Laman Politik Malaysia, Isu-Isu Semasa Yang Terkini Dan Sensasi, Artikel Terkini, Isu-Isu Agama & Dakwah. Semoga Mendapat Keredhaan dariNya. Insyaallah.
Thursday, July 14, 2011
AL- KESAH KITA DAN DIA
Maka pada pagi yang mulai ini hamba pun pergilah mengambil bulu ayam dan dakwat untuk mencatatkan surah ini agar anak cucu cicit kita nanti tidak akan tertanya-tanya ; agar cucu cicit dan piut kita tahu apa yang telah berlaku pada hari Sabtu 9 Julai 2011 di Kurun Masehi ke 21 ini. Biarlah hamba menjadi Tok Perawi yang saheh membawa kesah dari mulut ke mulut agar menjadi ajaran dan pedoman kepada cucu cicit kita yang akan datang. Yang busuk kita tanamkan hendaknya dan yang bersih kita kesahkan lah hendaknya. Amin.
Wahai anak cucu cicit sekelian; kesahnya bermula dari sini:
Kalau di negeri Arab Palestine telah berlaku Nakba pada 15 Mei 1948 apabila kaum Zionis dari Eropah datang dan menghalau Arab Palestine dari tanah air mereka. Meleleh air mata orang Palestine melihat tanah-tanah mereka dirampas dan diduduki oleh kaum Zionis.
Kesedihan orang Palestine itu kita rasakan sama kerana kita pula di Tanah Melayu ini telah juga mendapat Nakba atau Malapetaka pada 31 Ogos 1957 apabila penjajah British meninggalkan tanah air kita ini kepada gerombolan United Malays National Organisation dan suku sakatnya.
Inilah Malapetaka kita. Inilah Nakba orang Melayu. Inilah Malapetaka dan Nakba yang telah menimpa anak semua bangsa di Malaysia ini. Semenjak Malapetaka ini sampai; hampir setengah kurun yang lampau, orang Melayu telah di bodoh-bodohkan. Orang Melayu telah di gula-gulakan. Orang Melayu telah ditakut-takutkan. Ya ampoon ini lah Malapetaka. Inilah Nakba.
Adalah hendak dijadikan cerita; hamba hanyalah Tok Perawi yang membawa kesah dari mulut tuan yang empunya ceritera. Dapatlah hamba diberitahu bahawa telah ramailah rakyat seluruh negeri ingin berhimpun kepalang peri. Telah terdengar kesah yang amat ngeri tentang orang ditipu ketika mengundi. Diketahui umum seluruh negeri duit dipakai untuk membeli undi. Maka marahlah rakyat seluruh negeri kerana selama ini mereka ditipu dalam pilihanraya setiap kali.
Maka nujum dan pawang pun di panggil datang untuk menetapkan tarikh dan ketika. Memilih saat memilih masa ketika bulan tidak mengambang. Ketika matahari condong ke batang. Ketika panas mula menghilang. Hari hari terus dihitung dan dibilang. Hari yang baik dan bulan yang baik diikat dengan saat dan ketika. Saat itulah saat gumbira. Saat yang hendaknya rakyat seluruh negara akan turun beramai-ramai ke jalan raya agar kita semua dapat bercempera. Hari yang Bersih disalut oleh hati yang Bersih.
Bila berita pecah terbuka. Maka menyingalah Najib mukanya marah mukanya berpuaka. Najib pun lantanglah menjerit bersuara. Ke hulu ke hilir membawa berita. Najib mengarahkan adinda sepupu agar tangkas bersiap sedia kerana rakyat telah berani bangun bergegak gempita.
Maka dirancangkah satu rancangan. Maka disusunlah satu susunan. Maka dikumpulkan lah soldadu upahan. Lalu dipanggil para pemikir. Maka Gerombolan pun bekerja dan berpakat seperti biasalah. Menggunakan cara lama yang telah biasa. Pemikir dan soldadu mendapat upah mendapat imbuhan. Sepakatlah mereka bersatu pendapat. Rakyat yang telah mula berani bangun wajib ditakut-takutkan. Rakyat yang mula sedar ini perlu di bodoh-bodohkan.
Mengikut orang dalam yang empunya berita semua saluran media telah diberitahu tentang akan munculnya satu berita yang paling baru. Mengikut tuan yang empunya ceritera dikatakan pada suatu malam yang gelap gelita ada seorang Mamat masuk ke pusat kota. Datang membawa bom dan segala bentuk senjata. Adalah mengikut surah ini si Mamat ini bangang lagi lah bodoh bukan kepalang. Datang membawa senjata memakai topeng; mukanay pula disapu arang. Memakai baju dan seluar yang compang lagi camping hinggakan nampak perut terbarai dan bontot tersadai.
Si Mamat ini di surahkan hendak menyimpan semua senjata ini ditempat yang sulit. Bukan di celah kangkang atau didalam parit tetapi ditepi busut disebalah kedai Kentucky tak jauh dari tempat Mat Pet berjual beli. Seantero negara seluruh negeri diberitahu bahaya datang kepalang peri. Senjata menunggu masa dan ketika untuk meletup sendiri. Parang dan bom ini menunggu isyarat untuk terbang melayang layang memenggal leher ibu dan abang.
Tidak cukup dengan kesah bom dan parang di tepi Sogo datang pula kesah seorang Mamat sudah tertangkap. Bukan di rumah dan bukan di kebun. Bukan di Kerinchi bukan di Pandan tapi di Keramat yang jauh tidak jauh dari jalan. Tempat terletak disebelah kuil China. Mengikut kesahnya si Mamat ini sedang berusaha menanamkan parang , bom dan senjata.
Wahai adik abang dan kakak, biar hamba kesahkan lagi ; inilah cara inilah gaya; inilah teknik, inilah strateji untuk menakut-nakutkan rakyat seluruh negeri agar jangan berani turun ke jalan raya. Adalah bom adalah parang dipasang sendiri oleh soldadu upahan. Adalah jelas adalah nyata tidak ada sesiapa turun ke jalan raya Bersih membawa senjata.
Inilah tipu inilah helah. Inilah rupa kerja manusia diwaktu siangnya dia menipu diwaktu malamnya dia menjarah. Biarlah disini hambo memanjangkan surah. Wahai abang abang dan kakak kakak sila lihat sila perhatikan gambar parang dan gambar molotov. Aduhai bodoh lah polis yang makan upah. Aduhai SB yang membeli parang. Ushalah sikit. Bergeaklah sikit.Jangan beli parang dari kedai yang sama. Nampak sangat malas bekerja. Parang ini sepesen sepesol. Serumpun macam baru dibeli borong dari Kedai Aked Mara di Kuala Kangsar.
Tidak cukup dengan ini tipu helah Gerombolan terbonggenglah sudah. Hendak menipu pun kita wajib pandai di sekolah. Tanyalah Lebai Google dari rumah orang sebelah. Nak tahu tentang molotov cocktail carilah surah. Wahai Rosmah hambo nak beritahu, isteri tuan hamba bangang terserlah mengarahkan SB membuat molotov memakai botol plastik yang salah. Kenapalah bangang wahai menteri Hishammuddin Hussein; molotov cocktail perlu botol kaca, botol plastik tempat menyimpan kencing sehingga haring.
Aduhi segala hamba Allah berita yang dirancang oleh Gerombolan semua menjadi berita salah. Kenapalah tidak difikir dan tidak ikut usrah. Kenapa tutup botol plastik semuanya warna merah jambu macam kain tudung Sang Puteri. Apakah otak apakah yang salah. Adalah SB bangang atau tak cukup kena tarbiah. Hambo yang menjadi Tok Perawai kini jadi serba salah – nak menangis pun ada nak tersenyum pun salah.
Tidak cukup dengan ini seantero negeri pun mula di beritahu tentang Jepun akan datang menyerang. Macam Belanda sampai di Melaka. Kereta perisai dibawa keluar. Helikopter berligar liar. Jalan di kawal siang dan malam. Bas di tahan kereta dipereksa. Kad pengenalan wajib ada. Beg di buka kereta di geledah macam anjing mencari dadah. Inilah sahaja satu kaedah untuk menakut-nakut rakyat yang sudah bijak bermadah.
Maka akan tercatitlah dalam sejarah tentang tentera yang akan dibawa keluar. Telah didengar khabar berita bagaimana ada jeneral ada yang mula berkata tugas tentera bukan untuk Gerombolan. Bukan untuk membunuh rakyat orang kampong sanak saudara sahabat dan taulan.
Mengikut tuan yang empunya ceritera apabila Najib diberitahu duduk pekara. Dia pun gelabah tak tentu hala. Kejap nak jumpa Bersih kejap berjanji memberi Stadium Negara. Najib berdolak. Najib berdalik. Perangai tak ubah semacam kera yang tercabut ekor di Tasek Bera.
Hambo sebagai Tok Perawi tidak mahu berlagak sombong.Hambo hanya berniat nak menyambung cerita. Ibu bapa adik dan kakak jangan senyum tapi ketawalah terbahak-bahak. Hambo nak royak kesah kumpulan Perkasa yang bukan main ribut melahak-lahak. Bingar bising macam halilintar membelah busut. Beribu anggota akan dijemput. Untuk membuat onar dan bikin kelam kabut. Rakyat terdengar rakyat lalu rakyat pun menyahut. Semua mula berkata ‘ kami tak takut’.
Auta Perkasa sudah teserlah. Maka geng silat pula masuk mencelah. Ini lagi lawak hinggakan kita ketawa mata terbeliak; jangan menuduh hambo ini Tok Perawai yang berat sebelah. Tapi inilah hakikat cerita yang telah menjadi sejarah kita. Perkasa lesap hilang entah kemana muntah kedarah. Geng silat ramai yang datang tetapi sudah tersalah. Perhimpuann Bersih di Kuala Lumpur tetapi geng silat semua berkumpul di Kuala Pilah. Mereka berzikir dan berzakar. Berkelintau memukau memakai akhirnya ghaib hilang ke negeri entah berentah.
Maka tinggal Pemuda Patriot Berbaju Merah. Hambo diberitahu mereka semua datang kerana makan upah. Apabila tak ramai yang datang berkumpul maka Menantu Ayah menjadi gelabah. Lalu Mat Bangla diberiupah pakai Baju Merah. Tak cukup dengan Mat Bangla i si Patriot menghina diri lagi. Demonstrasi belum lagi selesai mereka semua sudah masuk ke dalam kedai Kentuki.
Kepada cucu cicit yang akan datang zaman berzaman ; marilah kita belajar dari al-kesah ini. Hendaknya kesah ini akan turun temurunlah. Hendaknya disurahkanlah dari mulut ke mulut dari laman ke laman dari blog ke blog dari twitter ke twitter.
Diakhirnya ini hambo sebagai Tok Pewari ingin mengundur diri. Hambo disini merakam sejarah untuk anak segala bangsa. Nakba dan Malapetka tidak akan kita tangisi. Rakyat sudah berani bangun untuk melawan. Dengarlah wahai yang zalim dan wahai yang jahat; kita saentero negara tidak akan lagi takut. Datang lah taufan datang lah Perkasa, datanglah silat datanglah Patriot. Semua ini hanya kentut-kentut hangat. Setelah Malapetaka busuk ini pergi Bersih akan menyusun lagi. Kalau lapan tuntutan tidak apa apa jadi Bersih akan turun ke jalan sekali lagi.(TT)
Wednesday, December 9, 2009
Sikap dan Tingkahlaku dlm GLC Felda
Salam Sejahtera Tuan Pengarang, Saya harap agar pihak Tuan dpat menyebarkan maklumat ini agar terbongkar segala kerosakan dan kebinasaan yang akan berlaku dalam GLC Felda ini yang ditunjangi oleh kroni-kroni Rosmah Mansor dan juga Najib 1Malaysia..Inilah saja cara yang dapat kami lakukan selain daripada membuat aduan yang tidak akan dilayan oleh sesiapa pun malahan jika tidak bernasib baik, akan dikenakan tindakan yang berat walaupun sekadar untuk mencari dan menegakkan kebenaran.
Jasa baik pihak Tuan amat saya hargai. saya akan menghantar segala maklumat-maklumat terbaru yang berkaitan dengan GLC ini untuk mededahkan segala kepincangan yang membebankan semua petugas-petugas yang amat tertekan lagi lemah. Sekian.
KPI GLC FELDA VS KPI NAJIB 1MALAYSIA
Sistem KPI (KEY PERFOMANCE INDICATOR) yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri 1Malaysia baru-baru ini adalah merupakan cerita lama yang telah ditayang semula. Betulkah boleh menjadi kenyataan sebenar bila ianya dilaksanakan. Mari kita lihat apa yang berlaku di Felda Holdings sebuah syarikat yang diterajui oleh anak emas Dato Seri Najib 1Malaysia (Datuk Bakke).
Sistem KPI telah lama dilaksanakan di Felda Holdings sebelum kedatangan DATUK BAKKE dan TAJUDDIN CARRIM lagi. Walaubagaimanapun, memang diakui sistem KPI ini baik bagi meningkatkan motivasi petugas jika perlaksana (pemberi markah KPI) tersebut benar-benar mengikut konsep dan prinsip sistem berkenaan. Malangnya sistem ini tidak digunapakai oleh TAJUDDIN CARRIM dan kroninya semasa menentukan kenaikan pangkat petugas kerana terdapat PETUGAS YANG KUAT MEMBODEK dan tak tahu buat kerja, tetapi beliau dinaikkan pangkat juga. Contoh yang terbaru ialah kenaikan pangkat PENGARAH EKSEKUTIF ke jawatan PENGARAH EKSEKUTIF KANAN yang diumumkan baru-baru ini. Tiga nama telah diumumkan. Salah seorangnya adalah manusia yang bernama HALIM HAMID. Rata-rata petugas tidak berpuashati dengan kenaikan dan perlantikan beliau sebagai PENGARAH EKSEKUTIF KANAN ini kerana sepanjang perkhidmatan beliau memegang beberapa tampuk syarikat kumpulan Felda, belum pernah syarikat berkenaan mendapat keuntungan.
HALIM HAMID ini atau lebih dikenali sebagai HALIM PENDEK atau HALIM MISAI TEBAL ini pernah menerajui syarikat FELDA RUBBER INDUSTRIES, dimana syarikat ini pada masa itu telah didapati mengalami kerugian beratus juta akibat dari shortage stock yang berjumlah BERIBU-RIBU MT. Semasa beliau menerajui Felda Trading pula, syarikat berkenaan telah KERUGIAN LEBIH RM 100 JUTA. Ini berlaku apabila beliau telah mengarahkan akauntan supaya meminda akaun setiap bulan supaya menampakkan keuntungan walaupun sebenarnya syarikat itu mengalami kerugian. Sebaliknya, CEO yang mengambilalih syarikat ini pula telah dipersalahkan atas kerugian tersebut berakibat dari tindakan yang dilakukan oleh HALIM PENDEK ini. Walaupun orangnya pendek, kerugian yang berlaku adalah sangat banyak dan berpanjangan. Walaupun beliau PENDEK, tetapi akalnya PANJANG untuk menipu dan bermain wayang.
Selepas merugikan kedua-dua syarikat ini (hingga sekarang masih nyawa-nyawa ikan), beliau telah dilantik pula menjadi CEO di FELDA KOKO atau MCM. Syarikat ini juga mengalami nasib yang sama seperti dua syarikat diatas, mengalami kerugian berjuta-juta ringgit. Ini berlaku akibat daripada kelemahan pengurusan HALIM PENDEK ini. Soalnya disini, bagaimana beliau boleh dinaikkan pangkat sehingga berada dalam kedudukan yang tinggi dalam sesuatu syarikat? Hebatkah DIA? Pandai sangatkah DIA urus syarikat? Apa ilmu yang DIA pakai? Apa tangkal yang DIA ada? Itu tak pastilah. Yang pasti, semua petugas tahu sikap BODEK yang beliau ada sehingga menggunakan isterinya untuk MEMBODEK isteri TAJUDDIN dan DATUK BAKKE. Nampak gayanya dua-dua (LAKI BINI) pandai dalam urusan BODEK ini. Apakah ini yang dikatakan sebagai KPI? Adalah diharapkan agar mendapat perhatian wajar dari Ybhg. Tan Sri Yusof Noor supaya budaya BODEK ini terhapus dari menjadi budaya dalam Felda ini.
Sekian.
“BODEK BUKAN BUDAYA KITA”
- Gen-2 FELDA -
Mahathir dan Nazri - dua kali lima
Oleh Kuda Ranggi
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mohamad Nazri Abdul Aziz menuduh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad sebagai seorang yang bersikap perkauman kerana mempertahankan Biro Tata Negara atau BTN.Menjawab tuduhan itu, Tun Mahathir secara terang-terangan menuduh Nazri juga seorang yang bersikap perkauman kerana menganggotai sebuah parti politik perkauman, iaitu UMNO. Mahathir cabar Nazri supaya letak jawatan.
Monday, December 7, 2009
Antara Tak Tahu Nak Kata Apa-apa Dan Kata Entah Apa-apa
Muhyidin dah tak tahu nak kata apa-apa. Sebelum ini dia memang pandai berkata-kata. Senang saja, kalau tak tahu nak kata apa-apa, jangan kata apa-ap
a. Biarkan MB Kelantan terus dengan doanya.Mudah-mudahan bila TPM diam, itu membawa petanda positif bahawa royalti minyak untuk Kelantan akan dibayar
Kalau bayar royalti minyak kepada Kelantan, tentu tidak timbul isu Nik Aziz akan doa pecah perut. Bukankah mudah, mesra, selamat, indah, nyaman, kalau begitu. Mengapa pilih jalan susah? Royalti minyak hak Kelantan dan doa juga menjadi hak rakyat Kelantan. Apa pula hak Umno? Ya, hak Umno ialah merampas hak orang.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno ini pula, kata entah apa-apa. Chan Ming Kai pakai baju Melayu sempena Aidil Fitri dan menyertai takbir raya pun diungkit kembali.
Alahai, kalau inilah piawai pemikiran SU Perhubungan Umno Perak, nampaknya makin jauhlah untuk Umno mendapat kembali sokongan rakyat Perak. Bercakap entah apa-apa.
Di Kedah, ADUN Umno tidak hadir sidang DUN sampai kerusinya diisytiharkan kosong. Di Perak SU Perhubungannya bising pasal ADUN PKR yang bukan Melayu menyertai majlis takbir. Di Pulau Pinang, ADUN BN digantung daripada menghadiri sidang dewan kerana tunjuk ‘p***g**gnya’.
Memang benar madah Tun Dr M, Umno busuk dari kepala sampai ke usus.
Disalin dari http://bongkarsauh.blogspot.com/
Wednesday, November 25, 2009
Bagaimana pemimpin BN perbodoh kita
Saya salin ucapan dua Ahli Parlimen pada 23/11/09 dalam posting ini. Saya yakin anda boleh lihat sendiri bagaimana pembesar dan kroni Barisan Nasional (
BN) perbodoh kita. Duit dan amanah rakyat depa belasah ikut suka depa. Bukan sahaja dalam soal saham beras seperti yang diceritakan Saifuddin Nasution Ismail dalam ucapannya, malah dalam soal beli kemah pun depa tibai sampai sengkak seperti yang dibangkitkan dalam ucapan Mahfuz.
Kalau kita kata kurang ajaq depa marah. Tak pa la, kita tak kata kurang ajaq kepada puak yang kurang ajaq.
Berkaitan:
Opposition questions sale of Bernas to Syed Mokhtar (The Edge 24/11/09, comments here)
Ucapan Mahfuz:
Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Saya ingin menyentuh B.21 ini 010400 – Industri Padi dan Beras. Sebelum ini kita telah pun lihat bahawa timbulnya isu pemilikan saham Bernas oleh syarikat daripada dua yang hampir-hampir kita lihat bahawa boleh menjejas industri padi dan beras negara kita. Ini kerana kalau itulah yang memang sudah terjadi tetapi kalau kita tidak diberikan informasi atau pun maklumat sudah pasti bahawa industri padi dan beras negara kita ini akan dikuasai oleh kepentingan syarikat asing yang berpangkalan di Hong Kong. Jadi oleh sebab itu saya melihat bahawa seperti seolah-olah kerajaan seperti tidak dapat mengawal sehingga menyebabkan berlaku pembelian saham-saham Bernas yang dimiliki oleh pemegangpemegang saham yang kecil ini dibeli oleh syarikat dari luar sedangkan perkara ini telah pun sebelum ini saya sebut dalam kenyataan media sudah pun berlaku pembelian ini sejak daripada tahun 2001.
Jadi satu perkara yang malang bahawa proses pembelian ini berlaku sejak daripada tahun 2001 tiba-tiba kerajaan tidak dapat hendak mengesan tentang pembelian yang sudah sampai kepada peringkat satu jumlah yang sangat tinggi dan hampir melayakkan mereka untuk mendapat pemilikan penuh ke atas Syarikat Bernas. Oleh sebab itu saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak kerajaan siapakah pemegang-pemegang share yang dibeli oleh Wang Tak Co. Ltd ini? Ini sangat penting untuk kita mengetahui dan berapakah jumlah daripada setiap pembelian yang dibuat oleh Syarikat Wang Tak ke atas pemegang-pemegang saham kecil ke atas Wang Tak itu sendiri?
Keduanya ialah tentang berkaitan dengan soal sejauh mana peranan Suruhanjaya Sekuriti khususnya dalam melihat isu ini? Apakah mereka tidak dapat mengesan pembelian yang dibuat oleh Syarikat Wang Tak sehingga boleh menjejaskan sektor strategik dalam negara kita iaitu sektor industri padi dan beras. Sektor ini menjadi sektor strategik dalam negara kita kerana Bernas diberikan oleh kerajaan untuk permit import beras dari luar ke dalam negara kita. Apabila syarikat Bernas itu dikuasai oleh pemegang asing maka mereka akan menguasai ke atas permit import AP beras itu sendiri. Ini yang menjadikan sektor strategik ini boleh terjejas akibat daripada tidak ada kawalan dari segi keselamatan ke atas pemakanan utama dalam negara kita ini. Jadi saya hendak tahu tentang peranan Suruhanjaya Sekuriti sendiri dan juga wakil kerajaan yang berada dalam Bernas itu sendiri.
Ketiganya ialah apabila timbul isu ini diberitahu bahawa pihak kerajaan akan mengusahakan supaya diambil semula pemilikan yang dikuasai oleh Wang Tak dan saya difahamkan bahawa syarikat yang dimiliki oleh Syed Mokhtar iaitu satu lagi Syarikat Tradewind mengambil alih saham yang dimiliki oleh Wang Tak. Saya hendak tahu adakah Tradewind memiliki dan mengambil alih sepenuhnya saham yang dimiliki oleh Wang Tak ataupun hanya beberapa peratus sahaja? Ini kerana saya lihat bahawa Tradewind ini ialah anak syarikat yang dimiliki oleh Syed Mokhtar yang lebih banyak mengendalikan urusan gula dalam negara kita ini.
Yang keempatnya, yang saya ingin mendapat penjelasan, apakah hasil kajian yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini ke atas BERNAS untuk melihat dari segi prestasi, sama ada keperluan untuk diberikan satu lagi tempoh yang lebih panjang untuk kelayakan mereka mendapat AP bagi mengimport beras daripada luar ini.
Sewajarnya, ingin saya dapat penjelasan daripada pihak kerajaan, apakah kerajaan tidak pernah terfikir untuk mengambil balik soal kuasa untuk mengimport beras daripada luar itu supaya dipegang dan dikontrol oleh pihak kerajaan sendiri. Ini kerana sebelum ini pun kita lihat bekas Menteri Pertanian dan juga Timbalan Perdana Menteri sekarang pun begitu berang terhadap BERNAS yang menaikkan harga tanpa persetujuan daripada pihak kerajaan sebelum daripada ini, pernah berlaku.
Oleh sebab itu, saya hendak dapatkan satu penjelasan, tidak bolehkah kerajaan mengambil alih, mengambil balik soal permit import ini, AP import ini. Jadi, apabila ambil balik AP import, tidak lagi berlaku monopoli hanya kepada syarikat BERNAS. Kerajaan yang kontrol dan dia hendak berniaga beras, dia boleh meniaga. Kalau Syarikat Wang Tak hendak kuasai BERNAS, itu terpulanglah. Itu tidak ada kepentingan negara di situ. Tidak bergantung dari sudut sektor strategik ini. Jadi, ini sangat penting untuk diberikan penjelasan oleh pihak kerajaan.
Keduanya ialah 100000 - Subsidi Harga Beras. Baru-baru ini, kerajaan telah pun melancar isu SUBUR, beras percuma kepada rakyat iaitu beras 15%. Jadi, saya ingin bertanya apakah selepas ini kedudukan beras 15% itu juga akan juga ada di pasaran yang boleh dimiliki oleh orang yang tidak tersenarai dalam jumlah 200,000 yang disediakan dalam senarai e-Kasih dan juga oleh sektor-sektor ini. Maka saya hendak tahu ini sebab kalau tidak ada bermakna bahawa di pasaran luar ini, orang yang tidak tersenarai dalam 200,000 itu hanya boleh memiliki 15%, tetapi tidak ada subsidi, dengan harga yang lebih tinggi. Jadi sudah tentu bahawa malanglah sebab hanya 200,000 sahaja yang boleh memiliki beras yang lebih murah, sedangkan banyak yang ada di negara-negara kita ini masyarakat yang susah, termasuk middle class sendiri pun masih tidak berkeupayaan, berkemampuan untuk memakan beras yang peratus hancurnya lebih kecil. Jadi, sebab itu saya bimbang bahawa ini akan berlaku.
Kemudian yang keduanya dalam isu ini, apakah masih akan dikekalkan kategori beras 5% hancur, 10% dan 15%? Ini kerana saya bimbang bahawa sebelum ini timbul isu kekurangan beras 15%, apabila kerajaan hanya mengehadkan pemberian 15% ini secara percuma kepada mereka yang terpilih, saya bimbang nanti bahawa beras 15% ini tidak akan ada di pasaran. Jadi, apabila tidak ada di pasaran, saya bimbang pula bahawa beras 10% sebab ada diperkatakan oleh sesetengah pihak, diberitahu kepada saya beras 10% ini juga akan dimansuhkan dan akan hanya ada pilihan bagi masyarakat awam ini untuk makan beras 5%. Maka sudah tentu bahawa ini akan membebankan bagi pihak dan golongan-golongan yang berpendapatan rendah itu sendiri.
Akhir sekali, Tuan Pengerusi, ialah 120000 – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Pelancaran SUBUR ini yang dibuat sempena dengan Program Ekspo Mini MAHA Road Show 2009, Sungai Besar Selangor pada 6 dan 8 September. Pertama, saya hendak mendapatkan penjelasan dalam kita hendak membuat program ekspo, kemudian melancar Program SUBUR ini, berapa kos perbelanjaan keseluruhan pelancaran tersebut dan juga Ekspo Mini MAHA Road Show yang diadakan selama tiga hari daripada 6 sehingga 8 di Sungai Besar baru-baru ini?
Kemudian satu perkara yang saya hendak dapat penjelasan daripada pihak kerajaan, apabila kerajaan, kementerian melalui FAMA akan mengadakan program mini ekspo ini, kerajaan telah pun mengeluarkan tender. Ini ada borang dan syarat-syarat tender kepada saya. Tender khususnya bagi pemasangan khemah Arabian canopy sebanyak 77 khemah dan satu pentas. Satu pentas untuk Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga VVIP yang lain dalam majlis perasmian ataupun majlis pelancaran.
Saya telah difahamkan bahawa sepatutnya tarikh tutup untuk menyerahkan tender untuk pemasangan khemah ini pada 2 November, tetapi isunya ialah apabila ada di kalangan mereka lebih kurang lima ataupun enam penender yang menyerahkan borang ini, apabila mereka pergi sebelum 2 hari bulan, tiba-tiba 31 hari bulan sudah pun ada khemah-khemah itu dipasang, sudah pun khemah itu dipasang, sedangkan tarikh tutupnya ialah pada 2 November. 31 hari bulan sudah pun ada khemah dipasang. Ini gambar yang ada pada saya, gambar yang bertarikh 31 hari bulan. Kerja-kerja untuk menyiapkan, menaikkan khemah-khemah Arabian canopy ini sebanyak 77 khemah.
Saya agak keliru, dia diberikan kepada Syarikat KEB Projek Sdn. Bhd, K-E-B Projek Sdn. Bhd, KEB Projek Sdn. Bhd dengan harganya RM428,000 untuk tiga hari, 77 Arabian canopy dan satu pentas besar, RM428,000, sedangkan lima ataupun enam syarikat yang lain, saya difahamkan yang masuk tender, tetapi masuk tender sebelum tarikh tutup, tetapi selepas khemah itu telah dipasang oleh Syarikat KEB Sdn. Bhd ini. Semua syarikat ini masuk, harga mereka lebih rendah daripada KEB Sdn. Bhd, termasuk ada satu syarikat yang masuk harganya lebih rendah, RM100,000 lebih rendah.
Malah saya telah bertanya baru-baru ini kepada satu syarikat di kawasan yang membuat satu ekspo dengan kerjasama portfolio belia di kawasan saya, Ekspo Belia Niaga. Mereka ini ada siap dengan khemah. Saya tanya kepada mereka kewajaran RM428,000 dengan 77 Arabian canopy. Mereka juga memiliki khemah sendiri untuk diberikan sewa dan sebagainya dengan satu pentas, RM428,000. Mereka kata kepada saya bahawa kalau itulah yang dapat kepada mereka, mereka kaya, syarikat ini dia kata. Kalau sebulan ada dua, tiga function dengan harga macam ini, mereka kata kami boleh goyang kaki tidak perlu buat ekspo-ekspo yang lain.
Jadi, saya ingin hendak mendapat penjelasan daripada pihak kerajaan. Kenapa ini boleh berlaku, pertama sekali tarikh tutup 2 hari bulan, 31 sudah pasang khemah, kenapa diberikan kepada syarikat yang lebih mahal, sedangkan ada syarikat yang menawarkan sehingga RM100,000 lebih murah daripada harga-harga yang ditawarkan oleh syarikat ini.
Saya juga hendak minta supaya Audit Negara harus membuat audit selepas daripada ini, berapa sebenarnya kos pemasangan khemah untuk Arabian canopy ini. Ini supaya kita dapat melihat bahawa kos harga sebenar yang patut diperoleh oleh pihak kerajaan. Saya bimbang bahawa tahun depan juga kita akan melihat ketirisan dan kebocoran yang lebih besar berlaku ke atas perbelanjaan wang negara. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Sebahagian ucapan Saifuddin:
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: ...Butiran yang terakhir Tuan Pengerusi, ialah 010400 - Industri Padi dan Beras. Lanjutan daripada rakan saya daripada Pokok Sena mengenai BERNAS. Tuan Pengerusi, 11 Julai 1995, satu konsortium telah ditubuhkan oleh kerajaan yang menggabungkan sembilan buah syarikat, yang menguruskan soal beras ini.
(i) Permatang Jaya Sendirian Berhad, 38.8%
(ii) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), 11.11%
(iii) Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), 11.11%
(iv) ZAW Venture Sendirian Berhad. Ini milik bekas Bendahari Pemuda UMNO Malaysia. Arwah. Mudah-mudahan Allah SWT limpahkan rahmat ke atas rohnya. Memiliki 5.56%.
(v) Simple Tax Sendirian Berhad. Ini milik Pengarah Urusan BERNAS, 5.56%.
(vi) Syarikat Perniagaan Peladang MADA, 11.11%
(vii) Syarikat Perniagaan Peladang KADA, 5.56%
(viii) Ilustrasi Hikmat Sendirian Berhad, 5.55%
(ix) Sebiro Holding Sendirian Berhad. Ini milik bekas Setiausaha Agung UMNO. Seorang ahli perniagaan dari Sarawak. Menjadikan jumlah share holder nya ialah 100%.
Rakan saya dari Pokok Sena tadi membangkitkan bagaimana sebuah syarikat dari Hong Kong seawal tahun 2001 lagi telah membeli saham-saham BERNAS ini di pasaran terbuka. Kemudiannya menimbulkan polemik bagaimana mungkin satu industri strategik negara yang dikaitkan dengan isu keselamatan makanan untuk rakyat negara ini boleh terlepas kepada milikan asing.
Pada saat itu kita ada Jawatankuasa Pelaburan Asing atau FIC, pun boleh bolos. Jadi soal liberalisasi yang diumumkan baru-baru ini sebenarnya lama sebelum liberal itu pun, pihak asing sudah kuasai. Akan tetapi kerana ia menjadi polemik dan pertikaian, maka dengan izin, satu arrangement dibuat bagi membolehkan saham syarikat Hong Kong ini dibeli oleh syarikat tempatan yang kita difahamkan tadi, Syarikat Tradewind Berhad. Satu vehicle milik seorang usahawan yang terkemuka di negara kita.
Isunya Tuan Pengerusi, ialah pertama, ketika saham-saham ini dikuasai oleh satu atau dua orang usahawan yang besar. Saya ingin mengetahui apa-apa jadi kepada saham milik Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Persatuan Nelayan Kebangsaan, Syarikat Perniagaan Peladang MADA, Syarikat Perniagaan Peladang KADA yang kalau dijumlahkan, mereka sebenarnya mempunyai majoriti syer mencecah 40%?
Tahun 1995, Yang Berhormat Permatang Pauh waktu itu adalah Menteri Kewangan. Sewaktu distrukturkan konsortium ini dengan perjanjian pemilik sahamnya, ternyata bahawa kepentingan peladang, nelayan, petani, penanam padi ini diambil kira. Dalilnya, syarikat yang mewakili kepentingan mereka diberikan peruntukan saham. Hari ini, kita tidak tahu status saham itu. Yang jelas ialah Permatang Jaya milik tokoh UMNO, ZAW Venture, bekas Bendahari Pemuda UMNO dan Simple Tax menjual saham-saham mereka kepada Budaya Generasi Sendirian Berhad yang juga diwakili oleh tokoh perniagaan yang sama. Yang sekarang ini diuruskan pembelian saham syarikat Hong Kong kepada syarikatnya Tradewind Berhad. Ada dua vehicles untuknya di sini.
Jadi Tuan Pengerusi, Kementerian Pertanian saya fikir boleh sahaja memberikan penjelasan tentang perkara-perkara ini, setakat mana kepentingan kelompok nelayan, peladang dan penanam padi dipertahankan melalui peruntukan itu atau pun saham-saham mereka telah pun dijual juga. Terlepas. Kita tidak tahu sebenarnya. Ini penting. Sepenting industri ini, jangan sampai terlepas kepada milik asing. Jadi Tuan Pengerusi, dua perkara itu kita timbulkan di bawah topik BERNAS ini yang menjadikan tiga isu yang saya kemukakan di peringkat Jawatankuasa. Terima kasih. Assalamualaikum.
Monday, November 23, 2009
Oh..., Mingguan Malaysia!
Oleh Husam Musa
Mingguan Malaysia sekali lagi 'memandang tinggi' pada saya dengan berita provokatif muka depan. Dulu saya diserang bertubi-tubi menjelang Muktam
ar PAS.Agenda 'mematikan' saya nampaknya belum berakhir. Terkinii ini, Utusan cuba berbagai cara menghubungi saya untuk 'pohon penjelasan'. Semasa Utusan bersiap 'meletupkan' berita itu semalam sepatah penjelasan saya tidak diminta.
Beratus sms, kegelisahan begitu ramai orang dan deringan talipon sejak awal pagi adalah bukti 'berita' yang sengaja dimasak sebegitu rupa telah mencetuskan kesan negatif yang bukan sedikit.
Saya amat terharu dengan penjelasan segera bos, guru, rakan dan bapa saya - Tok Guru Nik Aziz.
Saya sakit belakang. Jumpa doktor dan doktor minta saya dapatkan rawatan, rehatkan tulang belakang saya dan kurangkan aktiviti. Bila saya nak masuk wad untuk rawatan itu saya boleh tentukan sendiri ikut kelapangan saya, tetapi jangan kurang dari lima hari penuh. Jangan lambat, kata doktor.
Saya maklumkan pada bos saya. Lima hari sebelum raya haji amat sesuai. Tetapi program saya kena tangguh dan mana mesyuarat yang saya ditugaskan wakili Tok Guru kena tukar kepada rakan yang lain.
Apa kata Tok Guru bila saya terus jumpa beliau Khamis lalu?
Jumpa doktor Di Pakar Perdana habis jam 12.30 tengah hari. Jumpa Tok Guru lebih kurang jam 1 sebelum zohor.
"Tak boleh lok (tangguh). Buat (rawat) selalu (segera). Jangan jadi macam ana..."
Saya bercadang masuk hospital hari Isnin. Keluar petang Khamis.
Apa kena mengena sakit belakang saya dengan letak jawatan?
Letak semua pulak tu?
Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama? Di hujung jalan kami akan berpisah? Membuka ruang pada lawan menerobos masuk dalam detik yang kritikal ini?
Tok Guru telah cuba dimalukan. Cuba dipinggirkan kerana pendiriannya yang tegas dan hasratnya yang jelas untuk membawa negara kita menuju perubahan.
Saya sebagai murid dan 'budak' Tok Guru, mengangkat bendera putih semata-mata kerana Utusan cuba meng-agendakan kami?
Sakit adalah lumrah insan. Letak jawatan tidak boleh diikat dengan satu dua hari di hospital - maka ia bukti Husam letak jawatan.
Kepada teman dan rakan, sahabat dekat dan jauh, saya ucapkan terima kasih atas ingatan anda semua. Ustaz Aziz menalipon pagi hari dari Mekah kerana terbangun dari mimpi, saya hargai erti persahabatan.
Bolehkah media kita diajar erti kredibiliti?
Tanpa menyakiti Utusan, tetapi tulisan Art Harun dalam blognya Articulations, menulis tentang Utusan buat sedikit 'touch' untuk tukar gambar payung berlambangkan dacing dengan gambar payung biru tanpa dacing, barangkali cukup untuk kita merasa tertanya-tanya Utusan ini apa..?
Terdapat payung berlambang dacing di belakang pak cik yang ditangkap kerana membunuh isterinya yang minta cerai di Kedah. Gambar yang sama diguna pakai oleh Metro, The Star dan Berita Harian.
Tapi demi maruah BN, Utusan menyiarkan gambar yang diubah seperti di bawah pada berita yang sama, 10 Nov 2009;
Fitnah Berterusan...Sampai Bila Mahu Bertaubat.
Media pengampu no 1, Utusan terus menabur fitnah. Di bawah ini adalah tajuk-tajuk fitnah y
ang dimuatkan dalam ruangan berita politik hari ini. Sampai bila agaknya Utusan ingin melakukan dosa besar ini?
Sebagaimana biasa rakyat sudah faham dan muak dengan sikap media pembohong dan kaki fitnah ini. Sudah pasti pencinta kebenaran akan mencari media alternatif iaitu blog dan laman web untuk mendapat berita sebenar.
Nah, dalam blognya Husam menjelaskan semua itu karut dan dongeng. Saya pula sifatkan berita itu fitnah jahat untuk merosakkan keharmonian kerajaan PR Kelantan.
Husam menjelaskan beliau mengambil cuti sakit untuk melakukan pembedahan kecil bukannya mengambil cuti sebelum meletakkan jawatan dalam kerajaan dan parti. Besar sungguh fitnah dan tohmah yang dilakukan oleh media pengampu ini.
Letak semua pulak tu?
Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama? Di hujung jalan kami akan berpisah? Membuka ruang pada lawan menerobos masuk dalam detik yang kritikal ini?
Tok Guru telah cuba dimalukan. Cuba dipinggirkan kerana pendiriannya yang tegas dan hasratnya yang jelas untuk membawa negara kita menuju perubahan.
Saya sebagai murid dan 'budak' Tok Guru, mengangkat bendera putih semata-mata kerana Utusan cuba meng-agendakan kami?
Sakit adalah lumrah insan. Letak jawatan tidak boleh diikat dengan satu dua hari di hospital - maka ia bukti Husam letak jawatan.
Kepada teman dan rakan, sahabat dekat dan jauh, saya ucapkan terima kasih atas ingatan anda semua. Ustaz Aziz menalipon pagi hari dari Mekah kerana terbangun dari mimpi, saya hargai erti persahabatan.
Bolehkah media kita diajar erti kredibiliti?
Tanpa menyakiti Utusan, tetapi tulisan Art Harun dalam blognya Articulations, menulis tentang Utusan buat sedikit 'touch' untuk tukar gambar payung berlambangkan dacing dengan gambar payung biru tanpa dacing, barangkali cukup untuk kita merasa tertanya-tanya Utusan ini apa..?
Saya menggesa media tersebut memohon maaf kepada Husam, Tuan Guru Nik Aziz dan seluruh rakyat Kelantan serta ahli PAS kerana fitnah itu. Jika tidak saya bimbang Ketua Pengarang, Pengaran, Editor dan sesiapa yang terlibat dengan berita itu tidak dimaafkan oleh semua mereka yang saya sebutkan di atas. Besar akibatnya jika mereka tidak dimaafkan bukan setakat di dunia malah di Akhirat kelak......renungkanlah
Disalin dari http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=4904