, selain identiti sebagai artis, mereka adalah warga sivil negara ini juga, dan mereka bertanggungjawab untuk mempertahankan negara ini.

Air mata saya mengalir...

Dalam dilema sedemikian, saya berdiam diri ketika berdepan dengan mata mereka yang mahu mendapatkan jawapan daripada saya. Saya tidak menggalakkan secara langsung, tapi juga tidak menghalang secara terbuka. Di samping itu, saya mendidik mereka, berkongsi dengan mereka senario dalam negara kita. Apa itu BERSIH 2.0? Apakah lapan tuntutan tersebut? Apakah tujuan perhimpunan tersebut...

Saya berharap mereka akan memahami sepenuhnya, menggunakan kematangan diri untuk menilai dan membuat keputusan, sama ada hadir atau tidak.

Sehingga sehari sebelum perhimpunan, dua orang artis menyatakan keputusan mereka untuk menyertai. Dan saya pun mendedahkan hasrat saya untuk hadir. Mereka agak terkejut, kerana paderi yang tidak menunjukkan pendirian pada hakikatnya sudah bersedia untuk berdepan dengan apa yang mungkin berlaku.

Pada hakikatnya, saya bukannya berani, saya juga ketakutan.

Malam sebelum perhimpunan, hati saya tidak tenang. Tak lena tidur saya. Ketika saya berdoa untuk tanah air yang mana saya lahir dan membesar, air mata saya mengalir. Hati saya berat sekali.

Saya bangun dari tidur pada jam 5 pagi, 9 Julai. Saya bersembahyang, mendoakan agar perhimpunan aman ini berjalan dengan lancar.

Pelan A,B, C

Pada jam 9 pagi, saya bersarapan dengan dua orang artis, sambil berbincang bagaimana menembusi sekatan ke dalam bandar, malah kami mempunyai pelan A, B, dan C! Akhirnya kami mengambil pelan A, masuk ke bandar dengan kereta, dan pergi ke rumah seorang kawan yang berdekatan dengan Stadium Merdeka.

Tanpa diduga, polis memberi laluan kepada kami. Hallelujah! Tuhan mendengar doa kami!

Kami memasuki sebuah bandar yang sepi, lancar, dan dingin. Rasanya cukup pelik.

Orang ramai menyuntik semangat

Kami singgah di rumah kawan sehingga kira-kira jam 1 tengah hari, kemudian bertolak dengan resah dan gelisah. Kami tiba di bangunan Chan See Shu Yuen (bertentangan dengan Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor), mendapati jalan memasuki Stadium Merdeka telah disekat dengan dawai besi, dan beberapa orang polis, pemerhati dari Majlis Peguam berada di situ. Kami tidak nampak orang ramai di situ.

Kira-kira 20 minit kemudian, hujan turun dengan lebat. Pada ketika inilah kami nampak kumpulan orang berganding tangan berjalan dari arah Masjid Negara dan Jalan Petaling menuju ke arah kami. Walaupun orang tidak ramai di pihak kami, namun hati saya disuntik semangat setelah nampak mereka. Kami menyambut mereka dengan tepukan.

Tiba-tiba saya menjadi cemas pula. Saya memanjangkan leher saya untuk melihat apa yang berlaku, walaupun dengan ini saya yang berteduh di bawah jambatan akan dibasahi hujan.

Namun, tiba-tiba mereka berhenti, dipercayai dihalang polis. Saya nampak ramai orang berganding tangan dalam air hujan yang mencurah. Hati saya panas, dan mengeluh, apa yang telah kita lakukan? Mengapa negara ini bertindak sedemikian terhadap rakyat jelatanya?

Sejenak kemudian, mereka bergerak lagi ke depan dengan perlahan-lahan, dan akhirnya berdiri di hadapan dawai besi. Kini, polis juga berganding tangan menjadi satu barisan, bersemuka dengan peserta demonstrasi. Jarak mereka adalah dekat, boleh menyentuh satu sama lain jika menghulurkan tangan. Mujur kedua-dua pihak berjaya mengawal diri, dan tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.

Kawal diri

Pada ketika ini, hujan semakin lebat, semua orang basah kuyup dibuatnya. Namun kita terus melaungkan slogan. Ada yang memakaikan baju kuningnya. Kita hanya mahu menunjukkan kuasa rakyat.

Pada masa itu, saya berhubung dengan kawan saya yang berada di Hospital Tung Shin. Beliau berkata keadaan di sana sangat sengit. Gas pemedih mata dan meriam air berkimia dilepaskan. Saya amat gelisah dan tidak berhenti mendoa. Malah ada seketika kawan yang berada di hujung talian panggilan sana menjerit, kemudian talian putus. Hati saya menjunam, hanya mendoakan agar ini tidak berlaku apa-apa terhadapnya. Hati saya lega apabila beliau memanggil balik untuk melaporkan bahawa dirinya selamat.

Demikianlah yang berlaku di tempat saya berada pada 9 Julai. Hati saya terkapai-kapai. Cemas, lega, kemudian resah... Hanyut tenggelam mengikut perkembangan yang berlaku. Tiada rempuhan, tiada bahasa kesat dikeluarkan di tempat saya berkumpul, malah seorang pemimpin mengulangi peringatan bahawa perhimpunan ini adalah aman.

Ada masanya sesetengah yang berdoa, dan kami pun menyertai bersama. Biarlah kita serah kepada Tuhan untuk menentukan. Hati saya kembali damai. Semoga Tuhan bersama kita untuk berdepan dengan segala ini.

FRU muncul untuk menangkap orang ketika kami bersedia untuk bersurai. Keadaan menjadi cemas ketika itu. Artis saya menarik saya untuk menyeberangi jalan. Kasut saya rosak pada saat-saat itu. Tapi saya tidak peduli, berlari untuk meninggalkan tempat kejadian. Mujur kami tidak ditangkap. Tercungap-cungap kami dibuatnya. Perhimpunan BERSIH 2.0 berakhir dalam suasana cemas berbaur ghairah.

Hati saya masih tersentuh

Setelah kembali ke rumah, saya melayari laman internet. Gambar, tulisan, klip video yang dimuatnaikkan ke laman internet tetap menyentuh hati saya. Rupa-rupanya tempat saya berada kemungkinan tempat yang paling "aman". Tiada gas pemedih mata dan meriam air berkimia, dan tiada keganasan yang berlaku.

Namun, saya tetap marah apabila mendapati keganasan berlaku di tempat perhimpunan yang lain. Mereka hanyalah rakyat jelata tanpa senjata, mengapa dilayan sebegini? Apakah polis tidak mempunyai saudara-mara atau adik-beradik? Bagaimana mereka sampai hati untuk menggunakan kekerasan sedemikian?

Untuk saya, tujuan perhimpunan ini bukan sahaja menyedarkan masyarakat Malaysia, malah menarik tumpuan seluruh dunia. Ini perhimpunan aman, tiada kereta yang dibakar, tiada kedai yang dirompak, tiada seorang pun anggota polis dicederakan, tiada orang yang menangguk di air keruh. Yang ada semangat tolong-menolong ketika berdepan dengan serangan tanpa simpati. Kita mengawal diri dengan baik. Bukankah ini makna sebenarnya Satu Malaysia?

Sebagai seorang paderi, saya gembira apabila mengetahui ramai penganut kristian yang hadir dalam perhimpunan. Saya harap lebih ramai penganut kristian akan tampil ke depan, mencintai negara kita dengan tindakan kita!

Di sini saya ingin merakamkan penghargaan kepada dua orang artis yang bersama saya. Keberanian mereka, semangat patriotik mereka, telah diterjemahkan kepada tindakan, bersama menyaksikan sejarah ini. Semua pejuang yang berani, dari semua kaum, terima kasih kerana keberanian anda, membubuh tanda noktah yang sempurna dalam perhimpunan ini, semoga Tuhan memberkati anda semua!

Pengajaran Berharga Dari Bersih 2.0

Oleh Mohamad Suhaimi Abdul Aziz

Himpunan BERSIH 2.0 berjaya juga dilaksanakan pada 9 Julai 2011 yang lalu. Tarikh 9 Julai 2011 pasti akan terpahat dalam sejarah, kerana rakyat dari segenap pelusuk tanahair berani keluar menyatakan pendirian mereka. Meskipun diancam, diugut, disekat dan ditangkap, rakyat sedikitpun tidak gentar dengan pelbagai halangan ini. Puluhan ribu, bahkan sesetengah penganalisis meletakkan angka ratusan ribu rakyat membanjiri ibu kota untuk bersama-sama berhimpun dalam himpunan BERSIH 2.0.



Terlalu banyak pengajaran yang berharga yang boleh dicatatkan hasil dari Himpunan ini.

1. Himpunan BERSIH 2.0 berjaya diadakan dalam suasana aman dan tenang. Ratusan ribu rakyat berhimpun tanpa ada sedikitpun insiden kekerasan dilakukan. Sebaliknya peserta himpunan pula yang dikasari, dipukul, ditangkap, dicederakan, disembur dengan air kimia dan ditembak dengan gas pemedih mata, sehingga ada yang meninggal dunia. Kerajaan gagal memburukkan imej Himpunan BERSIH 2.0 sebagai ganas dan melampau kerana tidak ada sedikit pun harta benda awam yang musnah dirosakkan oleh para demontran. Ini membuktikan juga bahawa himpunan yang diadakan tidak membawa impak dan implikasi buruk kepada negara, jauh sekali boleh memudaratkan kemananan negara.

2. Meskipun pelbagai sekatan dan tangkapan dibuat, rakyat tetap hadir ke himpunan ini. Difahamkan ada juga yang ditangkap di sekitar ibu kota ketika sedang bersarapan pagi walaupun tanpa memakai baju kuning! Sekatan jalan raya hampir di semua jalan pintu masuk Kuala Lumpur, termasuk di negeri-negeri namun PDRM dan kerajaan gagal menyekat arus kebangkitan rakyat yang mahu melihat perubahan dalam sistem pilihanraya di Malaysia. Tanpa baju kuning yang diharamkan, rakyat tetap hadir ke Kuala Lumpur.

3. Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011 diibaratkan sebagai zon perang. Hampir semua kedai ditutup. Masjid-masjid dikunci dari dimarahkan. Pasaraya-pasaraya besar juga diarahkan tutup. Perkhidmatan awam dihentikan atau dilencongkan. Jalan-jalan utama ditutup. Keadaan panik seperti ini sengaja dicipta oleh PDRM dan kerajaan Malaysia bagi menggambarkan himpunan BERSIH sebagai membahayakan orang ramai terutama peniaga. Sebaliknya ada peniaga kecil yang meneruskan perniagaan, mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Dalam keadaan demikian, tidak ada kedai yang dipecah masuk, dicuri atau dirompak. Tidak ada vandalisme dilaporkan dilakukan oleh para demonstran. Ramai peniaga yang rugi hanya kerana mereka menutup perniagaan, bukan kepada mereka yang meneruskan perniagaan pada hari tersebut. Jalan-jalan raya masih elok dan boleh dilalui selepas himpunan ini, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sehari sebelumnya.

4. Walaupun BERSIH diisytiharkan haram oleh kerajaan Malaysia, ramai yang masih menyertai himpunan ini. Mereka terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, tidak kira bangsa dan warna kulit. Ini membuktikan bahawa BERSIH adalah perjuangan yang didokong oleh rakyat. Rakyat masih mengiktiraf BERSIH walaupun kerajaan menganggapnya haram. Jika tidak mana mungkin rakyat sanggup merisikokan diri mereka hanya untuk hadir dalam perhimpunan ini.

5. Ini juga bermakna rakyat melihat isu pilihanraya yang tempang dan pincang sebagai isu yang serius. Kerajaan perlu melihat isu ini dan selesaikan sesegera mungkin. Rakyat tidak selesa melihat segala macam penyelewengan yang berlaku terutama dalam pengendalian urusan pilihanraya. SPR pula tidak boleh berdalih lagi dengan menolak 8 tuntutan BERSIH 2.0. Pengajaran penting buat SPR adalah - SPR perlu berubah, dari menjadi "budak suruhan" BN, ia perlu bebas dan berintigeriti. Jika tidak, rakyat sendiri akan mengubah SPR.

6. Institusi kerajaan adalah amanah rakyat yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Pemimpin negara yang mengetuai pelbagai institusi dan agensi kerajaan perlu menunaikan amanah rakyat ini. Barulah ia dihargai dan disanjungi. Hari ini, agensi kerajaan tidak berada di landasannya. Mengambil contoh bagaimana PDRM diperkudakan sedemikian rupa, sehingga bertindak di luar kewarasan akal kemanusiaan hanya kerana melayan ketakutan memuncak pemimpin BN. Warga emas dikasari, wanita diheret dan digari, rakyat yang tidak bersalah turut menjadi mangsa ditangkap dimana-mana, dan ramai yang dibelasah sesuka hati, ibarat penjenayah paling dikehendaki.

SPR pula "diarahkan" bertindak sebagai perkakas untuk memenangkan BN dalam setiap kali pilihanraya. Dengan daftar pemilih yang sangat dicurigai, undi pos sebagai senjata akhir memenangkan pihak pemerintah, penggunaan media keterlaluan oleh kerajaan, menjadikan SPR badan yang berada di bawah telunjuk pemimpin UMNO-BN. Begitu juga dengan pelbagai agensi lain yang dikerah untuk berkempen setiap kali pilihanraya kecil atau umum berlangsung.

7. Himpunan BERSIH 2.0 menyaksikan siri keganasan yang disengsarakan buat pemimpin rakyat. Begitulah namanya perjuangan. Cedera, sakit, kematian, ditangkap, dipukul, diburu dan lain-lain adalah saksi hebatnya perjuangan menegakkan keadilan. Perjuangan ini juga perlu dibayar dengan pengorbanan yang tidak ternilai harganya kerana kebebasan dan keadilan yang didambakan bukan boleh diperolehi dengan percuma. Percayalah, penderitaan rakyat ini pasti akan berakhir dengan kemenangan bermakna, hasil perjuangan yang sama-sama kita didokongi.

Mohamad Suhaimi Abdul Aziz, selaku Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

AL- KESAH KITA DAN DIA

BERSIH DAN KENTUT-KENTIT PANAS

Maka pada pagi yang mulai ini hamba pun pergilah mengambil bulu ayam dan dakwat untuk mencatatkan surah ini agar anak cucu cicit kita nanti tidak akan tertanya-tanya ; agar cucu cicit dan piut kita tahu apa yang telah berlaku pada hari Sabtu 9 Julai 2011 di Kurun Masehi ke 21 ini. Biarlah hamba menjadi Tok Perawi yang saheh membawa kesah dari mulut ke mulut agar menjadi ajaran dan pedoman kepada cucu cicit kita yang akan datang. Yang busuk kita tanamkan hendaknya dan yang bersih kita kesahkan lah hendaknya. Amin.

Wahai anak cucu cicit sekelian; kesahnya bermula dari sini:

Kalau di negeri Arab Palestine telah berlaku Nakba pada 15 Mei 1948 apabila kaum Zionis dari Eropah datang dan menghalau Arab Palestine dari tanah air mereka. Meleleh air mata orang Palestine melihat tanah-tanah mereka dirampas dan diduduki oleh kaum Zionis.

Kesedihan orang Palestine itu kita rasakan sama kerana kita pula di Tanah Melayu ini telah juga mendapat Nakba atau Malapetaka pada 31 Ogos 1957 apabila penjajah British meninggalkan tanah air kita ini kepada gerombolan United Malays National Organisation dan suku sakatnya.

Inilah Malapetaka kita. Inilah Nakba orang Melayu. Inilah Malapetaka dan Nakba yang telah menimpa anak semua bangsa di Malaysia ini. Semenjak Malapetaka ini sampai; hampir setengah kurun yang lampau, orang Melayu telah di bodoh-bodohkan. Orang Melayu telah di gula-gulakan. Orang Melayu telah ditakut-takutkan. Ya ampoon ini lah Malapetaka. Inilah Nakba.

Adalah hendak dijadikan cerita; hamba hanyalah Tok Perawi yang membawa kesah dari mulut tuan yang empunya ceritera. Dapatlah hamba diberitahu bahawa telah ramailah rakyat seluruh negeri ingin berhimpun kepalang peri. Telah terdengar kesah yang amat ngeri tentang orang ditipu ketika mengundi. Diketahui umum seluruh negeri duit dipakai untuk membeli undi. Maka marahlah rakyat seluruh negeri kerana selama ini mereka ditipu dalam pilihanraya setiap kali.

Maka nujum dan pawang pun di panggil datang untuk menetapkan tarikh dan ketika. Memilih saat memilih masa ketika bulan tidak mengambang. Ketika matahari condong ke batang. Ketika panas mula menghilang. Hari hari terus dihitung dan dibilang. Hari yang baik dan bulan yang baik diikat dengan saat dan ketika. Saat itulah saat gumbira. Saat yang hendaknya rakyat seluruh negara akan turun beramai-ramai ke jalan raya agar kita semua dapat bercempera. Hari yang Bersih disalut oleh hati yang Bersih.

Bila berita pecah terbuka. Maka menyingalah Najib mukanya marah mukanya berpuaka. Najib pun lantanglah menjerit bersuara. Ke hulu ke hilir membawa berita. Najib mengarahkan adinda sepupu agar tangkas bersiap sedia kerana rakyat telah berani bangun bergegak gempita.

Maka dirancangkah satu rancangan. Maka disusunlah satu susunan. Maka dikumpulkan lah soldadu upahan. Lalu dipanggil para pemikir. Maka Gerombolan pun bekerja dan berpakat seperti biasalah. Menggunakan cara lama yang telah biasa. Pemikir dan soldadu mendapat upah mendapat imbuhan. Sepakatlah mereka bersatu pendapat. Rakyat yang telah mula berani bangun wajib ditakut-takutkan. Rakyat yang mula sedar ini perlu di bodoh-bodohkan.

Mengikut orang dalam yang empunya berita semua saluran media telah diberitahu tentang akan munculnya satu berita yang paling baru. Mengikut tuan yang empunya ceritera dikatakan pada suatu malam yang gelap gelita ada seorang Mamat masuk ke pusat kota. Datang membawa bom dan segala bentuk senjata. Adalah mengikut surah ini si Mamat ini bangang lagi lah bodoh bukan kepalang. Datang membawa senjata memakai topeng; mukanay pula disapu arang. Memakai baju dan seluar yang compang lagi camping hinggakan nampak perut terbarai dan bontot tersadai.

Si Mamat ini di surahkan hendak menyimpan semua senjata ini ditempat yang sulit. Bukan di celah kangkang atau didalam parit tetapi ditepi busut disebalah kedai Kentucky tak jauh dari tempat Mat Pet berjual beli. Seantero negara seluruh negeri diberitahu bahaya datang kepalang peri. Senjata menunggu masa dan ketika untuk meletup sendiri. Parang dan bom ini menunggu isyarat untuk terbang melayang layang memenggal leher ibu dan abang.

Tidak cukup dengan kesah bom dan parang di tepi Sogo datang pula kesah seorang Mamat sudah tertangkap. Bukan di rumah dan bukan di kebun. Bukan di Kerinchi bukan di Pandan tapi di Keramat yang jauh tidak jauh dari jalan. Tempat terletak disebelah kuil China. Mengikut kesahnya si Mamat ini sedang berusaha menanamkan parang , bom dan senjata.

Wahai adik abang dan kakak, biar hamba kesahkan lagi ; inilah cara inilah gaya; inilah teknik, inilah strateji untuk menakut-nakutkan rakyat seluruh negeri agar jangan berani turun ke jalan raya. Adalah bom adalah parang dipasang sendiri oleh soldadu upahan. Adalah jelas adalah nyata tidak ada sesiapa turun ke jalan raya Bersih membawa senjata.

Inilah tipu inilah helah. Inilah rupa kerja manusia diwaktu siangnya dia menipu diwaktu malamnya dia menjarah. Biarlah disini hambo memanjangkan surah. Wahai abang abang dan kakak kakak sila lihat sila perhatikan gambar parang dan gambar molotov. Aduhai bodoh lah polis yang makan upah. Aduhai SB yang membeli parang. Ushalah sikit. Bergeaklah sikit.Jangan beli parang dari kedai yang sama. Nampak sangat malas bekerja. Parang ini sepesen sepesol. Serumpun macam baru dibeli borong dari Kedai Aked Mara di Kuala Kangsar.

Tidak cukup dengan ini tipu helah Gerombolan terbonggenglah sudah. Hendak menipu pun kita wajib pandai di sekolah. Tanyalah Lebai Google dari rumah orang sebelah. Nak tahu tentang molotov cocktail carilah surah. Wahai Rosmah hambo nak beritahu, isteri tuan hamba bangang terserlah mengarahkan SB membuat molotov memakai botol plastik yang salah. Kenapalah bangang wahai menteri Hishammuddin Hussein; molotov cocktail perlu botol kaca, botol plastik tempat menyimpan kencing sehingga haring.

Aduhi segala hamba Allah berita yang dirancang oleh Gerombolan semua menjadi berita salah. Kenapalah tidak difikir dan tidak ikut usrah. Kenapa tutup botol plastik semuanya warna merah jambu macam kain tudung Sang Puteri. Apakah otak apakah yang salah. Adalah SB bangang atau tak cukup kena tarbiah. Hambo yang menjadi Tok Perawai kini jadi serba salah – nak menangis pun ada nak tersenyum pun salah.

Tidak cukup dengan ini seantero negeri pun mula di beritahu tentang Jepun akan datang menyerang. Macam Belanda sampai di Melaka. Kereta perisai dibawa keluar. Helikopter berligar liar. Jalan di kawal siang dan malam. Bas di tahan kereta dipereksa. Kad pengenalan wajib ada. Beg di buka kereta di geledah macam anjing mencari dadah. Inilah sahaja satu kaedah untuk menakut-nakut rakyat yang sudah bijak bermadah.

Maka akan tercatitlah dalam sejarah tentang tentera yang akan dibawa keluar. Telah didengar khabar berita bagaimana ada jeneral ada yang mula berkata tugas tentera bukan untuk Gerombolan. Bukan untuk membunuh rakyat orang kampong sanak saudara sahabat dan taulan.

Mengikut tuan yang empunya ceritera apabila Najib diberitahu duduk pekara. Dia pun gelabah tak tentu hala. Kejap nak jumpa Bersih kejap berjanji memberi Stadium Negara. Najib berdolak. Najib berdalik. Perangai tak ubah semacam kera yang tercabut ekor di Tasek Bera.

Hambo sebagai Tok Perawi tidak mahu berlagak sombong.Hambo hanya berniat nak menyambung cerita. Ibu bapa adik dan kakak jangan senyum tapi ketawalah terbahak-bahak. Hambo nak royak kesah kumpulan Perkasa yang bukan main ribut melahak-lahak. Bingar bising macam halilintar membelah busut. Beribu anggota akan dijemput. Untuk membuat onar dan bikin kelam kabut. Rakyat terdengar rakyat lalu rakyat pun menyahut. Semua mula berkata ‘ kami tak takut’.

Auta Perkasa sudah teserlah. Maka geng silat pula masuk mencelah. Ini lagi lawak hinggakan kita ketawa mata terbeliak; jangan menuduh hambo ini Tok Perawai yang berat sebelah. Tapi inilah hakikat cerita yang telah menjadi sejarah kita. Perkasa lesap hilang entah kemana muntah kedarah. Geng silat ramai yang datang tetapi sudah tersalah. Perhimpuann Bersih di Kuala Lumpur tetapi geng silat semua berkumpul di Kuala Pilah. Mereka berzikir dan berzakar. Berkelintau memukau memakai akhirnya ghaib hilang ke negeri entah berentah.

Maka tinggal Pemuda Patriot Berbaju Merah. Hambo diberitahu mereka semua datang kerana makan upah. Apabila tak ramai yang datang berkumpul maka Menantu Ayah menjadi gelabah. Lalu Mat Bangla diberiupah pakai Baju Merah. Tak cukup dengan Mat Bangla i si Patriot menghina diri lagi. Demonstrasi belum lagi selesai mereka semua sudah masuk ke dalam kedai Kentuki.

Kepada cucu cicit yang akan datang zaman berzaman ; marilah kita belajar dari al-kesah ini. Hendaknya kesah ini akan turun temurunlah. Hendaknya disurahkanlah dari mulut ke mulut dari laman ke laman dari blog ke blog dari twitter ke twitter.

Diakhirnya ini hambo sebagai Tok Pewari ingin mengundur diri. Hambo disini merakam sejarah untuk anak segala bangsa. Nakba dan Malapetka tidak akan kita tangisi. Rakyat sudah berani bangun untuk melawan. Dengarlah wahai yang zalim dan wahai yang jahat; kita saentero negara tidak akan lagi takut. Datang lah taufan datang lah Perkasa, datanglah silat datanglah Patriot. Semua ini hanya kentut-kentut hangat. Setelah Malapetaka busuk ini pergi Bersih akan menyusun lagi. Kalau lapan tuntutan tidak apa apa jadi Bersih akan turun ke jalan sekali lagi.(TT)

sapa kata bersih menyebab kan kerugian pada negara..??

Indeks komposit Bursa Malaysia menunjukkan peningkatan pada hari-hari terakhir menjelang perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu lalu, kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

Katanya, fakta itu sekali gus mengetepikan dakwaan bahawa keyakinan pelabur hilang berikutan perhimpunan besar-besaran menuntut pilihan raya bebas dan adil di ibu negara.

"Pada minggu terakhir menjelang perhimpunan BERSIH, Indeks Komposit Bursa Malaysia meningkat sepenuhnya yang sekali gus menolak ada kesan ekonomi ekoran perhimpunan itu, meski pun kerajaan tanpa belas kasihan mengancam dan memberikan gambaran buruk," kata Pua (kanan).

Bahkan, kata Pua, indeks itu kukuh daripada 1582.35 pada Isnin (4 Julai) kepada 1594.74 pada Jumaat (8 Julai) - sehari sebelum perhimpunan BERSIH.

Dalam kenyataan hari ini, Pua berkata, pengalaman di negara seperti Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan juga menunjukkan perhimpunan aman yang selalu diadakan tidak menjejaskan prestasi ekonomi.

Sehubungan itu, Pua menyelar kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan timbalannya Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang dilaporkan mendakwa BERSIH memberikan kesan buruk kepada ekonomi negara.

Kedua-dua pemimpin utama MCA itu menganggarkan kerugian sektor pelancongan negara akibat perhimpunan haram Sabtu lepas mencecah lebih RM100 juta.

sumber: malaysiakini.

(Sedih) Catatan Seorang Peserta BERSIH berbangsa Cina

Kisah ni aku dapat dari pembacaan dalam internet.. Renung-renungkan lah... Allah Maha Besar.

(Sedih) Catatan Seorang Peserta BERSIH berbangsa Cina

KISAH BENAR: Catatan Seorang Peserta Cina: "Saya Rasa Selamat Bersama Orang PAS"

Seorang pakcik yang berkopiah menuju ke arah saya, "Di manakah stadium?" Saya menuding jari ke depan. Lantas beliau berjalan ke arah sana, tanpa sebarang keraguan. Saya merasakan diri saya amat tidak berguna pada ketika itu.

Mengapa tidak saya bertindak sebagaimana pakcik itu? Berarak adalah hak kita. Mengapa pula saya takut? Saya tetap berdiri di situ, menyaksikan bagaimana orang tua itu dihalang polis, dan kemudian beliau terus berjalan ke depan.

Kemudian saya berjalan, dan terserempak dengan seorang polis muda. Beliau bertanya untuk apa saya berada di situ, saya sekadar jawab, tak ada, cuma jalan-jalan.

Beliau menunjuk ke arah Jalan Sultan, mengarahkan saya beredar dari situ, atau saya akan ditangkap. Saya tahu beliau cuba menakutkan saya. Masih awal lagi, saya tidak mahu timbul hal, maka saya pun beredar.

Saya nampak sekumpulan orang di kedai KL Commercial Book Co., semacam orang PAS, maka saya berjalan menuju ke arah mereka. Pada hakikatnya, saya amat yakin dengan mereka. Saya rasa diri saya berselindung di dalam kelompok mereka pada ketika itu. Ya, saya rasa sangat selamat.

Pada kira-kira jam 12.20 tengah hari, kelompok di sini hanya kira-kira 20 orang. Tiba-tiba kami dengar jeritan orang, dan kami bergegas ke situ dan mendapati kira-kira 2,000 orang. Mereka muncul entah dari mana, sungguh ajaib! Tapi kami masih menganggap bilangan ini terlalu sedikit!

Pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya tak berapa ingat lagi. Kami nampak sekumpulan manusia menuju ke arah kami melalui Jalan Sultan, sambil melaungkan slogan. Bilangan mereka terlalu ramai berbanding kami. Ramai orang tua yang bertanya, PERKASA? Pemuda UMNO? Kami berdiri di situ dan memandang, gagal mendengar apakah yang dilaungkan.

Tiba-tiba, ada yang bertepuk tangan, berkata "Tengok, Cina ada, India ada, bukan PERKASA, bukan Pemuda UMNO, orang kita!" Kami bertepuk dengan gemuruh, berarak ke arah mereka untuk berkumpul bersama. Kami seolah-olah dapat membentuk pasukan kami, dan tidak lagi keseorangan atau kesepian.

"BERSIH! BERSIH! Hidup BERSIH!" Ribuan yang membanjiri Jalan Sultan. Orang berada di tengah dan di tepi jalan, warga tua dan warga muda. Maka kami terus berjalan, tidak memasuki jalan ke arah Stadium Merdeka. Saya sedar, bilangan kami masih tidak mencukupi. Kami menuju ke arah Pudu Raya, dan di situ telah dibanjiri lautan manusia yang lebih daripada 10 ribu.

Abang saya menghantar sms kepada saya, memberitahu bahawa pasukan di Hotel Hilton telah mula bertolak. Dengan serta-merta saya berkongsi maklumat ini dengan orang yang berada di sisi saya.

Kira-kira jam 1 tengah hari, kami nampak satu pasukan yang lebih besar, kemas sususannya berarak dari arah Hospital Tung Shin. Kemudian, muncul lagi satu pasukan dari Kota Raya. Tidak berhenti kami bertepuk tangan. Kami menjerit sepuas-puasnya. Saya nampak ramai yang menakung air di matanya. Saya amat terharu. Saya kini berada di tengah-tengah belasan, malah puluhan ribu orang. Saya tidak kesepian, kami tidak kesepian!

Terharu kerana dibantu orang yang saya tidak kenal langsung!

Kami berkumpul di depan Menara MayBank. Saya tak dengar apa yang diucap pemidato. Tapi saya hanya seorang penyokong. Saya hanya menyorak bersama kelompok manusia, bertepuk tangan apabila semua orang berbuat demikian.

Kemudian saya mendapati trak FRU. Seorang warga tua, mungkin dari PAS, memesan agar saya undur dahulu. Tidak lama kemudian, FRU melepaskan gas pemedih mata, dan meriam air kimia yang berwarna biru. Saya rasa macam tersengit. Baunya sangat tidak menyenangkan. Orang di sisi saya (sahabat dari kaum lain) menuangkan air ke atas kepala saya. Ada seorang yang menyapu minyak angin di bawah kelopak mata saya. Ada pula yang memberi garam kepada saya.

Saya teringat, air mata saya mengalir pada ketika itu bukan disebabkan gas pemedih mata, tetapi mengalir kerana terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh orang-orang yang saya tak kenal ini.

Pada ketika itu saya nampak polis, kononnya, menangkap orang ramai di depan Menara MayBank. Ramai yang memanjat ke atas di cerun pada mulanya, kemudian mereka melompat dari tembok yang tinggi. Saya sangat marah ketika itu, kerana saya nampak ramai wanita dan warga tua. Dan mereka yang kononnya polis itu dicemuh dalam hati saya, "Bukan manusia!"

Saya berehat seketika. Saya menjangkakan bahawa orang ramai akan menuju ke Jalan Sultan. Maka, saya berjalan dahulu ke arah sana. Apabila berdekatan dengan KFC, hujan mulan turun. Seorang peserta yang tua berkata kepada saya, "Komunis pun tak macam ini!" Saya tercengang seketika, gagal memberi apa-apa jawapan....

Matlamat sama..

Pada sebelah malam, saya dimaklumkan bahawa kawan dari kaum Melayu amat terharu dengan kehadiran kami. Mereka berkata, "Itu kebanggaan kami apabila kamu muncul bersama. Kamu duduk belakang sikit, biar kami yang hadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan di depan!"

Nota: Akhirnya saya sedar, mengapa saya berselindung dalam kelompok orang PAS. Mereka membuktikan dengan tindakan mereka, itu yang membuatkan saya terharu dan berasa selamat. Lain kali, saya tetap akan bersama mereka, berada di garis depan, untuk menghadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan.

Terima kasih, sahabat semua. Walaupun kita tidak berkenalan, tapi matlamat kita sama. Dan ini hanya boleh dirasai mereka yang hadir dalam perhimpunan.

Saya menyeru agar lebih ramai bangkit dari tidur, dan mereka yang sudah sedar, biarlah bertindak.