Wednesday, November 18, 2009

PKR Pahang Berjaya Bawa Perubahan Besar Ke Arah Menawan Pahang Dalam PRU-13

KUANTAN, 18 Nov - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, kini semakin diterima oleh segenap lapisan rakyat di negeri ini. Berbagai agenda telah dilaksanakan oleh kepimpinan PKR negeri, dalam usaha untuk membawa perubahan baru menjelang Pilihanraya Umum ke-13 akan datang. Pahang yang diakui antara kubu kuat UMNO BN sejak zaman berzaman. Malah, gelombang "Refromasi 98" dan "Tsunami Politik" yang melanda negara sebelum ini, ternyata masih belum dapat menggugat kerajaan negeri Pahang sebenarnya. PKR Pahang kini mengorak langkah yang lebih bersepadu dalam usaha untuk memastikan kejayaan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini dalam pilihanraya umum akan datang.

Kepercayaan yang telah diberikan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik Dato' Fauzi Abd Rahman (foto) sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang hujung tahun lalu tampak membuahkan hasil. Biarpun pada awalnya, kepimpinan Dato' Fauzi menimbulkan kontroversi, diragui sertamendapat kritikan dari pelbagai pihak terutamanya ahli PKR sendiri. Namun, kini ramai yang berbangga dengan gerak kerja yang dilakukan oleh Bekas Timbalan Menteri itu. Malah, PKR dilihat semakin kuat dan utuh serta diterima oleh berbagai lapisan kaum di negeri ini. Kini kelibat Dato' Fauzi cukup disegani oleh kawan dan lawan. Malah, saban hari semakin ramai ahli UMNO yang bertindak keluar parti dan menyertai Pakatan Rakyat samada PKR, PAS atau pun DAP di Pahang. Senario ini bukan sahaja dapat dilihat di kawasan bandar, malahan juga di tanah rancangan Felda dan penempatan orang asal (asli) seluruh Pahang. Penubuhan ranting (cawangan) baru terus digiatkan serta mendapat sokongan padu rakyat pelbagai kaum.

Ketika ditemui oleh krew kami baru-baru ini, Dato' Fauzi menegaskan bahawa kejayaan sebenarnya sudah semakin hampir dan Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk melakukan kejutan dalam pilihanraya umum akan datang. Menurut beliau antara langkah yang diambil pada masa ini ialah terus memberi penerangan secara bersemuka dengan rakyat. Berbagai program dilaksanakan di seluruh negeri, bairpun ada sesetengahnya yang mendapat gangguan daripada pihak UMNO sendiri. "Kita terpaksa turun padang bertemu rakyat, setelah segala ruang yang ada dikawal oleh kerajaan. UMNO cuba mematikan amalan demokrasi dengan menganggu rakyat yang ingin mendapat penjelasan tentang isu-isu semasa. Mereka menyekat segala kemudahan, bersikap dengki dan sengaja menimbulkan provokasi murahan untuk menghalang rakyat mendapat maklumat yang lebih jelas dan tepat" kata Dato' Fauzi. "Tugas untuk memberi penerangan adalah penting, agar mereka dapat menerima perubahan bahawa pertukaran kerajaan sebenarnya lebih menguntungkan mereka dan bukannya membebankan seperti yang diwar-warkan. Pertukaran kerajaan senantiasa berlaku di negara maju seperti di Jepun, Britain malah negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat sendiri. Bila ada dua parti yang kuat sebenarnya rakyat yang akan mendapat untung. Hanya kerajaan UMNO BN sahaja yang takut dengan perubahan kerajaan. Bagi mereka, hanya UMNO BN sahaja yang layak memerintah negara ini buat selamanya. Inilah yang wajar diyakinkan kepada rakyat, agar mereka bersedia untuk menerima perubahan" katanya.

PKR Diterima Peneroka Felda Dan Orang Asli

Kenyataan beliau ini jelas bukan sekadar kata-kata atau omongan kosong semata-mata. Malah, Pakatan Rakyat terutamanya PKR sendiri sedang mengorak langkah ke arah itu. Kini semakin banyak ranting atau cawangan baru PKR telah tumbuh bagaikan cendawan di negeri ini. Jika dilihat di Parlimen Indera Mahkota iaitu salah satu kerusi parlimen yang dimenangi PKR dalam pilihanraya umum ke-12 lalu, ternyata banyak ranting baru ditubuhkan. Malah, kubu kuat UMNO di Sg.Ular sendiri kini telah berpecah dan ranting baru diwujudkan. Menurut Dato' Fauzi jika dulu dikawasan Felda di Pahang ini, PKR begitu sukar untuk masuk tetapi kini ramai peneroka Felda telah mula berani dan sedar keperluan untuk melakukan perubahan. "Dulu, jika mahu cari 30 orang ahli pun ia cukup susah. Kini, perkara itu sudah tidak mustahil lagi. Malah di Felda Panching Selatan dan Utara dekat sini PKR mendapat keahlian antara 200 hingga 300 orang setiap ranting. Ia merupaka sesuatu yang amat mengejutkan dan tidak pernah diimpikan selama ini. Tambahan pula umum mengetahu bahawa peneroka Felda sering dicengkam dengan berbagai tindakan drastik yang cukup menegelirukan mereka" tambah beliau. Selain gugusan Panching, PKR juga telah berjaya menembusi gugusan Jengka, Mempaga, Keratong, Lepar dan banyak lagi. Cawangan ranting baru juga telah diwujudkan di Felda Kota Gelanggi di Jerantut dan Felda Jenderak Utara di Krau, Temerloh. Hasil gerak kerja yang kuat dan konsisten, kini PKR juga mula diterima di kawasan penempatan orang asal (asli) di negeri ini. Banyak ranting baru kini ditubuhkan, antaranya ialah Kg.Penderas, Kg.Pian, Kg.Sg Mai di Temerloh, Krau dan Jerantut. Manakala itu di kawasan Rompin pula terdapat juga ranting baru di penempatan orang asli Kg.Setajam. Kejayaan menubuhkan ranting-ranting baru di kawasan penempatan orang asli ini cukup membanggakan sebenarnya. Tambahan pula, umum memang mengetahui bahawa kawasan ini merupakan "kubu kuat BN" untuk memastikan mereka senantiasa menang dalam setiap kali pilihanraya.

Rakyat Berbilang Kaum Mahukan Perubahan

Selain daripada itu PKR juga telah berjaya melebarkan sayapnya ke kawasan penempatan Melayu, Cina dan India baik di desa mahupun di bandar. Di Sg.Lembing misalnya, ranting baru telah ditubuhkan oleh seorang ahli dan aktivis UMNO terkenal di kawasan itu iaitu Tengku Abdul Jalil. Sementara itu di Rompin pula sebanyak tiga ranting baru telah ditubuhkan baru-baru ini termasuk di Bandar Kuala Rompin sendiri. Banyak kawasan penempatan yang selama ini kubu kuat UMNO telah berjaya ditembusi. Manakala itu banyak juga ranting baru telah ditubuhkan melibatkan masyarakat Tionghua, seperti di Air Putih, Kuantan. Paling mengejutkan, sejak Dato' Fauzi mengambil alih tanpuk pimpinan PKR di Pahang, ramai pemimpin UMNO setempat telah bersama PKR. Terbaru di Temerloh, dimana beberapa orang AJK UMNO Bahagian itu telah menyertai PKR. Ini merupakan satu tamparan hebat buat UMNO dan BN di negeri ini. Cabang PKR Kuala Krau juga telah dirasmikan baru-baru ini, manakala satu ranting baru telah ditubuhkan di kawasan kubu kuat UMNO Temerloh iaitu Kg.Dato' Sharif Ahmad. Kekuatan jentera PKR ini telah dibantu oleh pemimpin seperto Tn.Hj Suhaimi Said yang bertanggung jawab untuk memastikan masyarakat Felda dan orang asal menerima perubahan yang mahu dibawa oleh Pakatan Rakyat terutamanya PKR itu sendiri. Rakyat berbilang kaum mula menerima kehadiran PKR sebagai parti alternatif yang dapat membela nasib mereka. Perubahan besar dijangka akan berlaku di negeri Pahang dalam pilihanraya umum akan datang jika senario ini terus berkekalan di masa akan datang.

[Pahang Daily Online mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dato' Fauzi Abd Rahman dan kesemua kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang telah berjaya meyakinkan rakyat terhadap parti itu. Jika senario yang berlaku ini berterusan, nescaya harapan besar untuk melihat perubahan di Pahang akan terlaksana jua akhirnya. Dalam pada itu, kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang dibawah pentadbiran Dato' Seri Adnan Yaakob haruslah menerima hakikat ini dan perlu melakukan sesuatu jika tidak mahu menyesal di kemudian hari. Apa yang berlaku kepada Khir Toyo di Selangor haruslah dijadikan ikhtibar dan pengajaran yang berguna. Jika tidak mereka sudah pasti akan berputih tulang melihat negeri Pahang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.

Disalin dari http://pahangdaily.blogspot.com

No comments:

Post a Comment