Wednesday, November 11, 2009

Bagaimana Pakatan Rakyat Semakin Menghala Ke Arah Kemusnahan?


Sekiranya Perdana Menteri Najib membubarkan Parlimen pada keesokan hari, hanyalah penyokong kuat Pakatan Rakyat masih percaya Pakatan Rakyat akan memenangi pilihan raya dan memerintah. 14 bulan yang lepas, ramai yang menjadi peminat kepada idea "Pertukaran Kerajaan 916" yang diasaskan oleh Anwar walaupun ramai daripada mereka tidak ambil kisah tentang perkembangan politik negara. Seorang penganalisis politik negara telah memberitahu bahawa sekiranya pilihan raya diadakan dalam tempoh masa 6 hingga 12 bulan daripada sekarang, tugas kita hanyalah membantu Pakatan Rakyat untuk mengharungi tempoh masa selepas kebangkitan semula Barisan Nasional memperolehi majoriti 2/3 dalam Parlimen.

Sekiranya Pakatan Rakyat ingin memenangi pilihan raya, mereka harus mengekalkan 40% sokongan asas daripada pengundi Melayu dan mendapat 80% sokongan daripada peyokong bukan Melayu barulah mereka dapat memenangi hampir 100 kerusi Parlimen di Semenanjung barulah mereka boleh menuju ke arah pemerintahan Kerajaan Pusat.

Namun, sokongan pengundi Melayu kini semakin beralih kembali ke pangkuan UMNO, walaupun sokongan mereka terhadap Pakatan Rakyat masih kekal di paras tidak kurang daripada 40%, tetapi sokongan India terhadap PR semakin merosot dan boleh dikatakan telah mencecah pembahagian BN 60% dan PR 40%. Walaupun Pakatan Rakyat masih dapat mengekalkan 70% daripda sokong pengundi Cina terhadap mereka. Tapi, sekiranya Perdana Menteri mengisytiharkan pemberian RM1000.00 kepada setiap pelajar sekolah persendirian cina dan membenarkan pembukaan sekolah persendirian cina di Pahang, adakah sokongan daripada kaum cina akan jatuh ke paras 60%?

Kenapa sokongan terhadap Pakatan Rakyat merosot dengan begitu ketara? Selain daripada persaingan dalaman PR sendiri, faktor hala tuju perjuangan PR menjadi faktor besar PR semakin kehilangan sokongan.

Sebelum pilihan raya 308, Pakatan Rakyat telah memilih 3 perjuangan utama iaitu:
1) Politik berasaskan kepelbagaian kaum
2) Pentadbiran yang bersih
3) Mendemokrasikan sistem pentadbiran

Pendirian Barisan Nasional sememangnya bertentangan dengan 3 perjuangan PR ini iaitu politik perkauman, amalan rasuah dan pentadbiran yang tidak berteraskan rakyat.

Kejayaan "Polisi Najib" sebenarnya hanya berasaskan 2 faktor utama iaitu hubungan antara kaum dan hubungan agama.

Politik perkauman yang diamalkan oleh UMNO terutamanya menjadi semakin menyemarak selepas kemenangan besar pada pilihan raya 2004 telah menyebabkan banyak pengundi atas pagar melepaskan geram ke atas UMNO.

Sekiranya UMNO berjaya menghindari politik perkauman dan politik agama mereka, maka pengundi akan memberikan peluang kepada mereka untuk memerintah negara semula. Sekiranya kerajaan pusat dapat menguruskan hubungan antara kaum dan agama dengan baik, maka pengundi sebenarnya tidak kisah dengan kelakuan kegiatan rasuah pada tahap yang boleh diterima. Konsep "1Malaysia" yang diperkenalkan oleh Najib sebenarnya telah diformulakan khas untuk memenangi sokongan dariada para pengundi. Peningkatan sokongan pengundi terhadap Najib telah membuktikan Najib memilih landasan yang betul untuk mencari balik sokongan pengundi.

Sekirannya kita menganalisiskan polisi yang dilaksanakan oleh Najib, kita akan memperhatikan bahawa kebanyakan konsepnya adalah berasaskan konsep "Ketuanan Rakyat" yang diperkenalkan oleh Anwar dan juga konsep "Pas Untuk Semua" daripada PAS. Oleh kerana Barisan Nasional masih merupakan kerajaan pusat maka mereka mempunyai keutamaan untuk melaksanakan polisi sebegini supaya pengundi bukan Melayu hilang rasa tidak percaya terhadap UMNO. Sekiranya Najib berjaya untuk menangkis pemikiran pengundi bukan Melayu yang lalu iaitu memangkah selain daripada parti UMNO, maka sudah pasti UMNO akan memenangi pilihan raya dengan sokongan pengundi Melayu yang sedia ada.

Untuk memerangi langkah Najib ini, Pakatan Rakyat seharusnya berkerja dengan lebih kuat supaya pengundi bukan Melayu percaya dengan hasrat mereka. Namun Pakatan Rakyat menghadapi masalah:

1) Pakatan Rakyat masih belum memerintah kerajaan pusat maka Najib masih sempat melaksanakan polisi mesra rakyat yang diperkenalkan oelh Pakatan Rakyat.
2) Pemimpin Melayu dalam Pakatan Rakyat harus memiliki keyakinan yang tinggi iaitu keyakinan untuk menangkis serangan hendap daripada UMNO dengan melabelkan mereka sebagai pengkhianat bangsa supaya mereka dapat terus memperkenalkan polisi yang berteraskan bangsa Malaysia.

Malangnya polisi Pakatan Rakyat sekarang telah dianggap terlalu menyebelahi pengundi bukan Melayu oleh segelintir pemimpin dalam Pakatan Rakyat. Tindakan Kerajaan PAS Kedah, Exco Selangor Hassan Ali, Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan telah membantu untuk membina imej UMNO lebih sesuai untuk mentadbir negara yang berbilang kaum.

Malangnya Pakatan Rakyat telah kehilangan faktor hubungan kaum yang dapat memberikan kredit besar kepada pentadbiran Pakatan Rakyat, maka satu lagi pilihan Pakatan Rakyat ialah pentadbiran yang bersih. Kerajaan CAT Pulau Pinang merupakan contoh yang terbaik untuk faktor ini. Selain itu, Kerajaan Selangor dan Perak yang sebelum dirampas juga mengamalkan sifat "Good Governance". Sebenarnya Pentadbiran yang bersih boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu Pentadbiran bersih yang berasaskan konsep demokrasi dan Pentadbiran bersih yang berasaskan konsep kekuatan ekonomi seperti Singapura. Malangnya Pakatan Rakyat memilih pentadbiran bersih yang berasaskan konsep kekuatan ekonomi malah mereka menyatakan mendemokrasikan pentadbiran masih boleh ditundakan lagi.

Konsep "Stupid, it’s economy!" ini membolehkan Pakatan Rakyat mengurangkan tanggapan orang ramai iaitu terlalu memihak kepada pengundi bukan Melayu malah menunjukkan pemimpin PR takut kehilangan sumber ekonomi negeri mereka.

Pengumuman Laporan Akauntan Negara baru-baru ini yang memuji pentadbiran PR merupakan satu kejayaan kepada Pakatan Rakyat, tetapi sekiranya PR terlalu menekankan pencapaian ekonomi mereka, ia boleh memberikan markah tambahan kepada kerajaan pusat kerana mereka mempunyai keutamaan dalam pelaksaan ekonomi negara. Sekiranya Pakatan Rakyat ingin menekankan faktor ini, ia harus memberikan imej kepada pengundi bahawa mereka handal dalam urusan pentadbiran negara, namum ia sukar untuk dilaksanakan.

Selain itu, Pentadbiran yang bersih juga memerlukan pentadbiran yang kukuh. Namum selain daripada Kelantan dan Pulau Pinang, negeri PR lain dimana kerusi mereka hanya setaka melepasi 1/2 daripda dewan kini menghadapi serangan hendap daripada BN. Sekiranya Najib mengambil langkah untuk memerangi rasuah dengan membawa beberapa pengawai yang rasuah menghadap mahkamah maka "Pentadbiran yang bersih" dan "hubungan antara kaum" akan menjadi dua tarikan supaya pengundi menyokong Najib.

Pilihan yang tidak dapat dimanfaatkan oleh Najib ialah mendemokrasikan sistem pentadbiran. Sekiranya Najib memperkenalkan langkah mendemokrasikan sistem pendbiran maknanya sistem 1 parti memerintah sekarang iaitu UMNO akan menghadapi jalan buntu. Walaupun Barisan Nasional masih memerintah tetapi mereka terpaksa untuk memperkenalkan polisi yang mesra kepada semua rakyat Malaysia. Inilah sebab kenapa Najib sehingga sekarang masih tidak memansuhkan ISA, mengikat media, tidak memperbaharui sistem pilihan raya, tidak menubuhkan IPCMC untuk menyemak tindakan polis.

Mendemokrasikan pentadbian memberikan manfaat kepada Pakatan Rakyat. Walaupun sama ada Najib akan melaksanakan sistem ini atau tidak, ia masih memberikan markah tambahan kepada Pakatan Rakyat. Malangnya Pakatan Rakyat paling tidak berusaha kuat dalam pilihan ini. Jadi boleh salah siapa?

Kata dua Anwar: Setia atau keluar PKR


Di sebalik cakap-cakap bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini alami krisis keyakinan, Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi memberi kata dua kepada pemimpin dan anggotanya — sama ada setia atau keluar daripada parti itu jika tidak mahu mengikut dasar dan keputusan ditetapkan.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata, beliau bersedia untuk menerima kritikan terhadap parti tetapi tidak boleh berkompromi dengan ahli-ahli yang tidak boleh mengikut dasar yang ditetapkan oleh pucuk kepimpinan.

"Semua anggota parti mestilah menyokong agenda perubahan, bekerja untuk Pakatan Rakyat atau terpaksa disingkirkan daripada parti,” kata beliau dipetik Bernama.

Ini dilihat sebagai pendirian tegas dinyatakan Anwar ekoran perkembangan dalam parti itu sejak beberapa bulan lalu.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen menyatakan demikian ketika merasmikan Konvensyen PKR Pulau Pinang di sini malam tadi.

Dalam ucapannya malam tadi, Anwar menambah, langkah itu diambil kerana ramai pemimpin PKR yang mahu tindakan tegas dikenakan terhadap anggota yang tidak dapat mengikut dasar parti.

"Beri komitmen kepada parti atau tinggalkan parti dan sertai Umno,” kata beliau lagi.

PKR, yang kini berhadapan dengan masalah dalaman sejak beberapa bulan lalu termasuk isu Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah keluar PKR untuk menjadi ahli Bebas yang menyokong Barisan Nasional, sedang mengadakan konvensyen peringkat negeri.

Konvensyen PKR Perak akan berlangsung pada 14 November ini dan disusuli Selangor dan Kelantan pada keesokan hari manakala PKR Wilayah Persekutuan pula 16 November, Terengganu (20 November), Negri Sembilan, Melaka dan Johor (22 November) manakala Kedah dan Perlis (10 Disember).

Di Sabah pula krisis dalaman parti itu bermula dengan penentangan terhadap pelantikan Naib Presiden PKR, Azmin Ali sebagai ketua perhubungan negeri sehingga membawa kepada 18 daripada 25 ketua bahagian menghantar memorandum bantahan ke peringkat pusat.

Sebelum Azmin, PKR negeri diketuai Anwar sendiri yang dilantik menggantikan Ansari Abdullah.

Bagi menyelesaikan kemelut tersebut, PKR pusat melantik Ahmad Thamrin Jaini sebagai ketua perhubungan negeri yang baru.

Bekas Naib Presidennya, Datuk Jeffrey Kitingan hanya dilantik sebagai ahli dalam Majlis Integrasi Nasional untuk Sabah dan Sarawak. Keputusan itu mendorong peletakan jawatan Jeffrey dan Ketua PKR bahagian Kota Kinabalu, Christina Liew daripada semua kedudukan dalam PKR pusat bulan lalu.

Beberapa hari sebelum itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang menyertai PKR Jun lalu mengumumkan beliau akan bercuti selama enam bulan dari Biro Politik parti itu, dipercayai ekoran masalah dalaman.

Beliau dilaporkan mengambil keputusan itu selepas dihalang daripada menghadiri program-program di Sabah.

Sementara itu, Anwar yang mengulas pandangan pengunjung-pengunjung blognya berhubung isu "katak dalam parti" yang dipercayai dikaitkan dengan isu ADUN Pelabuhan Klang, berkata, masyarakat Klang dan Selangor arif masalah tersebut.

"Saya dukacita mengenangkan pengorbanan ramai rakan yang berhempas-pulas memenangkan mereka sewaktu pilihan raya umum yang lalu.

"Namun akhirnya mereka telah memilih jalan untuk mengkhianati amanah rakyat. Ini merupakan satu pengajaran buat kami," katanya.

Oleh itu jelas beliau, pemilihan harus lebih teliti pada masa depan manakala jentera parti harus lebih mantap dan diperkukuhkan di semua peringkat.

Sultan Tiada Kuasa Memecat Nizar


“ Tunjukkan mana-mana peruntukkan di dalam Perlembagaan Perak yang memberi kuasa kepada Y.M Sultan Perak untuk memecat Nizar sebagai Menteri Besar ( MB ) Perak yang sah”. Itulah intipati hujah pasukan peguam Nizar semasa berhujah di Mahkamah Persekutuan , Putrajaya pada 5 November yang lalu.

Peguam Zambry dan Peguam Negara berhujah bahawa Zambry adalah MB yang sah kerana beliau telah dilantik oleh Y.M Sultan Perak di bawah Perkara 16 ( 2 ) Perlembagaan Negeri Perak. Peguam Nizar pula berhujah sebelum Zambry boleh mendakwa dia adalah MB Perak yang sah beliau perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa jawatan MB yang disandang oleh Nizar telah dikosongkan ataupun Nizar telah dipecat secara sah berdasarkan Perlembagaan Negeri Perak.

Sepertimana yang dikatakan oleh Harley CJ ( Borneo ) di dalam kes Stephen Kalang Ningkan v Tun Abang Haji Openg and Tawi Sli ( 1966 ) 2 MLJ 187 , terdapat dua keadaan di mana Governor ( atau Sultan ) mempunyai bidibicara iaitu (a) dalam isu pelantikan MB dan ( b ) enggan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri ( DUN ) .

Harley CJ seterusnya berkata “ As regards to ( a ) , nobody could be so foolish to suggest that a Governor could appoint a second Chief Minister while there was still one in office..” ( Terjemahan : “Berkenaan ( a ) , tiada orang yang terlalu bodoh untuk mencadangkan bahawa Governor boleh melantik MB yang kedua jika MB yang pertama masih memegang jawatan tersebut.” )

Apa yang jelas sehingga 5 November 2009 Zambry masih tidak dapat membuktikan bahawa kerusi MB yang Nizar pegang telah dikosongkan atau Nizar telah dipecat secara sah oleh Sultan Perak.

Peguam Zambry dan Peguam Negara berhujah bahawa memandangkan Nizar telah memohon secara betulis pada 5.2.2009 kepada Sultan bagi pembubaran DUN Perak di bawah Artikel 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak dan memandangkan Sultan enggan menggunakan budibicaranya untuk membubar DUN Perak maka Nizar dan barisan exconya hendaklah meletakkan jawatan berdasarkan peruntukkan itu.

Peguam Zambry dan Peguam Negara juga berhujah bahawa di dalam surat Nizar kepada Sultan bertarikh 5.2.2009 itu Nizar mengatakan jumlah kerusi BN dan PR adalah sama banyak iaitu masing-masing 28 kerusi kerana kerusi tiga ADUN yang melompat telah diisytiharkan kosong oleh Speaker. Peguam Zambry dan Peguam Negara berhujah jika pun jumlah kerusi BN dan PR adalah sama iaitu 28 Nizar masih lagi tewas jika undi tidak percaya diadakan kerana kerusi PR sebanyak 28 itu termasuk kerusi speaker maka jika undian dibuat speaker tidak boleh mengundi maka PR hanya boleh dapat 27 undi sahaja.

Peguam Nizar menjawab sebelum Artikel 16 ( 6 ) hendak digunakan oleh Zambry mestilah terlebih dahulu dibuktikan bahawa Nizar telah kehilangan kepercayaan oleh Adun –Adun dan bagi menentukan hal tersebut perlu diadakah sidang dewan bagi para Adun membawa undi tidak percaya kepada Nizar. Di dalam kes ini adalah jelas tiada sebarang undi tidak percaya telah diambil dari mana-mana sidang Dun. Oleh itu prasyarat Perkara 16 ( 6 ) tidak dipenuhi di dalam kes ini.

Peguam Nizar juga berhujah bahawa berdasarkan sejarah negara ini undi tidak percaya yang dibuat di dalam sidang dewan pernah berlaku di dalam kes di Trengganu pada tahun 1961. Pada tahun 1959, PAS berjaya membentuk Kerajaan di Trengganu dan MB yang dilantik adalah Y.B Daud Samad. Pada 26/10/1961 Ketua Penerangan Umno Tuan Syed Jaafar Albar telah mengumumkan bahawa Perikatan telah menjadi parti majoriti kerana 3 orang Adun PAS dan 3 orang Adun Parti Negara telah melompat menyertai Umno.

Pada 30/10/1961 undi tidak percaya dibuat di dalam Dun Trengganu ke atas MB , Daud Samad. Selepas undi tidak percaya Daud Samad telah meminta Sultan Trengganu membubarkan Dun Trengganu namun Sultan enggan berbuat demikian. Sultan kemudiannya melantik Ibrahim Fikri dari Perikatan sebagai MB yang baru.

Jelas Sultan hanya bertindak selepas undi tidak percaya dibuat di dalam sidang dewan.

Mengenai hujah Zambry bahawa Nizar masih lagi tewas jika undi tidak percaya diadakan kerana kerusi PR sebanyak 28 itu termasuk kerusi speaker dan memandangkan speaker tidak boleh mengundi maka Nizar akan kalah jika undi dibuat peguam Nizar menjawab seperti berikut : Ya, benar speaker , Sivakumar tidak boleh mengundi tetapi jika benar-benar ada sidang Dun untuk diambil undi tidak percaya kepada Nizar apakah yang menghalang untuk Sivakumar meletak jawatan speaker dan menjadi ADUN biasa dan seterusnya mengundi. Tidakkah waktu itu kedudukan PR dan BN adalah 28 : 28. Sudah tentu jika BN terlalu bodoh melantik Adun mereka sebagai speaker sebagai ganti Sivakumar maka kerusi BN akan berkurang sebanyk 27 dan PR pula mempunyai 28 kerusi.

Peguam Nizar juga berhujah apabila Nizar enggan meletakkan jawatan adakah Sultan ada kuasa memecat beliau. Peguam Zambry dan Peguam Negara kata Sultan ada kuasa. . Peguam Nizar menjawab sila tunjukkan peruntukkan mana yang memberi kuasa itu. Peguam Zambry kata meskipun tiada peruntukkan khusus Sultan dianggap mempunyain kuasa itu ( deemed to have such a power ).

Peguam Nizar menjawab mestilah ada satu peruntukkan anggapan ( deeming provision ) di dalam Perlembagaan Perak sebelum Sultan dianggap mempunyai kuasa itu.

Sebagai contoh hujah peguam Nizar terdapat peruntukkan anggapan di bawah Perkara 19 ( 1 ) di Bahagian 2 Perlembagaan Perak bahawa Sultan dianggap telah mengosongkan jawatannya jika baginda tidak hadir dalam tempoh yang lama di dalam sidang Dewan Negara dan ketidakhadiran untuk tempoh yang lama itu tanpa alasan yang mencukui atau alasan yang munasabah. Jelas sebelum jawatan Sultan itu boleh dinggap dikosongkan Perlembagaan Perak secara jelas memperuntukkan peruntukkan berkenaan anggapan tersebut.

Hal yang sama tidak berlaku di dalam kes pengosongan jawatan MB. Tiada peruntukkan yang menyatakan bahawa jika MB enggan meletakkan jawatan kerusi MB dianggap telah kosong. Tanpa peruntukkan penting itu bagaimanakah Mahkamah boleh membuat anggapan sepertimana yang dihujahkan oleh Peguam Zambry dan Peguam Negara.

Peguam Nizar menyatakan Perlembagaan Perak dengan secara jelas menyatakan di dalam Perkara 16 ( 7 ) Perlembagaan Perak bahawa tidak seperti mana exco yang dilantik atas kerelaann Sultan ( at his pleasure ) jawatan MB tidak dipegang atas kerelaan Sultan. Oleh itu tidak timbul Sultan boleh memecat Nizar sebagai MB Perak yang sah.

Hujah telah diberikan terpulanglah kepada lima orang Hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan. Bagi 5 orang hakim itu saya ingin menukilkan nasihat Hakim Israel iaitu Ehud J yang menyatakan “ Apabila para hakim duduk untuk menghakimi, hakikatnya merekalah yang sedang dihakimi.” Ya, rakyat sedang menghakimi 5 orang hakim tersebut.

http://peguampas.blogspot.com/

Raja Petra Membicarakan Apa Yang Berlaku Dalam Kes Anwar Ibrahim


Sumber: Malaysian Today
Penulis: Raja Petra Kamarudin
Terjemah Oleh: Semangat Reformasi '98
Tajuk: Apakah yang berlaku pada masa itu? (Let’s talk a walk down memory lane)


THE CORRIDORS OF POWER

Raja Petra Kamarudin

Ada antara anda yang mungkin telah terlalu muda untuk mengingati tentang perbicaraan liwat pertama Anwar Ibrahim. Dengan keluarnya keputusan mahkamah yang terkini berkenaan perbicaraan liwat kedua Anwar (http://mt.m2day.org/2008/content/view/28387/84/), maka inilah masanya bagi kita mengimbau kembali kenangan lalu bagi mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang cara perbicaraan liwat pertama dahulu dikendalikan.

Saya akan cuba menerangkannya dengan semudah mungkin, yakni tanpa terlalu banyak menggunakan istilah undang-undang. Apa yang perlu anda fahami adalah cara perbicaraan itu dikendalikan dan sebab saya mengatakan bahawa perbicaraan itu adalah perbicaraan yang penuh dengan penipuan.

Anwar didapati bersalah dan terpaksa meringkuk di dalam penjara selama enam tahun tujuh bulan, sedangkan di negara lain, kes seperti ini akan dibatalkan oleh mahkamah tanpa memerlukan Anwar membela diri. Dengan kata lain, di negara lain, tiada perbicaraan akan diadakan bagi kes seperti ini, malah Anwar pasti dibebaskan tanpa disuruh membela diri.

Mari kita imbau kembali segala kebobrokan yang berlaku semasa perbicaraan pertama dahulu. Dalam bahagian 2 nanti, kita akan membincangkan mengenai lain-lain isu pula:

1. Polis mengakui bahawa memang tidak pernah ada laporan polis terhadap Anwar dan bahawa asas bagi memulakan pendakwaan adalah khabar angin dan kandungan sebuah buku.

2. Orang yang dikatakan menjadi mangsa liwat, iaitu Azizan, telah melalui proses 'turn over' untuk mengatakan bahawa Anwar meliwatnya ('turn over' adalah istilah yang digunakan bagi merujuk kepada 'memaksa') – mahkamah diberitahu bahawa inilah amalan 'biasa' polis Malaysia.

3. Sebelum pendakwaan dimulakan, Cawangan Khas (polis) ada menghantar laporan kepada Perdana Menteri, iaitu bahawa tuduhan terhadap Anwar adalah pembohongan semata-mata. Ia dilakukan pengkomplot tertentu bagi menjatuhkan Anwar.

4. Jenayah liwat itu dikatakan berlaku ‘pada suatu hari dalam bulan Mei 1994'. Polis mengatakan bahawa tarikh ini adalah berdasarkan maklumat yang diperolehi semasa mereka menyoal siasat ‘mangsa’. Inilah tuduhan pertama yang dibuat.

5. Tetapi kemudian, ‘mangsa’ mengatakan bahawa dia tidak pernah diliwat selepas Mei 1992. Jadi, pertuduhan 'Mei 1994' tidak dapat diteruskan. Pertuduhan kemudiannya diubah kepada 'Mei 1992', yakni supaya ia konsisten dengan kenyataan ‘mangsa’. Kesilapan ejaan pula digunakan sebagai alasan bagi meminda pertuduhan.

6. Anwar kemudiannya memfailkan Notis Alibi, sekaligus membuktikan bahawa pada Mei 1992, Tivoli Villa, iaitu tempat di mana liwat dikatakan berlaku masih dalam pembinaan. Jadi, adalah mustahil bagi jenayah liwat itu berlaku masa, tarikh dan tempat yang dinyatakan dalam pertuduhan.

7. ‘Mangsa’ kemudiannya disoal siat buat kali kedua bagi 'membantunya mengingati tarikh yang sebenar'. Selepas dia 'ingat tarikh sebenar', pertuduhan itu sekali lagi dipinda kepada 'suatu hari antara 1 Januari 1993 dan 31 Mac 1993'.

8. Ketika Pembelaan berhujah bahawa undang-undang menghendaki pertuduhan yang lengkap dengan waktu, tarikh dan tempat kejadian yang spesifik, dan apabila Anwar berjaya memberikan alibi bagi kesemua 90 hari dari 1 Januari - 31 Mac 1993 untuk membuktikan bahawa dia tidak pernah berada di tempat kejadian, Pendakwaan membalas dengan mengatakan bahawa ‘sejak dahulu lagi, tarikh tidak penting’. Menurut mereka, meskipun mereka tidak dapat menentukan waktu dan tarikh yang tepat berkenaan ‘jenayah’ yang dilakukan Anwar, ini tidak penting selagi mereka dapat menentukan tempat kejadian.

9. Hakim perbicaraan tersebut akan menyoal peguam Anwar sebelum mana-mana saksi dipanggil, dengan tujuan untuk mengetahui tentang keterangan yang akan diberikan oleh saksi itu. Sang hakim kemudiannya akan memutuskan bahawa saksi-saksi berkenaan tidak relevan dan tidak membenarkan mereka dipanggil.

10. Ketika saksi pembelaan memberikan keterangan, hakim akan mencelah dan tidak membenarkan mereka untuk menyudahkan keterangan mereka.

11. Setiap kali Pendakwaan gagal mematahkan mana-mana keterangan dan keterangan itu dianggap dapat menjejaskan hujah Pendakwaan, maka si hakim akan memutuskan bahawa bukti/keterangan itu tidak relevan dan akan membuangnya dari rekod mahkamah.

12. Dalam jenayah seks, keterangan daripada mangsa sahaja tidak mencukupi. Ia perlu disokong bukti tambahan. Walau bagaimanapun, dalam pertuduhan yang dikenakan terhadap Anwar Ibrahim, tiada bukti yang menyokong keterangan mangsa.

13. Apabila Pembelaan meminta agar ‘mangsa’ dihantar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi menentukan sama ada dia diliwat ataupun tidak - masih ada masa untuk melakukannya, Pendakwaan menolak. Mereka mengatakan bahawa pemeriksaan kesihatan tidak konklusif (dapat dipertikaikan).

14. Pada masa yang sama, adik angkat Anwar, Sukma, yang dituduh bersubahat dengan Anwar bagi melakukan ‘jenayah’ ini dan dituduh secara bersama dengan Anwar - dan sebelum itu, dia dipenjarakan selama enam bulan kerana 'membenarkan Anwar meliwatnya’ - diperiksa oleh Dr. Zahari Noor, yang mengatakan bahawa dia tidak menemukan bukti bahawa Sukma pernah diliwat. Bahkan, Sukma didapati menderita dari buasir. Ini disebabkan saluran duburnya yang sangat kecil. Jadi, adalah tidak mungkin bagi Anwar meliwatnya - Sukma terpaksa dibedah untuk membesarkan saluran duburnya, yakni bagi membolehkannya membuang air besar. (Sukma didapati bersalah dan dipenjarakan atas 'pengakuannya', yakni yang diperolehi melalui penyeksaan yang dilakukan oleh polis).

15. Saksi-saksi memberikan keterangan bahawa individu-individu tertentu dengan kedudukan yang tinggi merasuah ‘mangsa’ dan pengkomplotnya untuk memalsukan bukti terhadap Anwar. Namun begitu, Pendakwaan enggan memanggil individu-individu terbabit ke mahkamah untuk membantah ataupun mengesahkan dakwaan ini. Apabila mereka cuba disepina oleh Pembelaan pula, mahkamah tidak membenarkannya. Hakim kemudiannya memutuskan bahawa keterangan saksi-saksi itu adalah 'khabar angin' - kerana ia tidak pernah disahkan mahupun dinafikan - dan menolak untuk mempertimbangkannya.

16. Saksi Pendakwaan memberikan keterangan yang bercanggah dan sentiasa mengubah keterangan mereka. Walau bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa walaupun mereka tidak konsisten, ‘ketidaktekalan ini telah dijelaskan' dan mahkamah berpuas hati dengan penjelasan tersebut. Mahkamah juga mengatakan bahawa tiada manusia yang dapat menjadi 100% konsisten dan bahawa setiap orang, walau sejujur mana sekalipun, pasti tidak dapat konsisten sepanjang masa.

17. Seorang peguam terkemuka dan bekas pengerusi Majlis Peguam Malaysia, Manjeet Singh Dhillon memberikan keterangan dan menandatangani Akuan Bersumpah, yang mana dia menyatakan bahawa Peguam Negara dan Ketua Pendakwaan mengugut anak guamnya, yang mana anak guamnya akan dijatuhi hukuman mati jika dia tidak memberikan keterangan bahawa dialah orang tengah bagi Anwar mendapatkan perempuan. Tiada tindakan yang diambil terhadap mereka dan mereka terus mengetuai pendakwaan terhadap Anwar. Pada masa yang sama, tiada tindakan yang diambil terhadap peguam yang melakukan 'penipuan berniat jahat’ ini. Jadi, tuduhan ini tidak pernah dipersoalkan.

Misteri wahabi di Malaysia


Perkataan “wahabi” dalam penulisan Barat mempunyai berbagai huraian. Kesemuanya menjurus kepada aliran Islam yang dilihat begitu berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara literal dan enggan melihat tafsiran yang lebih moden atau tafsiran yang agak “western influence”. Clinton Bennet memasukkan “wahabis” dan deobandis di bawah kelompok “traditionalists” yang bererti sekali gus berada di bawah aliran “fundamentalist” (lihat: Muslim and Modernity 18-20, London: Continuum).

Sebahagian penulisan Barat melihat wahabi sebagai aliran yang menganggap “hanya Islam agama yang benar”, wajib menegakkan “Islamic State”, adanya “jihad” menentang kuffar dan lain-lain ciri-ciri yang dianggap unsur “padang pasir” sekaligus cuba dikaitkan dengan terrorism.

Di Malaysia pula, perkataan “wahabi” adalah perkataan misteri. Apa tidaknya, ramai yang menyebutnya atau menfitnah orang lain dengan menggunakan perkataan itu, padahal mereka pun tidak faham.

Bagi mereka, itu adalah senjata untuk mempertahankan diri ketika dikritik. Saya masih ingat, di satu tempat di sebelah Utara, apabila ada imam yang mengenakan bayaran untuk solat dan zikirnya, lalu dia dikritik atas sikap salah guna agama untuk kepentingan diri, dengan mudah dia menjawab: “siapa tak setuju dengan saya dia wahabi”.

Pemberi nasihat yang barangkali tidak terdedah kepada banyak maklumat dan kali pertama mendengar perkataan itu, terpinga-pinga bertanya: “apa itu wahabi?”. Jawab tok imam: “Siapa yang mengkritik ustaz dia wahabi”. Maka tidaklah berani lagi “penasihat” itu berbeza pandangan dengan “tok imam” dan mempertikaikan “infallibility” ustaz, takut jadi wahabi.

Di sesetengah tempat seseorang dituduh wahabi kerana menentang amalan-amalan khurafat. Umpamanya, menggantung gambar orang tertentu seperti sultan atau tok guru dengan kepercayaan boleh menambah untung atau rezeki, atau mengikat benang hitam di tangan bayi yang baru lahir atas kepercayaan menolak sial atau bala dan berbagai kekarutan yang menghantui sebahagian masyarakat. Malangnya amalan-amalan ini bukan sahaja mendapat restu sesetengah yang bergelar “ustaz”, bahkan merekalah puncanya. Jika ada yang mengkritik, untuk mempertahankan diri maka “sang ustaz” itu dengan mudahnya akan menyebut: “awak wahabi”.

Sama juga, mereka yang tidak bersetuju dengan kenduri arwah dituduh wahabi. Padahal kitab Melayu lama Bughyah al-Talab karangan Syeikh Daud al-Fatani sendiri menyebut: “(dan makruh) lagi bid”ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid”ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya”. Jika pun mereka tidak dapat menerima bahan mereka sendiri, mengapa mereka merasa diri “infallible”, dan mengharamkan orang lain berbeza dengan mereka dengan menggunakan senjata “awak wahabi”.

Sesetengah kelompok agama pula, mereka membaca dan menyebarkan riwayat-riwayat yang tertolak; seperti Israliyyat yang bercanggah dengan nas-nas Islam, hadis-hadis palsu atau kisah-kisah wali atau sufi yang menjadikan manusia keliru tentang keanggunan Islam.

Mereka menyebarkannya dalam ceramah dan sesetengahnya menjadikannya modal untuk “bisnes” mereka. Islam menjadi kabur dengan cerita-cerita itu dan menyebabkan agama agung ini kelihatan bagaikan “kartun” dan “lucu”. Jika ada yang menegur para penceramah ini; jawapannya “awak wahabi”. Walaupun yang menegur itu tidak pernah pun membaca buku Muhammad bin Abdul Wahhab.

Lebih buruk lagi apabila isu wahabi digunakan oleh pihak berkuasa agama. Jika ramai pegawai agama itu atau yang sealiran dengan mereka bertarekat, atau pembaca hadis-hadis palsu dan lucu, maka mana-mana sahaja guru yang mengajar al-Quran dan hadis sahih serta tidak bersetuju dengan kekeliruan itu akan disenaraikan sebagai wahabi dan diharamkan mengajar di masjid dan surau. Nama sultan akan digunakan.

Dalam masa yang sama mereka membiarkan kemungkaran yang jelas di sana sini, lalu sibukkan diri dengan kelompok revivalist yang tidak mengancam masyarakat sama sekali. Jika ada pun, ancaman itu kepada pemikiran kejumudan dan kekolotan, bukan kepada masyarakat. Untuk menjustifikasikan kesibukan mereka dengan kelompok ini sehingga meninggalkan kemungkaran hakiki, mereka kata: “ini lebih bahaya kerana wahabi”. Apa itu wahabi? Jawab mereka wahabi itu wahabi!

Sikap ini menjadi lebih panas apabila munculnya di Malaysia “aliran pengkafir umat” yang bernama Ahbash yang bersekongkol dengan sesetengah pihak agama.

Di peringkat yang lebih tinggi, istilah wahabi dikenakan kepada mereka yang tidak terikat dengan mazhab al-Syafi”i. Kononnya, mereka yang tidak ikut mazhab itu wahabi. Saya telah sebut nas-nas ulama tentang hal ini dalam artikel-artikel yang lepas.

Persis seperti yang disebut oleh Dr al-Qaradawi:

“Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah swt” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru” wa al-Tafarruq al-Mazmum , m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah).

Apa yang menariknya di Malaysia, sesetengah “mereka ini” apabila menjadi “penasihat-penasihat” bank, bagi memenuhi keperluan bank-bank yang beroperasi atas nama Islam itu, mereka bersetuju pula dengan pandangan-pandangan hukum yang diambil tanpa mengikut mazhab.

Bahkan pandangan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h begitu banyak diambil dalam masalah muamalat ini. Ini kerana, di seluruh dunia pandangan-pandangan beliau memang dikutip dalam memajukan masyarakat Islam. Padahal “sesetengah mereka ini” di luar mesyuarat bank yang ber”elaun” itu, mereka menuduh Ibn Taimiyyah wahabi, dan sesiapa yang bersetuju dengan Ibn Taimiyyah sebagai “wahabi”. Bahkan di luar bank mereka bersekongkol dengan golongan yang mengkafirkan atau menyesatkan Ibn Taimiyyah.

Demikian ketika saya menjadi mufti dahulu, apabila saya memberikan padangan larangan mengintip (tajassus), boleh menjawab salam bukan Muslim, wajib membinkan kepada bapa asal sekalipun bapanya bukan Muslim, masjid untuk kaum cina, keluasan menerima pandangan dan lain-lain lagi, maka pandangan-pandangan ini dituduh oleh sesetengah pihak agama sebagai wahabi. Padahal pandangan tersebut jika dibincangkan di Barat dianggap dalam aliran modernism atau rationalism dan penentangnya mungkin akan dimasukkan kepada kelompok wahabism.

Di Malaysia, sebaliknya, yang terbuka itu wahabi dan sesat, yang tertutup itulah yang “membolot segala kebenaran”. Cara fikir beginilah yang menguasai sektor-sektor agama kerajaan dan mencepatkan “pereputan” kekuatan kerajaan yang ada. Cara fikir begini jugalah yang menguasai sesetengah aliran agama dalam pembangkang. Sebab itu barangkali, 50 tahun kemerdekaan, bukan Muslim bukan sahaja tidak bertambah faham, sebaliknya bertambah keliru dan tegang mengenai Islam.

Tindakan mereka ini mengingatkan saya kepada artikel David Brubaker bertajuk “Fundamentalism vs Modernism: A Consideration of Causal Conditions” bahawa penentangan terhadap pembaharuan lebih merujuk kepada masalah survival kelompok. Dalam usaha untuk hidup dan terus mendapat tempat dalam masyarakat dan kerajaan, maka golongan pembaharuan akan ditentang.

Bagi saya, bukan isu wahabi sebenarnya, tetapi bimbang terpinggirnya tempat dan kedudukan. Namun, apabila mereka merasa ada ruangan untuk mendapat “kedudukan” seperti isu perbankan tadi, mereka dapat pula menerima pandangan yang berbeza tanpa menuduh bank yang memberi elaun bulanan dan elaun mesyuarat itu sebagai “bank mazhab wahabi”.

David Brubaker menyebut untuk survival mereka terpaksa memilih antara dua “occomodation or resistance”. Maka, di Malaysia ramai yang dituduh wahabi, namun ia adalah tuduhan misteri. Saya juga tidak menafikan ada yang dianggap wahabi itu sendiri perlu bertolak ansur dalam sebahagian pendapat. Namun, untuk menuduh orang lain wahabi hanya kerana perbezaan pendapat, itu adalah sikap jakun yang cuba hidup di zaman globalisasi.

*Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah bekas Mufti Perlis