Tuesday, November 17, 2009

'BN Menang (di Kedah), Kroni Kenyang'


BN melancarkan slogan baru dalam usaha menawan kembali Kedah dari Pakatan Rakyat. Slogan yang berbunyi "BN Menang, Kedah Senang" itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Gerak Mesra 1Malaysia yang diadakan di kawasan Dun Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Muhyiddin turun ke Kedah, kononnya untuk lawatan kerja atas sifatnya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tetapi semua program yang terkandung dalam Majlis Gerak Mesra 1Malaysia adalah program politik yang visinya ialah untuk memenangkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Dato' Seri Shafie Apdal juga hadir dan berucap selaku pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah. Muhyiddin dan Shafie berucap di hadapan orang ramai bagai sebuah rapat umum politik.

Program itu diuruskan oleh Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Kedah, sebuah agensi pusat yang ditubuhkan di negeri ini kononnya bagi menyelaraskan pembangunan setelah pentadbiran negeri ditadbir Pakatan Rakyat.

Jemputan rasmi oleh Jasmaliza Jamaludin bagi pihak Pengarah Kemajuan Negeri Kedah, dihantar kepada semua jabatan meminta kehadiran 10 orang pegawai atau kakitangan bagi setiap jabatan. Jabatan Pelajaran juga meminta setiap sekolah menghantar 20 wakil. Begitu juga lain-lain jabatan. Rakyat dikerah untuk hadir dengan umpan cabutan bertuah yang pelbagai serta persembahan artis. Bukan kerana nak dengar pidato Timbalan Perdana Menteri.

Majlis Gerak Mesra 1Malaysia adalah program politik, medan pemimpin Umno memaki hamun PAS tetapi digerakkan oleh PPN yang merupakan sebuah jabatan kerajaan di mana pegawai dan kakitangannya dibayar gaji dari duit rakyat; termasuk cukai yang dikutip dari ahli-ahli PAS. Kos membiayai program tersebut juga ditanggung oleh kerajaan. Mereka langsung tidak rasa berdosa, makan duit gaji yang dibayar oleh rakyat tetapi melakukan kerja untuk parti politik.

Tiada bezanya dengan perangai RTM Kedah yang setiap siaran berita menyiarkan kegiatan Umno sebagai laporan utama, walhal Umno di Kedah sama tarafnya dengan pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

Sejak dulu pun Umno sebagai sebuah parti politik tidak perlu bekerja keras untuk memenangkan parti mereka dalam pilihanraya. Jabatan kerajaan yang dijadikan lembu tunggangan.

Setelah separuh abad merdeka, mengapa semua penyalahgunaan itu masih berlaku? Sebabnya BN belum kalah di Pusat. Akibat terlalu lama berkuasa, mereka merasakan semua khazanah kekayaan negara adalah hak milik mereka. Pegawai kerajaan dianggap sebagai peon pejabat Umno.

Inilah bahananya jika sesebuah parti itu diberi kuasa memerintah terlalu lama. Keburukan (akibat terlalu lama berkuasa) inilah yang perlu diberitahu kepada setiap rakyat yang mempunyai akal fikiran supaya kewarasan yang mereka miliki dapat digunakan sebaiknya untuk menolak BN.

Jika sekali mereka kalah, jadi macam pentadbiran kerajaan negeri Kedah sekarang. Pegawai-pegawai tidak perlu bersusah payah melakukan kerja untuk parti politik. Ini hujah yang kuat mengapa Umno perlu dikalahkan di Pusat, walaupun untuk sekali.

Mungkin ada juga segelintir yang gemar melakukan kerja politik, lantaran tebalnya jatidiri Umno dan masih setia bertuankan pemimpin Umno tetapi ia cuma kes eksklusif, bukan gambaran keseluruhan.

Ada yang menghubungi saya meminta didedahkan kakitangan tertentu dalam kerajaan atau GLC yang sengaja mensabotaj imej kerajaan negeri dengan beberapa tindakan tertentu. Saya menjelaskan setakat ini tidak perlu, kerana Menteri Besar lebih bijak mencatur politik.

Hasil sikap tidak gelojohnya, ada beberapa individu yang cuba mengkhianati kerajaan sudah terjun dengan labu-labunya.

Sebuah akhbar harian primitif yang menjadi lidah rasmi Umno, menyiarkan sebuah artikel kononnya kekecewaan pegawai-pegawai kerajaan negeri Kedah (KCS) kerana dipinggirkan oleh Pusat. Pentadbiran negeri mempunyai mekanisme yang sudah established untuk penyaluran pembangunan supaya sampai terus kepada sasaran iaitu rakyat jelata.

Rangkaian pentadbiran di Kedah wujud lebih lama dari pentadbiran kerajaan Persekutuan. Tetapi lantaran sikap angkuh dan bebal pemimpin Kerajaan Pusat kerana pentadbiran negeri yang tidak sealiran dengan mereka, salurannya dilencongkan kepada rangkaian baru yang kebanyakannya melibat kepimpinan Umno negeri.

Dari segi amalan, saluran kewangan yang banyak dibuat melalui rangkaian Umno adalah "sangat baik" kerana ia mempercepatkan keruntuhan mereka. Duit dan perebutannya adalah peluru terbaik untuk menghancurkan Umno. Mati semut kerana gula, mati Umno kerana duit.

Dalam usaha mengambil kembali pentadbiran Kedah, BN sudah mula memukul canang "BN Menang, Kedah Senang". Kira-kira macam pelancaran Gelombang Biru di Terengganu selepas pilihan raya umum ke-11 lalu. Malangnya gelombang buatan di Kedah nampaknya belum menjadi.

Separuh abad BN memerintah Kedah, masih ramai rakyat yang dicengkam kemiskinan. Media massa saban hari menyiarkan kedhaifan rakyat dengan rumah dibuat dari dinding dan lantai buluh atau kayu-kayu hutan, terutama didaerah pendalaman seperti Baling, Sik dan Padang Terap. Kononnya atas keprihatinan terhadap penderitaan rakyat, media tersebut juga melaporkan YB, Pemuda atau Puteri Umno turun membantu. Mereka terhegeh-hegeh datang dengan beras, gula dan kopi.

Walhal yang sepatut dilakukan oleh BN sebagai pemerintah di Pusat ialah mempastikan tiada lagi rumah berlantai dan berdinding buluh. Kewujudan rakyat miskin di Kedah tidak bermula dari 9 Mac 2008. Berpuluh tahun golongan tersebut jarang merasai senang. Mengapa selepas BN jadi pembangkang di Kedah baru parti rasuah itu datang menjanjikan kesenangan?

Ternyata pertukaran kerajaan dari BN ke Pakatan sekarang pun tiada membawa kesusahan kepada rakyat, sebaliknya pemimpin BN yang 'susah'. Hilang banyak sumber pendapatan. Jika BN menang, tentulah juak-juak tersebut yang kenyang. Maka slogan "BN Menang, Kedah Senang" sepatut ditukar kepada "BN Menang, Kroni Kenyang".

No comments:

Post a Comment