Tuesday, November 17, 2009

ISA: 'Saya akan sumpah SB-SB yang jahat!'

Written by Lim Hong Siang (Merdeka Review)

Ditangkap: Mat Sah Mohd Satray, seorang juruteknik yang berkhidmat dengan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) pada ketika itu, dikaitkan dengan Abu Bakar Bashir yang dituduh sebagai pemimpin Jemaah Islamiyyah (JI). Mat Sah mengenali Abu Bakar kerana menghadiri khususnya, yang diwajibkan oleh DBP sendiri.

Ditekan: April 2002, Mat Sah disoal siasat sepanjang hari oleh tiga orang pegawai secara bergilir. Malah, Mat Sah yang menggigil di bawah penghawa dingin itu tidak dibenarkan ke tandas, hanya dibekalkan botol air mineral ketika membuang air.

Keesokannya April 18, 2002, media cetak arus perdana menyiarkan berita bahawa Kumpulan Militan Malaysia (KMM) cuba sabotaj untuk meletupkan pelabuhan Klang. Masyarakat ketika itu diselubungi ketakutan berikutan tragedi serangan di Amerika Syarikat pada 9/11.

Ditahan: Permohonan habeas corpus untuk mencabar prosedur penahanan Mat Sah berakhir dengan kekecewaan setelah ditolak dengan penghakiman yang berbunyi “masyarakat dunia kini sedang memerangi pengganas”.

Tetapi, seandainya Mat Sah benar-benar pengganas, apa pula program ‘pemulihan’ yang disediakan di Kamunting?

Di tempat: Yang tiada lampu dalam bilik. Tujuh tahun dilalui … tanpa bukti, tanpa keadilan; tanpa bulan, tanpa bintang.

Dilepaskan: Sept 15, 2009, “Dia (Mat Sah) bukan dibebaskan. Dia dicampakkan keluar dari kem Kamunting ke depan rumah saya,” demikianlah luahan isterinya, Norlaila Othman.

Diikat syarat: Beliau hendaklah tinggal dalam kawasan daerah polis Ampang Jaya, Selangor; dan tidak boleh meninggalkan kawasan tersebut tanpa kebenaran bertulis Ketua Polis Negeri atau Wilayah Persekutuan yang berkenaan. Dengan kata lain, Mat Sah hanya bebas bergerak di sekitar Ampang.

Dikurung di rumah: Malah, Mat Sah wajib melaporkan diri di balai polis setiap Isnin, dan berada di rumah dari jam 9 malam hingga 6 pagi, kecuali mendapat kebenaran polis.

Diarah: Tidak boleh berucap di khalayak ramai; tidak boleh berpersatuan; tidak boleh berpolitik.

Wawancara Merdeka Review bersama Mat Sah dan Norlaila


“Kesian dia Mat Sah, bila sampai dia mati orang akan kata dia terrorist. Padahal, Mat Sah orang baik, dianiaya dan dijadikan scapegoat (kambing hitam),” kata Norlaila yang bergiat aktif memperjuangkan pembebasan suaminya melalui gabungan NGO dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Kerajaan semakin tertekan lantaran demonstrasi ‘Mansuhkan ISA’ pada 1hb Ogos yang lalu, menjurus kepada pembebasan lima orang tahanan ISA sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Demikianlah jangkaan Mat Sah, menyanggah hujah bahawa tahanan ISA dibebaskan setelah “dipulihkan secara menyeluruh”.

Bahang kemarahan rakyat terhadap ISA turut dirasai Mat Sah yang terkurung di dalam Kem Tahanan Kamunting (Kemta), melalui interaksi Special Branch (SB) dengannya.

SB dari Bukit Aman yang sebelum ini mengunjungi Kemta enam bulan sekali, bertemu dengan Mat Sah hampir dua minggu sekali, selepas puluhan ribu manusia membanjiri pusat bandaraya Kuala Lumpur dengan laungan ‘Mansuhkan ISA’.

Mat Sah menceritakan bagaimana SB kelihatan terdesak setelah demonstrasi tersebut. Beliau dibawa ke Police Remand Centre di Kuala Lumpur, menjalani program brainwash. Mat Sah dihujani pelbagai soalan, di samping propaganda mengapa ISA perlu dikekalkan.

Tahanan dikenakan ujian poligraf

Pada malam Apr 17, 2002, Mat Sah ditangkap di bawah ISA. Kediamannya dirempuh 12 orang polis, Mat Sah digari, sementara rumahnya digeladah. “Apabila saya tanyakan mana waran tangkapan, mereka kata ‘tak payah waran’ kerana mereka ‘pegawai gred A’,” kata Norlaila.

Mat Sah kemudiannya dilemparkan label ahli JI dan KMM, tanpa dibicarakan di mahkamah. Namun, “Mereka tak sebut pun perkataan ‘JI’ atau ‘KMM’ (semasa tangkapan), cuma kata ‘kami ada alasan-alasan untuk menahan anda di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana mengancam keselamatan negara’.”

Ingatan Mat Sah masih segar, mengimbas pengalamannya setelah genap dua tahun pertama beliau ditahan.

“Mat Sah, saya tak boleh bebaskan awak. Malaysia dah buat komitmen dengan Asean untuk combat (banteras) terrorism, lebih-lebih lagi Amerika Syarikat. Kalau kami bebaskan awak, apa kata mereka?” – Demikianlah alasan yang diberikan kepada Mat Sah dari Bukit Aman.

Malah, tahanan ini perlu menjalani ‘ujian poligraf’ untuk menguji sama ada dirinya berbohong kepada pihak berkuasa. “Dua kali dia buat, tahun sudah ada, tahun ini pun ada. Dulu dia (polis) kata tak lulus, kali ini lulus pula. Tapi serupa saja, jawapan saya itu juga.” Kemudian, Mat Sah menambah, “saya nampak dia memang nak bebaskanlah. Alasan (lulus ujian poligraf) untuk bebas itu saja.”

‘Isteri awak kena slow sikit’

Apa pula alasannya untuk dilanjutkan tempoh tahanan?

“Pertama, tak ikut peraturan; kedua, pasal isteri vocal...” ujarnya kepada wartawan, sambil melihat ke arah Norlaila. Malah, Mat Sah dijadikan ‘bad example’ kepada tahanan lain, untuk menghalang keluarga tahanan lain daripada tampil memperjuangkan isu ISA.

Walaupun bukan secara terus-terang, tetapi Mat Sah dapat merasakan SB cuba menyampaikan mesej tersirat “isteri awak kena slow sikit” dalam perbualan bersamanya.

Wartawan menyusul dengan soalan, pernahkah terlintas dalam otak Mat Sah, untuk menasihati isterinya agak “tidak terlalu ke depan”? Dengan jujur Mat Sah mengakuinya, “Saya cuma cakap, SB cakap macam tu...” Sambil ketawa, wartawan membalas, “berlapik jugalah macam tu...”

Norlaila yang berada di sisi Mat Sah tidak sabar untuk melakonkan semula perbualan mereka ketika itu. Dengan lembut Norlaila berkata, “Kalau you tak bagi I pergi kempen, I tak datang kem-lah...”

Wartawan tertawa dengan gelagat pasangan suami isteri ini, walaupun menyedari di sebalik gelagat hari ini, tersarat dengan kepiluan yang lalu.

Mat Sah kembali menceritakan pertimbangannya ketika itu. Beliau mengakui bahawa fikiran ini sekadar ‘terlintas’ dalam otak, memandangkan Dr Abdullah Daud dari Johor turut dilanjutkan tempoh tahanan walaupun isterinya tidak berbuat apa-apa.

Enggan nyanyi Negaraku

Walau bagaimanapun, Norlaila bukan bergiat aktif sebermulanya suaminya ditahan. Malah, Mat Sah mematuhi segala peraturan yang ditetapkan dalam kem dengan harapan agar beliau dapat dibebaskan selepas dua tahun.

Namun, Mat Sah dapat perhatikan bahawa tahanan Al-Ma’unah yang ‘baik’ (mematuhi segala peraturan) tetap ditahan, sebaliknya tahanan ‘reformasi’ yang ‘jahat’ (tidak bekerjasama dengan pihak kem) pula dibebaskan.

Bertitik tolak daripada itu, Mat Sah mula tidak bekerjasama dengan pihak kem, seperti enggan menyanyikan lagu Negaraku pada jam 7 pagi saban hari. Sementara itu, Norlaila mula bergiat di luar, melalui serahan memorandum kepada Suhakam, ceramah dan sebagainya.

Perjuangan Norlaila gagal membebaskan Mat Sah, sebaliknya mengakibatkan suaminya itu dihukum lebih berat lagi.

Pada Feb 23, 2006, Norlaila memilih jalan untuk ambush Perdana Menteri dalam satu aktiviti yang dianjurkan Felda. Norlaila sempat menyerahkan memorandum kepada Abdullah Badawi, yang dibalas dengan ungkapan “Insya-Allah” daripada pemimpin itu.

Tindakan di luar dugaan ini mengundang hukuman penahanan bersendirian selama tiga tahun terhadap Mat Sah. Hukuman ini dilihat sebagai amaran kepada tahanan lain, supaya keluarga mereka tidak mengulangi apa yang dilakukan Norlaila...

‘Kerajaan telah rosakkan suami saya!’

Kesan ISA meresap dengan begitu mendalam di hati mereka, dalam kehidupan harian mereka.

“Saya rasa dia telah dibodohkan dalam tujuh tahun, bukan ‘dipulihkan’...” secara terus terang Norlaila menceritakan. Pengasingan ketika dalam tahanan, peraturan-peraturan yang dikenakan ke atasnya telah membuatkan Mat Sah semakin mundur dari segi fikiran.

Ketika ditanya apakah perwatakan Mat Sah tujuh tahun yang lalu, Norlaila menjawab, “Dia seorang yang sangat cheerful (ceria)..., seorang bapa yang mesra dengan kami.

We lost everything for seven years, including the job. (Kami kehilangan segala-galanya dalam tujuh tahun ini, termasuk pekerjaannya)”.

Norlaila mengimbas kembali bagaimana dia perlu membayar untuk ‘membaiki suaminya yang rosak’ ketika dalam tahanan. Norlaila menanggung kos rawatan gigi dan kaki Mat Sah ketika dalam tahanan, sementara berbelanja untuk membelikan makanan yang lebih baik untuk suami dan tahanan yang lain apabila melawat Kemta.

“Dia bukan banduan!”

Penahanan Mat Sah mengubah segala-galanya. Norlaila berkata, “Dia macam seorang yang baru keluar dari gua. Dia tak tahu apa-apa... bila saya bawa dia berjalan, banyak benda baru, banyak bertanya...”

Pernah sekali Norlaila membawa Mat Sah ke pasar, dikejutkan apabila Mat Sah menjerit ‘Ikan!’ sambil menuding kepada ikan yang dijual di situ. Gelagatnya mencungkil minat Norlaila, sambil membelek ikan tersebut untuk melihat apa yang luar biasa. Rupa-rupanya Mat Sah tidak pernah melihat ikan yang sebesar itu dalam tujuh tahun tahanannya.

Malah, Mat Sah merasakan semua orang hendak melanggarnya apabila berjalan di pasar raya. Dunia Mat Sah semakin mengecil, kekosongan, malah tertinggal dari rentak zaman apabila berasa pelik dengan alat-alat teknologi canggih seperti telefon bimbit, smart-tag, komputer dan Internet.

Bahkan apabila pertama kali Mat Sah melangkah ke rumahnya selepas tujuh tahun, beliau merasakan rumahnya seolah-olah penuh dengan ‘semak-samun’, walhal hanya sofa dan sedikit hiasan yang ada pada ruang tamunya.

Anak hidup tanpa ayah

“Jadi saya tak puas hatilah. Dan saya akan sumpah orang yang... SB-SB yang jahat, bekerja untuk menahan orang bawah ISA, membuatkan mereka ditahan bertahun-tahun, mereka cipta pelbagai alasan untuk menahan mereka dengan lebih lama...”.

Berbeza dengan tahanan lain yang bersyukur kepada kerajaan setelah ‘dibebaskan’, Norlaila memesan Mat Sah untuk hanya bersyukur kepada Tuhan, dan bukannya kepada kerajaan kerana kerajaan inilah yang menyusahkan keluarganya.

Untuk tujuh tahun yang lalu, jarak antara Mat Sah dengan anak tunggalnya, Suhaib disarat penuh dengan kerinduan. Jarak ini belum dirapatkan walaupun Mat Sah telah kembali ke pangkuan anak lelakinya yang separuh umurnya hidup tanpa bapa.

Menurut Norlaila, Mat Sah menjadi serba salah apabila ingin menegur anaknya. Begitu juga apabila Suhaib ingin bercakap dengan ayahnya, Suhaib akan memandang ke Norlaila.

“Terlalu lama mereka berpisah...,” Norlaila mengaku bahawa belum lagi kedua-dua bapa dan anak ini mesra semula setelah dipisahkan sekian lama. Norlaila sendiri berdepan dengan keadaan yang sama, apabila merasakan ada seorang lelaki asing berada di biliknya, pada malam pertama Norlaila balik dari Sabah untuk bertemu dengan Mat Sah di rumah.

Malah, Mat Sah yang agak kendur dalam pergerakannya dan pemikirannya, kadang-kala mencungkil kesangsian Suhaib. Suhaib pernah tanya kepada ibunya Norlaila, sambil melihat ke arah Mat Sah dan menuding ke arah otak dirinya, “dia tu, (mental) ok tak?”

Kebanyakan mangsa ISA ialah puak kiri

Bukan seperti Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini berperanan sebagai ‘isteri Timbalan Perdana Menteri’ sebelum suaminya ditendang dari puncak kuasa, Norlaila hanyalah seorang guru sekolah menengah. Ketika Anwar Ibrahim ditumbangkan, keluarganya disokong gerakan reformasi dari setiap pelusuk, dijadikan tumpuan media antarabangsa sebagai desakan untuk membebaskan tahanan politik tersebut.

Lainnya pula keadaan keluarga Norlaila. Malah, PAS yang ketika itu ditonjolkan dengan imej pengganas oleh propaganda kerajaan BN, turut berasa ragu-ragu untuk membantu keluarga Mat Sah.

Namun, Norlaila bukan bersendirian dan dia tidak melupakan bantuan yang dihulurkan wartawan dari Harakah, Malaysiakini dan sebagainya. Yang lebih penting, apabila Norlaila berdepan dengan jalan buntu, kawan-kawannya dari GMI dijadikan sandaran.

Norlaila yang rajin membaca, merujuk fakta sepanjang perjuangan memperolehi keyakinan daripada ilmu pengetahuan, lantaran berasa bertanggungjawab untuk membetulkan persepsi masyarakat tentang ISA.

Dari pembacaan, Norlaila mendapati tahanan ISA meliputi mereka yang digolongkan sebagai ‘orang kiri’. Mereka ahli kesatuan yang memperjuangkan kepentingan buruh, pekerja kilang, peladang dan sebagainya.

Dalam tempoh tujuh tahun, Norlaila cuba segala upaya untuk memperjuangkan pembebasan suaminya dan pemansuhan ISA. “Segalanya saya lakukan dengan beradab, tetapi apabila kerajaan kurang ajar dengan kita, perlulah kita untuk terus mengajarnya.”

Lim Hong Siang ialah pengarang ‘Merdeka Review’, edisi bahasa Melayu. Temuramah di atas ini dijalankan oleh Lim dengan rakan setugasnya Chen Shaua Fui. Ringkasan ini disunting dan disusun semula oleh CPI dengan izin Merdeka Review’.

No comments:

Post a Comment