Wednesday, November 25, 2009

PERHATIKAN BETUL BETUL - ADA BERAPA MOTIF LAMPU JALAN DALAM SATU JALAN INI?

PERHATIKAN BETUL BETUL - ADA BERAPA MOTIF LAMPU JALAN DALAM SATU JALAN INI?




nota:
disiarkan kembali kedua-dua tulisan
agar pembaca dapat mengetahui
apa sebenarnya yang sedang
cuba diterangka
.( TT)

KUASA, TANDA, DAN MAKNA ISTANA SAEKOR LIPAS

Hishamuddin Rais
Oct 10, 2003

(Semiotik ialah ilmu untuk memahami cara manusia berhubung antara satu sama lain dengan menggunakan tanda, simbul dan signal. Ilmu semiotik ini muncul bila manusia ingin memahami tanda dan makna bangunan hasil dari seni bina. Ilmu ini juga digunakan untuk memahami dan mengkaji gambar/lukisan/filem. Teori filem mis en scene - atau apa yang didalam bingkai - hanya dapat difahami melalui pendekatan semiotik.)


Putrajaya telah dinobatkan sebagai ibu kota kepada Malaysia. Sama seperti Canberra, Islamabad, New Delhi atau Brazilia - semua kota-kota ini direka secara terancang, untuk dijadikan ibu kota baru. Apa yang menarik terhadap kota-kota ini ialah ianya dibangunkan secara artifisial - tidak natural - seperti kota-kota yang terdahulu.

Kota-kota tua dan kuno bangun secara tersendiri kerana kepentingan ekonomi manusia. London, Paris, New York, Lisbon, Athens, Baghdad, Melaka, Praque dan termasuk Kuala Lumpur bangun berhampiran dengan arus air - jalan asal manusia mecari penghidupan dan perniagaan. Atau kota dibangunkan dipersimpangan jalan/lorong perniagaan kuno seperti Mekah, Kabul, Kandahar, Peshawar, Samarra atau Xian. Justeru semua kota-kota ini membangun secara natural kerana keperluan manusia untuk mencari dan merayakan kehidupan.

Kehidupan dan tamadun manusia yang terdahulu dari kita bergantung pula kepada musim alam semula jadi. Dalam keadaan ini manusia akan mendirikan didalam kota-kota ini tanda dan simbol kepada Yang Esa. Bangunan-bangunan suci seperti gereja, citadel, kuil, masjid atau arca akan didirikan untuk memohon keselamatan dan limpah kurnia yang Maha Esa.

PENGAJARAN KOTA KUNO

Di kota kuno Roma atau kota Greek kuno seperti di Athens didirikan 'patheon' (kiri) sebagai tanda manusia bersujud kepada Yang Esa. Di tebing sungai Tagus, di Portugal didirikan patung Nabi Isa sebagai tanda penyembahan untuk keselamatan setiap kapal yang meninggal kan kota Lisbon.

Bagitu juga disebuah pulau kecil dihadapan kota San Sebastian, di negara Basques Sepanyol, tersergam patung Isa dari Nazareth sebagai tanda sujudnya warga kota terhadap agama mereka.

Bagitu juga dengan kota Venice dengan gereja wali Markus yang kudus. atau kota Paris dengan gereja Hati Suci yang angkuh tegak berdiri diatas bukit yang melindungi warga kotanya.

Kota arab/Islam kuno berpusat/bermula dari makam atau masjid. Dikota-kota ini seluruh jalan/lorong akan membawa warganya ke wilayah suci ini. Kota Mekah dengan Kaabah, kota Najaf dengan makam Hussein/Hassan , Delhi Lama bermula dengan Masjid Merah, di Marakesh di sebelah Jamaah al-fana (Medan Roh Berkumpul) wujud sebuah masjid tua yang menjadi pusat kota ini.

Bangunan-bangunan ini semuanya memiliki bahasa dan nahu sebagai tanda pengucapan untuk difahami oleh warga yang terkemudian.

Dari ilmu semiotik semua ini adalah tanda dan makna bagaimana manusia merendahkan diri kepada dewa, kepada tuhan atau kepada pencipta yang Maha Esa.

KEKAGUMAN PUTRAJAYA

Seratus tahun dari hari ini apa yang akan dapat dibaca dari nahu , bahasa dan ayat pengucapan ibu kota Putrajaya?

Pemilihan kota Putrajaya dilakukan tanpa banyak perundingan. Tidak ada konsultasi didalam perdebatan di parlimen apatah lagi pandangan dari badan-badan bukan kerajaan. Semuanya dilakukan atas keinginan dan berahi seorang manusia yang bernama Mahathir Mohamad. (Pada 1 haribulan November ini nama Mahathir Mohamad ini akan ditambah dengan huruf B - Bersara.).

Warga tidak pernah diberitahu secara jelas dan terperinci tentang belanjawan (atau lebih disenangi pada masa ini dengan perkataan baget) atau harga untuk mendirikan kota baru ini. Yang didengari oleh warga hanyalah tuduhan dari pihak pembangkang tentang harga sebuah istana - yang kemudianya dengan berkungfu lidah telah dijawab oleh perdana menteri.

Kungfu lidah ini pun tidak dapat memberikan apa-apa penjelasan yang dapat mententeramkan jiwa warga kota dan rakyat negara ini.

Sesiapa yang sampai ke Putrajaya pasti akan 'kagum' melihat pembangunan bangunan. Untuk mak cik Felda atau professor atau ahli akademia kangkong, Putrajaya adalah contoh yang amat senang untuk menerangkan makna kejayaan 'pembangunan'. Rombongan demi rombongan akan dibawa untuk melihat 'kejayaan'.

Bangunan yang tersergan besar secara kulitan pasti memberi makna kejayaan pimpinan Mahathir Mohamad. Maka makcik dan pak cik dari Felda ternganga mulut mereka dan akan berterima kasih sambil dan bersyukur diatas pimpinan Mahathir.

Untuk warga yang lebih teliti atau pelajar seni bina dan pengguna ilmu semiotik, pasti mereka akan melihat disebalik bangunan yang tersergam ini ada tersirat konsep fascist. Semua bangunan-bangunan kerajaan di sekitar kota ini bercirikan seni bina fascist. Seni bina fascist ini adalah satu jalur pemikiran bangunan yang muncul diera zaman Hitler dan diera Stalin di USSR.

Ciri utamanya ialah keangkuhan bangunan itu sendiri - tersergam dan mengancam para warga yang melihatnya. Bangunan-bangunan berciri fascist tidak mesra rakyat, terisolasi dari budaya alam sekitarnya dan tidak memiliki perspektif yang mesra untuk dipandang.

RAKYAT TERPISAH

Lihat saja pejabat/istana perdana menteri, untuk pelajar seni bina atau sesiapa saja yang mengamati bangunan ini pasti akan dapat merasakan kejanggalan kubah bangunan ini. Kubah ini diletakkan seperti songkok kecil kepada kepala yang besar. Kubah ini kelihatan tertengek songsang. Kemungkinan kubah ini bukan muncul dari rekaan bentuk asal tetapi dimunculkan untuk 'menyunatkan' Putrajaya agar dibaca sebagai Melayu/Islam.

Dari bangunan istana perdana menteri ini warga akan melihat tangga turun ke sebuah lebuh besar. Melintasi lebuh ini warga akan sampai ke sebuah medan.

Medan ini betul-betul dihadapan istana. Medan inilah tempat rakyat berkumpul dan untuk menyambut perdana menteri apabila beliau mencecah duli diatas tangga di hari akhir bulan Oktober.

Perarakan pelbagai kontigen (baca menyembah duli) akan diadakan di lebuh besar untuk mengalu-alukan kemunculan perdana menteri dari istananya.

Jika ini bukan konsep fascist, apakah bahasa, nahu dan tanda ritual ini. Sikap anti demokratik ritual ini dapat dilihat jelas. Rakyat disatu ruang yang terpisah dari ruang yang memerintah. Si pemerintah dan juak-juaknya akan tegak berdiri disatu ruang yang lebih tinggi.

Ruang ini bukan ruang yang dibuat untuk sementara seperti pentas di Dataran Merdeka tetapi tangga yang kekal menghala ke istana perdana menteri.

Louise ke 14, Hitler atau Stalin sendiri gagal untuk mendapatkan satu reka bentuk istana peribadi seperti ini. Di Peking, raja Tiongkok kuno mendirikan Kota Larangan. Raja hanya diberi mandat mendirikan tembok untuk memisahkan istana baginda dari medan Tienanmen - medan tempat rakyat berkumpul. Istana Kota Larangan ini didirikan pula tidak melebihi dari ketinggian tempat rakyat berkumpul. Disekitar Kota Larangan dan medan Tienanmen ini hanya ada satu bangunan yang tinggi ia itu bagunan tempat rakyat bersidang - parlimen Republik Rakyat Tiongkok.

LAMPU JALANRAYA

Di Putrajaya medan rakyat ini tidak menjadi medan rakyat berkumpul secara kekal tetapi menjadi medan berhala kereta. Ini kerana warga dinegara kita ini dididik untuk 'menyembah' kereta maka medan ini menjadi medan berhala yang kekal abadi.

Dari medan berhala kereta dihadapan istana jika meluncur ke bawah akan ditemui sebuah masjid. Amat jelas nahu, bahasa, tanda dan maknanya dimana Masjid ini dibuat. Masjid ini didirikan dikawasan yang lebih rendah dari istana perdana menteri. Sama lah seperti masjid al-Rahman di Univesiti Malaya yang kedudukannya lebih rendah dan hina dari dari lebuh berhala kereta.

Ligarlah Putrajaya, mata akan terperanjat apabila melihat reka bentuk tiang lampu yang bagitu kacau bilau dan sampa larau motif dan unsur yang mempengaruhi. Setiap jalan memiliki reka tiang lampu bentuk yang berbeza - ada yang bermotif wau bulan, ada yang bermotif avant garde, ada yang bermotif katholik.

Menurut yang empunya surah ini terjadi apabila Mahathir Mohamad terlihat satu tiang lampu di Santiago Chile. Kerana baginda perdana menteri perkenan maka berahi perdana menteri wajib dipenuhi. Sayangnya tidak diketahui pula tiang lampu bentuk mana yang diberahikan oleh perdana menteri.

Maka situkang bodek, untuk menyelamatkan diri terus membuat semua reka bentuk tiang lampu yang wujud dalam dunia ini termasuk yang di Santiago. ( Inilalah surah lampu Putrajaya kita!)

Putrajaya ini begitu angkuh sekali dan kelihatan anti-mereka yang miskin dan kurang mampu justeru tidak banyak disediakan kerusi percuma untuk rakyat biasa duduk berehat atau meleser.

Jika ingin berehat warga wajib duduk dicafe-café yang secawan kopinya senilai dengan harga sekilo ikan kembung. Nahu dan bahasa kota ini betul-betul merayakan keangkuhan kapitalis dan modal asing kerana disekeliling kawasan masjidnya sendiri dikelilingi oleh rumah macdogal dan star buck tempat para rentier capitalist mencari untung.

ISTANA LIPAS

Putrajaya bukan saja tidak memiliki nahu dan bahasa untuk berendah diri seperti kota Athens dengan patheonnya; kota ini juga lupa kepada konsep negara raja berperlembagaan.

Justeru istana agungnya terletak agak jauh disatu bucu yang tidak menonjol. Parlimen tempat wakil rakyat bersidang tertinggal disatu kawasan yang lain. Ini bermakna kota ini memusatkan kuasa dan terpisah dari kuasa rakyat.

Amat berbeza dari Delhi Baru atau Canberra dimana kota ini merayakan parlimenya sebagai sebahagian dari pusat kota. Jelas bahasa, nahu dan tanda yang muncul dari Putrajaya ialah parlimen tidak mustahak yang mustakah hanyalah istana dan kuasa perdana menteri.

Kota ini adalah kota penyembah berhala kereta, justeru sesiapa yang tidak memiliki berhala ini pasti akan mendapat kesukaraan untuk pergi dari satu jabatan ke satu jabatan yang lain. Lupakan saja ruang untuk berjaan kaki atau berbasikal - semua ini tidak diwujudkan.

Akhir dari lebuh besar dihadapan istana jika dipandang akan kelihatan sebuah bukit. Dari jauh kelihatan diatas bukit ini seekor lipas. Dibukit ini sewajibnaya didudukan masjid atau istana Yang Dipertuan Agong tetapi yang tercegat di atas bukit inii hanyalah saekor lipas.

Didalam perut lipas inilah nanti lipas-lipas kecil dari pelbagai negara arab/Islam akan mengadakan persidangannya.

Lipas-lipas ini adalah lipas piliharaan yang akan menjalar dan memungut dan menjilat serpihan-serpihan makanan yang ditinggalkan oleh mac dogal dan star buck.

(Jika ditakdirkan Putrajaya ditenggelamkan oleh muntahan gunung berapi dan seratus tahun kemudian para arkeloji menggalinya kembali maka inilah bahasa, nahu , tanda dan makna kota yang diduduki oleh para lipas.)

Disalin dari http://tukartiub.blogspot.com

No comments:

Post a Comment