Sunday, July 17, 2011

UMNO.PMO,media Dan Berih 2.0

Oleh Syed Imran

Seorang pemimpin UMNO kurang senang kerana saya menyiarkan foto pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam blog ini yang ber kaitan bantahan jalanan oleh Bersih 2.0 pada 9 Julai. Saya tidak hairan dan terperanjat dengan sikapnya itu kerana itulah pemikiran mereka yang selalunya berada dalam kotak.

Adalah menjadi hak mutlak saya sebagai seorang pengamat bebas yang menulis secara bebas tanpa menerima petunjuk ataupun arahan daripada mana-mana pihak jauh sekali menerima upah atau bayaran.



Kepada saya, foto itu cukup berharga, tidak kiralah sama ada ia satu lakonan Anwar, seperti yang dikata oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, atau ia benar-benar berlaku.

Saya sedar bahawa foto itu tidak akan mendapat tempat dalam mana-mana akhbar arus perdana ataupun stesen-stesen tv yang sama ada dikuasai, dikawal atupun dimiliki oleh parti-parti politik pendokong pemerintah atau syarikat-syarikat yang dimiliki mereka.

Foto itu disebar ke seluruh dunia oleh agensi berita Reuters kerana ia mempunyai nilai berita.

Apabila saya menyiarkan foto itu bersama-sama foto lain yang dikutip daripada laman-laman sesawang akhbar The Star dan Malaysiakini, saya memberi peluang kepada pembaca blog untuk mengamati mengenai apa yang berlaku.

Seperti yang saya katakan awal lagi, saya adalah seorang penulis bebas, saya tidak bekerja untuk mana-mana pihak dan jauh sekali menerima arahan sama ada secara lisan atau bertulis daripada Pejabat Perdana Menteri atau PMO seperti yang berlaku ke atas akhbar dan media arus perdana. Oleh itu, apa yang saya tulis mungkin tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu, saya tidak kisah kerana itu hak mereka.

Sebagai seorang yang pernah bertugas dengan agensi berita kebangsaan Bernama selama 27 tahun dan hampir lima tahun sebagai setiausaha akhbar kepada menteri di JPM, saya cukup masak dan sedar akan 'arahan' yang sering diterima oleh media daripada PMO, tetapi ia tidaklah sehebat apa yang berlaku sebelum bantahan jalanan oleh bersih 2.0.

Seperti yang disiar oleh media dalam talian Malaysia Today pada 11 Julai, media arus perdana dan hampir semua media pro-pemerintah menerima petunjuk dan pesanan daripada PMO berkaitan isu Bersih, untuk perhatian dan tindakan, di mana perlu.

Petunjuk dan pesanan itu, yang lebih merupakan 'arahan' berpunca daripada apa yang diputuskan oleh Biro Politik UMNO, iaitu biro paling berpengauh dan 'berkuasa' dalam UMNO. Apa yang diputuskan oleh biro yang dipengerusi oleh Najib itu lazimnya menjadi 'dasar' atau 'hala tuju' pemerintah.

Petunjuk dan pesanan bertulis itu yang disebut sebagai 'nota' diedarkan kepada media oleh ketua pasukan komunikasi kebangsaan di PMO, Abdul Jalil Hamid, mantan wartawan. Nota itu menggarisi panduan dasar dan apa yang harus dibuat dan dielak oleh media dalam menangani isu Bersih 2.0.

Antara 'nasihat' yang disampaikan kepada media termasuklah memberi gambaran buruk terhadap pertubuhan dan pemimpin-pemimpin penting Bersih, mengulang sebut bahawa ia adalah perhimpunan haram dan mereka yang mendokong Bersih adalah pengacau dan cuba mencabar Perlembagaan dan undang-undang untuk mendapat pulangan politik.

Media juga diminta membangkitkan kebimbangan di kalangan rakyat bahawa Bersih bekerja untuk kepentingan anasir-anasir luar negara yang cuba menggugat kestabilan negara. Bersih sebenarnya tidak bersih kerana ia adalah perkumpulan haram yang hanya ingin menimbulkan kacau bilau.

Kementerian Dalam Negeri perlu tegas dengan kuasanya ke atas media agar mereka tidak tersasar dari landasan manakala polis akan bertindak ke atas penganjur Bersih berlandaskan ratusan laporan yang dibuat di seluruh negara.

Media juga diminta mengutamakan berita yang berkisar kepada bagaimana perniagaan, peniaga-peniaga kecil, pelancongan dan orang ramai yang akan terjejas akibat rancangan Bersih dan mempersoalkan dari mana Bersih mendapat dana untuk mengadakan tunjuk perasaan itu.

Tiga tokoh utama akan dijadikan 'mangsa' sasaran iaitu Anwar, timbalan presiden PAS Mat Sabu yang dilabel sebagai budak suruhan Anwar dan tali barut DAP dan pengerusi Bersih S. Ambiga. Media diminta guna foto Ambiga bersama-sama pemimpin Pakatan Rakyat untuk menunjukkan keakrabannya dengan mereka.

Media juga diminta mengurangkan penggunaan 'muka-muka yang sama' iaitu Zulkifli Nordin, Zahrain Hashim dan Ibrahim Ali selaku 'alat serangan' tetapi cuba cari muka-muka baru di kalangan Pemuda BN dan NGO tertentu. Stesen-stesen tv akan terus menyiarkan imej demonstrasi-demonstrasi ganas yang berlaku di luar negara.

Sekarang pembaca sudah pasti tahu kenapa stesen-stesen tv selalunya mewawancara Zulkifli dan Zahrain, dua orang mantan wakil rakyat PR yang kini bersifat wakil rakyat bebas mesra BN, apabila pihak media ingin menghentam pemimpin pembangkang tertentu. Saya yakin Zulkifli dan Zahrain akan mendapati amat sukar untuk mempertahan kerusi masing-masing pada PRU akan datang, itupun jika mereka dipilih oleh BN untuk bertanding atau bertanding atas tiket bebas.

Saya tidak mahu mempersalahkan sepenuhnya ketua-ketua pengarang, pengarang bersekutu, pengarang kumpulan mahupun pengarang media arus perdana yang hampir semuanya bergelar datuk dan datuk seri semata-mata kerana mematuhi apa yang diminta oleh PMO. Mereka semestinya dan seharusnya ingin pertahan kedudukan, jawatan dan habuan bulanan kerana bukan mudah untuk menduduki kerusi masing-masing apatah pula keselesaan dan kemewahan.

Yang perlu diingati ialah kuasa yang ada pada rakyat, bukan kuasa yang ada pada PMO, KDN, PDRM ataupun SPR. Jika rakyat puas hati dengan pencapaian BN, maka mereka akan mengekalkan kuasa pemerintah kepada gabungan itu dan jika mereka memilih PR, maka akan berubahlah segala-galanya termasuk kedudukan para pengarang media arus perdana.

http://kudaranggi.blogspot.com

Adegan yang terharu buat 1Malaysia: "Bagi Cina semua keluar dulu, kita jalan nanti"

Oleh: jiannge

Pada 9 Julai 2011, saya menyertai perhimpunan aman BERSIH 2.0. Saya dibasahi hujan, dua hari keletihan dan saya merehatkan diri selama dua hari, sekarang barulah ada mood untuk mencatatkan perasaan saya. Ramai warga internet telah menulis kisah 709 masing-masing, maka saya cuma nak mencatatkan adegan-adegan yang memahat hati sahaja.

1. Saya berkenalan dengan kawan Melayu baru. Seorang ahli PAS yang berpengalaman dalam demonstrasi sebelumnya memegang tangan saya, "Terima kasih kerana sokongan kamu (orang Cina)". Saya menjawab, "Ini usaha yang saya patut lakukan. Ini negara saya juga." (Rupa-rupanya dari pandangan mereka, orang Cina hanya mengaut keuntungan dan mengutamakan keuntungan sahaja. Jadi mereka amat gembira apabila ternampak dua tiga wajah orang Cina.)

2. Seorang uncle Cina membawa isterinya dan dua orang anak yang usianya kira-kira 20 tahun. Tinggi, kurus dan kelihatan lemah. Beliau memesan anaknya, "Cepat, cepat ikut mereka (kelompok orang). Apa takut? Bukan suruh kita pergi mati pun? Jangan takut, kita bukan orang besar. Sekarang bilangan orang yang diperlukan (perhimpunan), kita mesti sokong!" (Kebanyakan ibu bapa akan memarahi anak mereka, agar tidak terlibat dalam perhimpunan. Mengapa pula keluarga ini "terbalik" keadaannya?)

3. Seorang Melayu yang agak lanjut usianya berkata kepada beberapa orang pemuda Cina, "Kita mahu tunjuk perasaan , bukan kemarahan." (EQ pemuda Melayu lebih tinggi daripada orang Cina kali ini, memang cukup kelayakannya untuk berkata sedemikian.)

4. Sepasang suami isteri membawa dua orang anak, yang usianya kira-kira 8 hingga 10 tahun, mengambil makanan ringan di atas tangga. Hati saya berfikir, "Berkelah ke?" Wanita Melayu itu menatap saya, seolah-olah memahami apa yang bermain dalam fikiran saya. Maka beliau senyum dan berkata, "Kami nak mereka tahu, dari kecil lagi, malah belajar bagaimana memperjuangkan demokrasi." (Lantas saya mengangguk-angguk kepala saya, agak malu dengan diri saya yang memandang rendah orang tadi.)

5. Sepasang suami isteri Melayu yang lanjut usianya, mengeluarkan topeng yang kelihatan seolah-olah alat mainan dari beg plastiknya, dengan tangan yang bergetar. Mereka dengan ghairah berkata kepada saya, "Kami ada buat persediaan, kamu ada?" (Hati saya berfikir, memang kamu perlukannya, sebab kamu tak dapat lari dengan cepat!)

6. Sepasang suami isteri Cina yang muda, bukan sahaja turun ke jalan raya, malah membawa kereta bayinya. Mereka memakai baju hujan semasa air hujan mencurah dari langit. Malah, kereta bayinya sudah disediakan dengan kain kalis air. Dengan cepat saya menutup kereta bayinya, kemudian bersama dibasahi hujan di situ. (Bayi pun turut serta dalam perhimpunan, comel juga bayi tu!)

(Selepas saya balik, saya menceritakan kisah ini kepada jiran saya. Makcik-makcik itu mencelah, "Aiyoh, buat apa pergi demo? Apa kena-mengena dengan kita? Memang tak ada otak langsung. Bawa bayi pulak? Mengapa tidak kamu marahnya?" Saya berbisik dalam hati, "Aunty, saya terasa nak marah kamu...")

7. Seorang Mat Salleh nampak saya mengejar untuk merakamkan gambar bagaimana FRU menyuraikan orang ramai. Beliau berlari mengikut saya, malah berulang-kali berkata kepada saya, "You must put it in the media." (Brother, kamu terlebih memandang tinggi teknik sayalah. Saya bukannya pro (profesional) sangat...)

8. Kawan Melayu saya memberitahu saya, dirinya mempunyai pengalaman yang banyak untuk berdemonstrasi - bagaimana beliau tidak gentar dengan kuasa, bagaimana bertahan sehingga akhir, malah beliau berjanji untuk menjaga saya. Ketika gas pemedih mata ditembak untuk pusingan pertama, beliau menarik saya dan berlari. Dalam hati saya tertanya-tanya, "Bukankah kamu kata nak bertahan sampai ke akhir?"

Selepas kami keluar dari kelompok manusia, beliau menunjuk ke satu arah, "Kamu jalan dari sini. Tunggu kami di Stadium Merdeka. Kami akan berjumpa kamu di sana. Hubungi kawan yang lain. Bilangan yang menyertai perhimpunan dah mencukupi sekarang. Saya percaya polis akan lebihkan serangannya. Kamu tak boleh singgah di sini."

Saya bertanya, "Macam mana kamu pula?" Dia jawab, "Saya nak ke baris depan, bersama kawan saya." Seterusnya, beliau memaling dan melangkah menuju ke kepulan asap gas pemedih...

Akhirnya, saya berhimpun dengan kawan saya di tempat yang berhampiran dengan stadium, dan menyertai perarakan terakhir yang menuju ke Stadium Merdeka. Polis mengejar dan menangkap. Saya tidak lagi menemui kawan Melayu saya itu lagi. Saya dimaklumkan kemudiannya bahawa beliau telah ditangkap, bagaimanapun dibebaskan juga akhirnya.

Nota akhir:


Saya membaca pengalaman ramai peserta, termasuk cerita Aunty Anne yang membuatkan saya terharu. Tetapi saya tidak menitiskan air mata, sehingga saya terbaca catatan seorang warga internet,

"Adegan yang paling memahat ingatan saya sepanjang perhimpunan itu adalah, ketika kami sekumpulan orang melarikan diri dari tangkapan polis melalui pagar di belakang Hospital Tung Shin, orang Melayu menendang pagar itu dengan kakinya, dan berkata 'Bagi Cina semua keluar dulu, kita jalan nanti'. Kata-kata ini terus menusuk hati saya, saya amat terkagum! Kini barulah saya menghayati apa makna sebenarnya 'saling menolong tanpa mengira kaum dan budaya dalam Satu Malaysia', dan bukannya '1 Bumi, 1 Malaysia' yang didukung Barisan Nasional'. "

Tiba-tiba saya sebak. Saya tahu apa yang dikatakannya adalah kisah benar, ini kerana kawan Melayu saya juga menjaga saya. Lebih-lebih lagi, kawan saya dalam Facebook rata-ratanya menceritakan pengalaman bagaimana sahabat Melayu menjaga orang Cina kali ini. Mungkin mereka menganggap orang Cina jarang menyertai perhimpunan, tiada pengalaman.

Mengapa saya tersentuh dengan hal yang remeh sebegini? Kerana saya amat memahami, orang Cina adalah kaum minoriti di Malaysia. Seandainya minda perkauman ini tidak dipecahkan, orang Cina akan tetap ditindas dan tidak dilayan dengan adil. Namun, kerajaan kita bersikap perkauman, ditambah pula PERKASA yang melaga-lagakan, hal ini sukar diselesaikan!

Perhimpunan ini melakar gambaran masa depan untuk saya, malah mengubah persepsi saya terhadap kaum Melayu secara menyeluruh. Seandainya dikatakan negara ini musnah kerana politikus dari kaum ini, maka negara ini juga akan bangkit kerana kaum ini! Saya masih menaruh harapan dan keyakinan terhadap kaum ini dan negara ini.

Kawan-kawan Cina saya, perhimpunan aman tidak menakutkan. Jom turun untuk sokong lain kali!