Tuesday, November 10, 2009

Dungukah Jais? Terburu-Burukah Asri?


Semakin hari semakin menjadi isu perbalahan Dr. Asri dengan JAIS. Sampai jadi melalut-lalut. Yang lain tumpang sekaki. Penulis juga naik semak serabut. Apalah kita orang Melayu Islam ini. Benda sebesar tahi hidungpun, nak tunjuk juara dan kuasa, sampai mempelengongkan orang awam.

Jalan selesainya mudah. Pegawai JPJ bagaimana kualitinya pun dalam kerja hal-hal JPJ, kalau tak ada lesen memandu, dia tetap salah. Polis boleh tangkap. Tapi ingat, ilmu JPJnya tidak terjejas. Dia tetap pegawai yang mempunyai kepakaran pengurusan JPJ.

Air yang mengalir dari puncak gunung, meleleh turun melalui katur dan lurah, mengalir ke hulu sungai, mengalir ke batang kalinya, tidak boleh disekat dan di ampang begitu-begitu. Dan akhirnya air itu mengalir atau menerjah ke kuala. Di kuala mereka berkompol. Mereka tetap bernama air.

Dr. Asri diumpamakan pegawai JPJ yang tak ada lesen memandu. Titik. Pemikiran, aliran fahaman, ilmu yang dipelajari kemudian menjadi pegangan ada dalam otak Dr. Asri dan orang-orang yang seumpamanya. Ertinya mereka belajar. Bukan berguru; kepalang berguru bagai bunga kembang tak jadi. Masakan Profesor yang menjadi gurunya iblis? Masakan Universiti Jordan bangsal tunggu durian?

Kalaulah Dr. Asri akur dengan penangkapan kerana tanpa permit, kita fikir perkara ini selesai. Kalaulah JAIS pula tidak menunjuk ‘bodoh sombong’ yang ternyata menjadi tunggangan pihak lain, kita juga rasa hal ini tidak jadi melilau macam layang-layang putus tali.

Apabila membaca wawancara wartawan Utusan, Mohd. Radzi Mohd. Zin dengan AJK Pegawalan Aqidah Majlis Agama Islam Selangor, (MAIS) Mahfuz Muhamad, ternyata sarang tebuan yang dipelihara Dr. Asri telah dijolok. Mahmud Muhamad kita rasa telah menyorot pendangan dan pemikirannya ke 100 tahun ke belakang.

Dr. Asri mempertahan dari segi pemikiran. Ilmu ilmiahnya dan tidak salah sama sekali jika dia pegang sampai mati. Bukan tuduhan Wahabi yang penting, tapi apakah yang dipegang,yang diamal, yang diyakini dan yang menjadi aliran pemikirannya itu salah.

Kafirkah Asri kalau tak baca qunut solat subuh? Kafirkah Asri kalau tak baca talqin ayahnya meninggal? Zindiq atau mulhidkah Asri kalau tak buat tahlil?

Apakah syumul Islam jika budaya Israk Mikraj, Maulid, Marhaban dilakukan setiap tahun?

Kita hairan dalam rencam pemikiran kita melebar aliran pemikiran, berjuang kearah kebebasan berfikir, keterbukaan akal dalam agama, tiba-tiba kita disempit dengan hanya menerima petua dan kitab jumud hal-hal furuk atau cabang. Kita tinggal perkara asas.

Kita rasa cukup malu apabila ditimbulkan hujah hendak mematah tengkuk Asri dengan alasan membawa implikasi kepada syiriknya amalan Maulid, marhaban, menziarahi kubur dan tabarruk.

Ya Tuhan, kona mereng, cabut ceninin, tiba-tiba undur 100 tahun yang lalu. Tak pula berani bertegas tidak sah solat subuh di Mekah kerana tak ikut Syafiee, tak Ahlussunnah Waljamaah?

Tulisan ini bukan menidak aliran pemikiran Ahlussunnah Waljamaah ( saya lebih selesa menamakan aliran pemikiran dari hukum) dan tidak pula menyebelahi apa yang sangat elegik oleh JAIS, MAIS, iaitu Wahabi.

Tapi dari sudut ilmu dan ijtihad para ulama, apakah kita berpendapat Ahlussunnah Waljamaah saja yang betul, terpakai dan muktabar? Mau dilempar ke mana ilmu dan pemikiran ulama-ulama lain. Nak dihumban ke mana Hambali? Nak ditolak ke mana Hanafi dan ramai lagi pemikir, failasuf, ulama yang terdahulu yang tidak sealiran dengan Ahlussunnah Waljamaah.

Mahukah kita kata mereka tak terpakai? Mereka sesat? Mereka penghasut?

Mungkin orang akan menuduh, menolak Ahlussunnah Waljamaah bererti menolak Hadis Rasulullah, harapan Rasulullah. Tapi bagi kita, yang menjadi harubiru, caca merba dan pertelingkahan ini bukan itu, tetapi ketaksuban, kefanatikan kita tentang aliran pemikiran yang lebih terbuka.

Isu ini seingat saya sudah berlarutan di tahun 50an lagi. Penerbitan majallah Qalam sudah mendahului MAIS, mendahulu Mahfuz Muhamad.

Apakah MAIS atau JAIS beranggapan dengan menyekat dan menangkap orang yang beraliran berfikiran seperti ini membawa kebaikan dan ia satu kejayaan?

Hal Ehwal Agama Negeri Selangor selalu silap. Beberapa tahun yang lalu, ketika Datuk Rahman Palil jadi Pengerusi Agama Kerajaan Selangor (BN) ditangkap ahli Arqam (Rufaqa) kononnya ajaran sesat. Tapi yang ditangkapntya ialah mencungkil rumah kedai, menghimpun kueh baulu, karipap, kek yang dibuat oleh Rufaqa, seolah-olah ajaran sesat, seolah-olah Tuhan Rufaqa ada di kuih-kuih itu.

Mengawal aliran fikiran tidak seperti itu dan tak bukanrnya dengan cara menangkap orangnya. Aliran pemikiran seperti air yang mengalir. Ia seperti kepulan asap. Yang penting kita menafikan, berhujah dengan ilmu juga.

Apa salahnya aliran pemikiran begitu dibiarkan berkembang? Apakah mereka ini tidak mengucap? Apakah mereka ini menduakan Tuhan? Apakah mereka ini bersekongkol dengan ‘Ayah Pin?’ atau Rasul Melayu.

Ternyata JAIS atau MAIS tidak ada persediaan dalam usha membasmi apa yang mereka tidak suka aliran pemikiran seperti itu sama ada Ahlussunnah atau bukan, baik Wahabi atau Labu Labi. Dan apa yang mereka bertindak hanyalah kerana ‘tidak ngam’ bukan berdasarkan ilmu dan aliran pemikiran.

Kalau wawancara Mahfuz Muhamad AJK Pengawalan Aqidah MAIS diambil kira sebagai satu aliran pemikiran yang merbahaya, termasuk penangkapan Dr Asri juga dianggap membawa aliran pemikiran yang merbahaya, kita rasa MAIS, JAIS sekali lagi silap besar.

Ketika Arqam diharamkan, adakah aliran pemikiran Arqam itu berkubur? Hanya Asyari saja yang menjadi mangsa. Aliran pemikiran Arqam tetap hidup. Ketika hebuh buku Hadis Satu Penilaian Semula dan diharamkan, apakah pemikiran itu juga berkubur? Yang jelas ia merebak ke pusat pengajian tinggi.

Ada beberapa buku yang mencabar pemikiran umat Islam dijual secara terbuka, termasuk di Pustaka Indonesia Kuala Lumpur. Di antaranya Einstein Mencari Tuhan, Melalui Musik, Falsafah, Sains. 10 Filsuf Pemberontak Tuhan Dengan Argument Ateisme Modern, memperoalkan kenapa ‘ADA’ malah buku Unsur-unsur Menurun Dalam Persembahan Teater Melayu Tradisional oleh Dr. Amran Kasimin.

Juga novel ‘Tuhan Singgah Di Pelacuran’. Tahun enam puluhan dulu ada novel ‘Perjalanan Ke Akhirat oleh Jamil Suherman. Ada novel Atiehs malah buku-buku kerohanian. Tiba-tiba yang diharam hanya buku ‘Sembahyang Rasulullah’ oleh Abu Bakar Shaari yang kononnya dikatakan Wahabi.

Apa ni? Cerdik dan logikkah kita? Pada hal buku-buku pengaruhnya lebih dari Dr. Asri berceramah tanpa permit. Yang murtad bukan orang Perlis, tapi seorang gadis yang ikut boy freindnya.

Kalau beginilah sikap kita, yang berlegar hanya ke kawasan kenduri aruah, bacaan Yasin Malam Jumaat, Berzanji, Marhaban seolah-olah itulah tonggak Ahlussunah Waljamaah, mau ke mana umat Islam Malaysia?

Mempersoalkan bercanggah dengan hukum juga kita selalu ‘melepas pandang’ (bukan terlepas pandang.) Mana lebih bahaya (kalau benar) soal qunut solat subuh dengan doktrin agama dengan politik tidak sangkut paut. Mana lebih bahaya tidak tahlil dengan pengakuan isme atau aliran politik sekular lebih baik dari Islam? Mana lebih bahaya kenyataan Nik Aziz Umno tidak masuk syurga dengan tidak baca Fatihah ketika jenazah di usung?

Masukilah ke dalam rumah Umno dan Pas ketika membahas politik dan Islam. Tak seorang pun kata kafir atau murtad. Tak seorang pun kena tangkap.

Buka internet. Dalam bilik di rumah pegawai-pegawai JAIS dan MAIS pun ada. Mana lebih buruk dan bahaya terhadap Islam lebih dari Dr.Asri tak ada tauliah.

Inilah kita. Dalam masa kita hendak mencegah agar Islam itu terpelihara, agar aqidah itu terjaga, kita tidak sedar yang lebih dari itu kita tidak peduli.

Saya terlupa siapa yang menulisnya di dalam buku Dunia Yang Dilipat. Katanya lebih kurang begini:

Kita menanam pokok, tapi tak mengajak tanah. Kita menyuburkan tanah, tapi tak mengajak air.

Disalin dari http://aziziabdullah.blogspot.com/


6 perkara Allah sembunyikan

Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata:

'Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik
daripada aku?.' Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud.. 'Tidak'

Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada
Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. 'Wahai Jibrail, kamu telahmenyembah aku dengan ibadah yangbersungguh- sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir
zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad.' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atasperintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu.'

Kemudian Jibrail as berkata: 'Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?'
Lalu Allah berfirman yang bermaksud. 'Ya Jibrail, akan Aku berikan
syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal...'

Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga
Ma'waa.Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail as selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:

'Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya? '

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. 'Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yangtelah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan.... .'

Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah
S.W.Ttelah menyembunyikan enam perkara iaitu :

* Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalamAl-Quran.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat
(yang lima waktu).
* Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam
semua hari.

Semoga kita mendapat berkat daripada ilmu ini. Wallahualam.

Disalin dari http://pemudajiwakacau.blogspot.com/

Tanggungjawab Besar Ahli Gerakan Islam..


Kedatangan para anbiya di muka bumi ini adalah untuk melaksanakan segala perintah Allah SWT, sama ada yang berupa arahan/perintah-Nya, hukum-hakam yang termaktub dalam al-Quran di mana pada akhir-akhir ini ia hanya jadi bahan bacaan semata-mata tetapi tidak dilaksanakan. Kesungguhan para anbiya melaksanakan segala titah perintah Allah walau menghadapi segenap bentuk tribulasi adalah menjadi lumrah dalam perjuangan untuk menegakkan agama Allah SWT, atau ia dikenali dengan istilah asam garam dalam berdakwah.
Tujuan dakwah adalah bagi memastikan agar ummah berada pada tahap penerimaan segala ajaran Islam sebaik mungkin, iaitu melaksanakan perintah Allah pada masa yang sama meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya bagi meraih sebenar-benar takwa kepada-Nya.
Kisah perjuangan para anbiya dalam menjalankan tugas sebagai para utusan daripada Allah diabadikan dalam al-Quran agar ia menjadi rujukan dan inspirasi kepada ummah hari ini untuk menjalankan tugas masing-masing sebagai golongan hamba Allah yang berhak meraih pahal sekali gus dijanjikan syurga Allah pada hari akhirat. Ia diakhiri dengan Sirah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasul terakhir yang membawa kebenaran daripada Allah SWT menghadapi makhluk perosak yang sengan menghalang kemaraan kebenaran dengan pelbagai kaedah dan cara bagi memastikan ia tidak dapat sampai memasuki ruang hati-hati manusia ketika itu.

Sesungguhnya apa yang ditonjol dan ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. adalah satu sunnah dan tanggungjawab yang ditinggalkan kepada ummah ini seperti yang difirmankan oleh Allah menerusi ayat 104 surah Ali Imran yang bermaksud:

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."

Ayat di atas dengan jelas menuntut orang yang beriman menjalankan tugas dakwah dengan menyampaikan ajaran Islam kepada ummah khususnya umat Islam hari ini yang banyak disogokkan dengan unsur-unsur cara hidup yang negatif hingga terdapat di kalangan mereka yang masih belum mengenal Islam dengan baik seperti yang dikehendaki oleh Islam.

Sirah Rasulullah menjadi pegangan dan rujukan kepada golongan pendakwah/dai'e kerana ia adalah sumber pelaksanaan Islam secara praktikal, ia terbukti bagaimana baginda Rasulullah s.a.w. mempraktikkan Islam dalam bentuk pentadbiran sebuah negara Islam di kota Madinah, begitu juga dengan hal-hal yang lain seperti aspek kejiranan, kemasyarakatan, perekonomian, politik dan lain-lain, kesemuanya dibuktikan secara praktikal. Pada masa yang sama, kerja-kerja dakwah tidak terlepas daripada menerima segala macam ujian bagi mematangkan tahap emosi, tekanan diri, tidak mudah berputus asa, bersedia menerima tohmahan yang direka-reka oleh mereka yang tidak senang dengan Islam walaupun ia datang daripada mereka yang bernama Islam.

Menurut Ustaz Mustafa Masyhur dalam risalahnya bertajuk 'Zad ad-Du'ah' / 'Bekalan para pendakwah' ada menegaskan, bahawa mana-mana individu yang mewarisi kerja-kerja dakwah seperti yang ditampilkan oleh baginda Rasulullah mesti melalui ujian sama ada dilabelkan dengan pemecah belah masyarakat, pengganas dan lain-lain, ia tidak lebih daripada menguji tahap kecergasan minda dan sanubari dan mematangkan kesungguhan untuk terus berdakwah. Apa yang disebut oleh Ustaz Mustafa ada kebenarannya, kerana untuk meraih syurga Allah SWT bukanlah satu perkara yang mudah, ia terpaksa dilalui dengan ujian yang pernah disabdakan oleh baginda Rasulullah dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: "Golongan paling dahsyat menerima ujian Allah adalah para anbiya dan kemudian golongan yang serupa dengan mereka (para ulama/pendakwah)."

Keadaan ummah hari ini

Apa yang dapat disaksikan pada hari ini ialah, keadaan ummah hari boleh disifatkan sebagai separuh tenat, khususnya dari sudut kefahaman mengenai agama Islam itu sendiri. Terdapat masih ramai lagi ummah yang tidak mengenal Islam pada bentuk yang sepatutnya mereka perlu tahu.

Persoalan majlis perkahwinan yang masih kabur pelaksanaannya, hubungan ipar duai dari sudut aurat dan adab, penglibatan dalam aspek sukan, hiburan melampau dan banyak lagi yang memperlihatkan kecetekan cara berfikir mereka lantaran tidak duduk dalam majlis-majlis ilmu agama. Pada masa sama mereka jadi juara dalam mengendalikan program-program hiburan dengan pengendalian yang cukup mantap, tetapi ia berlaku pada urusan yang bersifat keagamaan.

Remaja-remaja perempuan yang mendedahkan aurat begitu berleluasa khususnya di kalangan anak-anak orang Islam. Ia bagaikan mereka seolah-olah tidak mempunyai kedua ibu bapa yang sepatutnya menasihati mereka, membonceng motosikal dengan penunggang lelaki ke hulu dan ke hilir tanpa matlamat hidup yang jelas.

Justeru, bagi ahli-ahli gerakan Islam, ia merupakan satu tugas besar serta tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Kerahan tenaga perlu digiat dan dilipat-gandakan bagi menyelamat mereka yang telah tersasar matlamat hidup mereka yang sebenar, kelas-kelas fardu ain perlu juga digandakan peranannya dan mencari kaedah bagaimana ummah/masyarakat berminat untuk datang mendengar kuliah, ceramah, forum dan sebagainya dengan menggunakan bahan teknologi terkini bagi menarik perhatian mereka.

Jika tugas dakwah tidak disampaikan, dikhuatiri ummah akan hanyut dalam arus kebendaan yang menjanjikan seribu pembohongan untuk berjaya, kerana kejayaan sebenar adalah menyampaikan 'amar makruf nahi mungkar' seperti dijelaskan dalam ayat di atas.
Sahutlah para pendakwah daripada kalangan ahli gerakan Islam, seruan Allah menerusi ayat 110 surah Ali Imran yang bermaksud:

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)."

Kita tidak akan mencapai status ummah yang baik melainkan dengan menjalankan tugas menyelamatkan manusia melalui program amar makruf nahi mungkar, kerana ia adalah program yang diperakui oleh Allah berbekalkan pengetahuan mendalam mengenai ilmu-ilmu alat seperti Sirah, ulum al-Quran, fiqh, akidah, mantiq, tafsir, hadis dan lain-lain. Para pendakwah berusaha untuk merintis jalan mempelbagaikan teknik dakwah yang mudah sampai kepada golongan sasaran yang akhirnya meyakinkan mereka bahawa Islam adalah agama yang memimpin manusia ke jalan kebenaran untuk mendapatkan rahmat Allah sekali gus disediakan bagi mereka tempat yang kekal abadi di dalam syurga.

"Bersiap Kearah KeMeNangan"

disalin dari http://faridmukhlis.blogspot.com/