Wednesday, November 25, 2009

Bagaimana pemimpin BN perbodoh kita

Saya salin ucapan dua Ahli Parlimen pada 23/11/09 dalam posting ini. Saya yakin anda boleh lihat sendiri bagaimana pembesar dan kroni Barisan Nasional (BN) perbodoh kita. Duit dan amanah rakyat depa belasah ikut suka depa. Bukan sahaja dalam soal saham beras seperti yang diceritakan Saifuddin Nasution Ismail dalam ucapannya, malah dalam soal beli kemah pun depa tibai sampai sengkak seperti yang dibangkitkan dalam ucapan Mahfuz.



Kalau kita kata kurang ajaq depa marah. Tak pa la, kita tak kata kurang ajaq kepada puak yang kurang ajaq.

Berkaitan:
Opposition questions sale of Bernas to Syed Mokhtar (The Edge 24/11/09, comments here)

Ucapan Mahfuz:

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Saya ingin menyentuh B.21 ini 010400 – Industri Padi dan Beras. Sebelum ini kita telah pun lihat bahawa timbulnya isu pemilikan saham Bernas oleh syarikat daripada dua yang hampir-hampir kita lihat bahawa boleh menjejas industri padi dan beras negara kita. Ini kerana kalau itulah yang memang sudah terjadi tetapi kalau kita tidak diberikan informasi atau pun maklumat sudah pasti bahawa industri padi dan beras negara kita ini akan dikuasai oleh kepentingan syarikat asing yang berpangkalan di Hong Kong. Jadi oleh sebab itu saya melihat bahawa seperti seolah-olah kerajaan seperti tidak dapat mengawal sehingga menyebabkan berlaku pembelian saham-saham Bernas yang dimiliki oleh pemegangpemegang saham yang kecil ini dibeli oleh syarikat dari luar sedangkan perkara ini telah pun sebelum ini saya sebut dalam kenyataan media sudah pun berlaku pembelian ini sejak daripada tahun 2001.

Jadi satu perkara yang malang bahawa proses pembelian ini berlaku sejak daripada tahun 2001 tiba-tiba kerajaan tidak dapat hendak mengesan tentang pembelian yang sudah sampai kepada peringkat satu jumlah yang sangat tinggi dan hampir melayakkan mereka untuk mendapat pemilikan penuh ke atas Syarikat Bernas. Oleh sebab itu saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak kerajaan siapakah pemegang-pemegang share yang dibeli oleh Wang Tak Co. Ltd ini? Ini sangat penting untuk kita mengetahui dan berapakah jumlah daripada setiap pembelian yang dibuat oleh Syarikat Wang Tak ke atas pemegang-pemegang saham kecil ke atas Wang Tak itu sendiri?

Keduanya ialah tentang berkaitan dengan soal sejauh mana peranan Suruhanjaya Sekuriti khususnya dalam melihat isu ini? Apakah mereka tidak dapat mengesan pembelian yang dibuat oleh Syarikat Wang Tak sehingga boleh menjejaskan sektor strategik dalam negara kita iaitu sektor industri padi dan beras. Sektor ini menjadi sektor strategik dalam negara kita kerana Bernas diberikan oleh kerajaan untuk permit import beras dari luar ke dalam negara kita. Apabila syarikat Bernas itu dikuasai oleh pemegang asing maka mereka akan menguasai ke atas permit import AP beras itu sendiri. Ini yang menjadikan sektor strategik ini boleh terjejas akibat daripada tidak ada kawalan dari segi keselamatan ke atas pemakanan utama dalam negara kita ini. Jadi saya hendak tahu tentang peranan Suruhanjaya Sekuriti sendiri dan juga wakil kerajaan yang berada dalam Bernas itu sendiri.

Ketiganya ialah apabila timbul isu ini diberitahu bahawa pihak kerajaan akan mengusahakan supaya diambil semula pemilikan yang dikuasai oleh Wang Tak dan saya difahamkan bahawa syarikat yang dimiliki oleh Syed Mokhtar iaitu satu lagi Syarikat Tradewind mengambil alih saham yang dimiliki oleh Wang Tak. Saya hendak tahu adakah Tradewind memiliki dan mengambil alih sepenuhnya saham yang dimiliki oleh Wang Tak ataupun hanya beberapa peratus sahaja? Ini kerana saya lihat bahawa Tradewind ini ialah anak syarikat yang dimiliki oleh Syed Mokhtar yang lebih banyak mengendalikan urusan gula dalam negara kita ini.

Yang keempatnya, yang saya ingin mendapat penjelasan, apakah hasil kajian yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini ke atas BERNAS untuk melihat dari segi prestasi, sama ada keperluan untuk diberikan satu lagi tempoh yang lebih panjang untuk kelayakan mereka mendapat AP bagi mengimport beras daripada luar ini.

Sewajarnya, ingin saya dapat penjelasan daripada pihak kerajaan, apakah kerajaan tidak pernah terfikir untuk mengambil balik soal kuasa untuk mengimport beras daripada luar itu supaya dipegang dan dikontrol oleh pihak kerajaan sendiri. Ini kerana sebelum ini pun kita lihat bekas Menteri Pertanian dan juga Timbalan Perdana Menteri sekarang pun begitu berang terhadap BERNAS yang menaikkan harga tanpa persetujuan daripada pihak kerajaan sebelum daripada ini, pernah berlaku.

Oleh sebab itu, saya hendak dapatkan satu penjelasan, tidak bolehkah kerajaan mengambil alih, mengambil balik soal permit import ini, AP import ini. Jadi, apabila ambil balik AP import, tidak lagi berlaku monopoli hanya kepada syarikat BERNAS. Kerajaan yang kontrol dan dia hendak berniaga beras, dia boleh meniaga. Kalau Syarikat Wang Tak hendak kuasai BERNAS, itu terpulanglah. Itu tidak ada kepentingan negara di situ. Tidak bergantung dari sudut sektor strategik ini. Jadi, ini sangat penting untuk diberikan penjelasan oleh pihak kerajaan.

Keduanya ialah 100000 - Subsidi Harga Beras. Baru-baru ini, kerajaan telah pun melancar isu SUBUR, beras percuma kepada rakyat iaitu beras 15%. Jadi, saya ingin bertanya apakah selepas ini kedudukan beras 15% itu juga akan juga ada di pasaran yang boleh dimiliki oleh orang yang tidak tersenarai dalam jumlah 200,000 yang disediakan dalam senarai e-Kasih dan juga oleh sektor-sektor ini. Maka saya hendak tahu ini sebab kalau tidak ada bermakna bahawa di pasaran luar ini, orang yang tidak tersenarai dalam 200,000 itu hanya boleh memiliki 15%, tetapi tidak ada subsidi, dengan harga yang lebih tinggi. Jadi sudah tentu bahawa malanglah sebab hanya 200,000 sahaja yang boleh memiliki beras yang lebih murah, sedangkan banyak yang ada di negara-negara kita ini masyarakat yang susah, termasuk middle class sendiri pun masih tidak berkeupayaan, berkemampuan untuk memakan beras yang peratus hancurnya lebih kecil. Jadi, sebab itu saya bimbang bahawa ini akan berlaku.

Kemudian yang keduanya dalam isu ini, apakah masih akan dikekalkan kategori beras 5% hancur, 10% dan 15%? Ini kerana saya bimbang bahawa sebelum ini timbul isu kekurangan beras 15%, apabila kerajaan hanya mengehadkan pemberian 15% ini secara percuma kepada mereka yang terpilih, saya bimbang nanti bahawa beras 15% ini tidak akan ada di pasaran. Jadi, apabila tidak ada di pasaran, saya bimbang pula bahawa beras 10% sebab ada diperkatakan oleh sesetengah pihak, diberitahu kepada saya beras 10% ini juga akan dimansuhkan dan akan hanya ada pilihan bagi masyarakat awam ini untuk makan beras 5%. Maka sudah tentu bahawa ini akan membebankan bagi pihak dan golongan-golongan yang berpendapatan rendah itu sendiri.

Akhir sekali, Tuan Pengerusi, ialah 120000 – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Pelancaran SUBUR ini yang dibuat sempena dengan Program Ekspo Mini MAHA Road Show 2009, Sungai Besar Selangor pada 6 dan 8 September. Pertama, saya hendak mendapatkan penjelasan dalam kita hendak membuat program ekspo, kemudian melancar Program SUBUR ini, berapa kos perbelanjaan keseluruhan pelancaran tersebut dan juga Ekspo Mini MAHA Road Show yang diadakan selama tiga hari daripada 6 sehingga 8 di Sungai Besar baru-baru ini?

Kemudian satu perkara yang saya hendak dapat penjelasan daripada pihak kerajaan, apabila kerajaan, kementerian melalui FAMA akan mengadakan program mini ekspo ini, kerajaan telah pun mengeluarkan tender. Ini ada borang dan syarat-syarat tender kepada saya. Tender khususnya bagi pemasangan khemah Arabian canopy sebanyak 77 khemah dan satu pentas. Satu pentas untuk Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga VVIP yang lain dalam majlis perasmian ataupun majlis pelancaran.

Saya telah difahamkan bahawa sepatutnya tarikh tutup untuk menyerahkan tender untuk pemasangan khemah ini pada 2 November, tetapi isunya ialah apabila ada di kalangan mereka lebih kurang lima ataupun enam penender yang menyerahkan borang ini, apabila mereka pergi sebelum 2 hari bulan, tiba-tiba 31 hari bulan sudah pun ada khemah-khemah itu dipasang, sudah pun khemah itu dipasang, sedangkan tarikh tutupnya ialah pada 2 November. 31 hari bulan sudah pun ada khemah dipasang. Ini gambar yang ada pada saya, gambar yang bertarikh 31 hari bulan. Kerja-kerja untuk menyiapkan, menaikkan khemah-khemah Arabian canopy ini sebanyak 77 khemah.

Saya agak keliru, dia diberikan kepada Syarikat KEB Projek Sdn. Bhd, K-E-B Projek Sdn. Bhd, KEB Projek Sdn. Bhd dengan harganya RM428,000 untuk tiga hari, 77 Arabian canopy dan satu pentas besar, RM428,000, sedangkan lima ataupun enam syarikat yang lain, saya difahamkan yang masuk tender, tetapi masuk tender sebelum tarikh tutup, tetapi selepas khemah itu telah dipasang oleh Syarikat KEB Sdn. Bhd ini. Semua syarikat ini masuk, harga mereka lebih rendah daripada KEB Sdn. Bhd, termasuk ada satu syarikat yang masuk harganya lebih rendah, RM100,000 lebih rendah.

Malah saya telah bertanya baru-baru ini kepada satu syarikat di kawasan yang membuat satu ekspo dengan kerjasama portfolio belia di kawasan saya, Ekspo Belia Niaga. Mereka ini ada siap dengan khemah. Saya tanya kepada mereka kewajaran RM428,000 dengan 77 Arabian canopy. Mereka juga memiliki khemah sendiri untuk diberikan sewa dan sebagainya dengan satu pentas, RM428,000. Mereka kata kepada saya bahawa kalau itulah yang dapat kepada mereka, mereka kaya, syarikat ini dia kata. Kalau sebulan ada dua, tiga function dengan harga macam ini, mereka kata kami boleh goyang kaki tidak perlu buat ekspo-ekspo yang lain.

Jadi, saya ingin hendak mendapat penjelasan daripada pihak kerajaan. Kenapa ini boleh berlaku, pertama sekali tarikh tutup 2 hari bulan, 31 sudah pasang khemah, kenapa diberikan kepada syarikat yang lebih mahal, sedangkan ada syarikat yang menawarkan sehingga RM100,000 lebih murah daripada harga-harga yang ditawarkan oleh syarikat ini.

Saya juga hendak minta supaya Audit Negara harus membuat audit selepas daripada ini, berapa sebenarnya kos pemasangan khemah untuk Arabian canopy ini. Ini supaya kita dapat melihat bahawa kos harga sebenar yang patut diperoleh oleh pihak kerajaan. Saya bimbang bahawa tahun depan juga kita akan melihat ketirisan dan kebocoran yang lebih besar berlaku ke atas perbelanjaan wang negara. Terima kasih Tuan Pengerusi.

Sebahagian ucapan Saifuddin:

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: ...Butiran yang terakhir Tuan Pengerusi, ialah 010400 - Industri Padi dan Beras. Lanjutan daripada rakan saya daripada Pokok Sena mengenai BERNAS. Tuan Pengerusi, 11 Julai 1995, satu konsortium telah ditubuhkan oleh kerajaan yang menggabungkan sembilan buah syarikat, yang menguruskan soal beras ini.

(i) Permatang Jaya Sendirian Berhad, 38.8%
(ii) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), 11.11%
(iii) Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), 11.11%
(iv) ZAW Venture Sendirian Berhad. Ini milik bekas Bendahari Pemuda UMNO Malaysia. Arwah. Mudah-mudahan Allah SWT limpahkan rahmat ke atas rohnya. Memiliki 5.56%.
(v) Simple Tax Sendirian Berhad. Ini milik Pengarah Urusan BERNAS, 5.56%.
(vi) Syarikat Perniagaan Peladang MADA, 11.11%
(vii) Syarikat Perniagaan Peladang KADA, 5.56%
(viii) Ilustrasi Hikmat Sendirian Berhad, 5.55%
(ix) Sebiro Holding Sendirian Berhad. Ini milik bekas Setiausaha Agung UMNO. Seorang ahli perniagaan dari Sarawak. Menjadikan jumlah share holder nya ialah 100%.

Rakan saya dari Pokok Sena tadi membangkitkan bagaimana sebuah syarikat dari Hong Kong seawal tahun 2001 lagi telah membeli saham-saham BERNAS ini di pasaran terbuka. Kemudiannya menimbulkan polemik bagaimana mungkin satu industri strategik negara yang dikaitkan dengan isu keselamatan makanan untuk rakyat negara ini boleh terlepas kepada milikan asing.

Pada saat itu kita ada Jawatankuasa Pelaburan Asing atau FIC, pun boleh bolos. Jadi soal liberalisasi yang diumumkan baru-baru ini sebenarnya lama sebelum liberal itu pun, pihak asing sudah kuasai. Akan tetapi kerana ia menjadi polemik dan pertikaian, maka dengan izin, satu arrangement dibuat bagi membolehkan saham syarikat Hong Kong ini dibeli oleh syarikat tempatan yang kita difahamkan tadi, Syarikat Tradewind Berhad. Satu vehicle milik seorang usahawan yang terkemuka di negara kita.

Isunya Tuan Pengerusi, ialah pertama, ketika saham-saham ini dikuasai oleh satu atau dua orang usahawan yang besar. Saya ingin mengetahui apa-apa jadi kepada saham milik Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Persatuan Nelayan Kebangsaan, Syarikat Perniagaan Peladang MADA, Syarikat Perniagaan Peladang KADA yang kalau dijumlahkan, mereka sebenarnya mempunyai majoriti syer mencecah 40%?

Tahun 1995, Yang Berhormat Permatang Pauh waktu itu adalah Menteri Kewangan. Sewaktu distrukturkan konsortium ini dengan perjanjian pemilik sahamnya, ternyata bahawa kepentingan peladang, nelayan, petani, penanam padi ini diambil kira. Dalilnya, syarikat yang mewakili kepentingan mereka diberikan peruntukan saham. Hari ini, kita tidak tahu status saham itu. Yang jelas ialah Permatang Jaya milik tokoh UMNO, ZAW Venture, bekas Bendahari Pemuda UMNO dan Simple Tax menjual saham-saham mereka kepada Budaya Generasi Sendirian Berhad yang juga diwakili oleh tokoh perniagaan yang sama. Yang sekarang ini diuruskan pembelian saham syarikat Hong Kong kepada syarikatnya Tradewind Berhad. Ada dua vehicles untuknya di sini.

Jadi Tuan Pengerusi, Kementerian Pertanian saya fikir boleh sahaja memberikan penjelasan tentang perkara-perkara ini, setakat mana kepentingan kelompok nelayan, peladang dan penanam padi dipertahankan melalui peruntukan itu atau pun saham-saham mereka telah pun dijual juga. Terlepas. Kita tidak tahu sebenarnya. Ini penting. Sepenting industri ini, jangan sampai terlepas kepada milik asing. Jadi Tuan Pengerusi, dua perkara itu kita timbulkan di bawah topik BERNAS ini yang menjadikan tiga isu yang saya kemukakan di peringkat Jawatankuasa. Terima kasih. Assalamualaikum.

http://penarikbeca.blogspot.com

No comments:

Post a Comment