Thursday, November 19, 2009

MEMALI: " Hey Si Zalim...ambillah pengajarannya.

Hari ni genap 24 tahun terjadinya Peristiwa Berdarah Memali. Peristiwa kejam yang berlaku di kawasan pendalaman di Baling itu mengakibatkan 13 syahid di tangan pihak polis. Seramai 3600 orang anggota polis terdiri Unit FRU, UTK, Senoi Praq dan anggota dari Bukit Aman terlibat dengan operasi yang di beri nama "Operasi Angkara". Operasi itu di bawah seliaan pegawai Bukit Aman.



Tujuannya menangkap Ustaz Ibrahim Mahmud untuk ditahan di bawah ISA.

Peristiwa pembunuhan itu berlaku ketika PM Dr. Mahathir melakukan lawatan ke China. Manakala Menteri Dalam Negeri yang menjaga PDRM adalah Musa Hitam. Manakala IGP adalah Hanif Omar.

Pada awalnya pihak kerajaan mendakwa berlaku operasi membasmi pengganas komunis. Kemudian menukar tajuk kepada pembasmian ajaran sesat. Berhari-hari media kerajaan terutamanya RTM, Utusan Malaysia dan Berita Harian "mendendangkan" lagu penipuan keatas rakyat mendakwa Ustaz Ibrahim Mahmod membawa ajaran sesat.

Menteri Penerangan yang menjaga RTM ketika itu adalah Rais Yatim yang kini menjawat semula jawatan itu.

Pembohongan kerajaan UMNO tidak bertahan lama. Sultan Kedah mencemar duli menyiram air mawar keatas 13 pusara syuhada Memali menutup terus "mulut jahat" Rais Yatim dan RTMnya.

Kini 24 tahun sudah berlalu. Banyak perkara boleh kita ambil pengajaran dan renungan :

a) Dr Mahathir masih hidup lagi. Tiada sepatahpun ucapan maaf terbuka kepada keluarga Syuhada Memali dan kesal atas peristiwa itu. Mungkin Tuhan panjangkan umurnya bagi beliau peluang bertaubat.

b) Seratus hari selepas Pembunuhan Memali, Musa Hitam letak jawatan sebagai Timbalan Menteri. Nasib Musa juga bertambah malang kerana kehilangan anak lelakinya dalam Peristiwa Keruntuhan Hightower 1994. Mungkinkah pembalasan Tuhan ?

c) Dua tahun selepas Pembunuhan Memali, UMNO berpecah dua. Team A dan Team B. Kemudian menjadi UMNO Baru dan Semangat 46.

d) Hanya seorang pimpinan UMNO yang memohon maaf atas Peristiwa Memali iaitu mantan SU UMNO Dato' Radzi Sheikh Ahmad (ketika itu dalam S46)meminta maaf secara terbuka kepada keluarga Memali. Ucapan itu tersiar di muka depan Harakah.

e) Tiga orang anggota polis yang terbunuh adalah ditembak oleh rakan mereka sendiri ketika serbuan. Bukti Ustaz Ibrahim dan pengikutnya tiada senjata api.

d) Tidak diketahui nasib Perwakilan UMNO Baling yang mengusulkan penangkapan Ustaz Ibrahim dalam Perhimpunan UMNO. Adakah hidup mereka bahagia atau sengsara akibat "kejahatan usul" mereka?

f) Juga tiada diketahui nasib anggota-anggota polis yang menyerang dan membunuh Ustaz Ibrahim dan pengikutnya samada bahagia atau sengsara? Kedengaran khabar, ramai diantaranya jadi kurang siuman. Waallahu'alam.

g) Majlis Memperingati Syuhada Memali diadakan setiap tahun. Sejak 5 tahun kebelakangan ini ianya ditiadakan atas permintaan keluarga anggota polis yang terlibat. Mengapa ? Mungkin mereka kesal apa yang telah berlaku.

h) Beberapa anggota Majlis Fatwa Kedah disingkirkan kerana menfatwakan kesyahidan Ustaz Ibrahim dan pengikutnya.


Beberapa hari selepas peristiwa yang menyayatkan hati itu berlaku, TG Haji Hadi Awang berucap di Markas PAS Taman Melawar. Ucapan beliau tersekat-sekat kerana hiba dan sedih. Ramai hadirin yang menangis dengan tangisan yang kuat ketika itu.

TG Nik Aziz pernah berkata tentang peristiwa tersebut : " Kita akan mengingati peristiwa pembunuhan beramai-ramai ini seumur hidup. Akan kita ingat dan sebut terus menerus. Akan kita perkatakan hingga Hari Kiamat."

Jika rakyat Palestin mengingati Peristiwa Dier Yasin, rakyat Indonesia mengingati Peritiwa Tanjung Periuk, rakyat Iraq mengingati Peristiwa Fallejah. Rakyat Malaysia sewajarnya mengingati Peristiwa Memali. Satu perjuangan dan pengorbanan menentang ISA.

Berikut mereka yang syahid dalam Peristiwa Memali:

1. Ustaz Ibrahim Mahmud, Kampung Charok Puteh, Siong, Baling, Kedah 45 tahun, guru dan pendakwah Islam. Beliau meninggalkan seorang balu yang juga telah ditahan beberapa minggu dalam kem tahanan di markas Polis Hutan Sungai Petani, kemudian dipindahkan ke Penjara di Alor Setar sehingga dibebaskan. Beliau meninggalkan lima orang anak, dua orang sedang bersekolah dan tiga orang lagi masih kecil.

2. Ahmad Hassan, Kampung Alor Melentang, Gunung, Alor Setar, 30 tahun, kerja sendiri, bekas pegawai LPN, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah 1979-1981, bekas Setiausaha Kerja DPPN Kedah 1981-1983. Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak yang masih belum bersekolah.

3. Syafie bin Dahaman, Sekolah Menengah Siong, Baling, 30 tahun, guru Sekolah Menegah Siong, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.

4. Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, Mukim Siong Baling, 72 tahun, penoreh getah. Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.

5. Abdul Manaf bin Waden, Kampung Becah Sawa, 58 tahun, penoreh getah, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

6. Ghazali bin Mohd Saman, Kampung Becah Sawa, 36 tahun, merinyu malaria, meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.

7. Mohd Radzi bin Ahmad, Kampung Ubi Memali, 27 tahun, penoreh getah, meninggalkan empat orang anak dan isterinya telah meninggal sejak beberapa lama.

8. Wan Abdullah @ Idris bin Lebai Kadir, Kampung Charok Bunting, Siong, Baling, 32 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak sebahagiannya masih bersekolah.

9. Mohd Aroff bin Hashim, Kampung Becah, Siong, 36 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

10. Zamri bin Md Isa, Kampung Charok Puteh, 37 tahun, pemandu; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

11. Abdullah bin Yasin, Kampung, Guar Reban, Kupang, 33 tahun, berniaga; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

12. Mohd Daud bin Kadir, Kampung Becah Sawa, 53 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

13. Ahmad bin Ismail, Kampung Cepir, Sik, 30 tahun, mekanik motosikal; meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak.

14. Haji Abdul Rahman bin Jusoh, Siong, Baling, 69 tahun. Beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia kerana kecederaan tersebut pada 31 Jan 1986.

No comments:

Post a Comment