Tuesday, December 22, 2009

Rakyat malaysia susah, pemimpin senang lenang

Sudah lebih 5o tahun negara mencapai kemerdekaan, namun banyak prosidur pentadbiran dan kewangan jabatan-jabatan kerajaan warisan penjajah masih diamalkan.

Kerenah birokrasi rasanya tidak dapat diubah selagi kerajaan yang ada masih memerintah. Tidak nampak jalan keluar. Seolah-olah rakyat Malaysia dijajah dan perlu melalui proses penapisan yang cukup ketat.

Bukan sahaja masyarakat kampung, malah kakitangan kerajaan sendiri merungut dengan kelemahan yang tidak dapat diterima oleh akal yang waras.

Cuba bayangkan, seorang pesakit kronik diminta tunggu berbulan-bulan di hospital-hospital kerajaan dengan pelbagai alasan yang sangat 'bangang'.

Mesin tidak ada, mesin tidak cukup, peralatan belum sampai, pekerja mahir untuk mengendalikan alat tidak ada, kakitangan berkenaan bercuti, budget tak dapat , kerenah 'biasa' tabung penyakit kronik dan sebagainya.

Kroni pemimpin dapat projek berpuloh juta seorang. Untuk kesihatan rakyat, kerajaan tidak ada wang.

Bagi mereka yang ada kenalan atau saudara-mara di hospital kerajaan, prosidur sebegini jarang dilalui.

Ramai yang maut ketika berada dalam senarai menunggu. Banyak kali saya menulis, orang Melayu lebih suka menyerahkan perkara seperti ini kepada qada dan qadar. Sampai bila ?

Seorang pesakit jantung di Hospital Sultanah Bahiyah memberitahu saya, beberapa bulan yang lalu, beliau dirujuk untuk membuat MRI di Hospital Pulau Pinang. Sampai sahaja temu janji selepas tiga bulan itu, ia pun ke sana lalu diberitahu mesin MRI rosak.

Dia terpaksa balik ke Alor Setar dalam keadaan kerugian wang, masa dan keletihan, biarpun sebelum ini ada meninggalkan nombor telefon rumah dan tangan kepada pihak hospital.

Ia diminta menunggu lagi tarikh baru pula.

Beberapa pesakit dari Hospital yang sama dirujuk untuk menjalani engiogram di Hospital Pulau Pinang (HPP). Dimasukkan ke wad sehari awal. Keesokkan harinya, mereka diminta pulang ke rumah masing-masing di Alor Setar dan Kangar kerana pihak HPP cuma dapat menjalankan rawatan pemeriksaan untuk lima atau enam pesakit sahaja.

Masalahnya, pesakit yang dipanggil pada hari berkenaan mencecah sehingga 14 - 16 orang.

Ketika menghubungi pihak Hospital Sultanah Bahiyah kelmarin, saya diberitahu sudah ada unit kardiologi di sana sejak dua bulan yang lalu tetapi pengendali mesin tertentu pula masih belum ada.

Berlainan pula dengan beberapa orang kakitangan kerajaan yang membuat pinjaman kenderaan melalui jabatan masing-masing memberitahu terpaksa menunggu sehingga enam bulan untuk mendapat wang membeli kenderaan.

"Berbanding dengan bank, hanya memerlukan masa tiga hari. Kita mohon pinjaman untuk kenderaan jenama A, tetapi boleh beli jenama B kerana kerenah birokrasi jabatan yang terlalu lama sehingga ada jenama baru yang keluar" kata kakitangan Jabatan Pembangunan Negeri Kedah.

Masyarakat sebagai pelanggan jabatan-jabatan kerajaan terutama sekali di hospital-hospital dilayan seperti peminta sedekah di negara merdeka. Kenapa boleh jadi begini ?

Perdana Menteri, kabinet, politikus BN dan mereka yang kroni - tidak pernah menjejakkan kaki ke hospital-hospital kerajaan. Apa yang mereka tahu. Menteri Kesihatan tak habis-habis dengan politik dalaman MCA. Mana ada masa memikirkan soal kebajikan rakyat.

Kasihan penjawat awam yang dedikasi. Mereka juga terpaksa melalui kerenah birokrasi zaman penjajah yang memerlukan 'scanning' yang ketat.

Satu Malaysia pasti mengalami kenangan pahit bila berurusan dengan birokrasi Malaysia yang bebal ini.

Disalin dari http://alkerohi.blogspot.com/

Pimpinan PR perlu sedia hadapi kemaraan media baru

Oleh Ali Bukhari Amir

Apabila disebut media baru, kerapkali kita akan mengaitkannya dengan blog atau laman sesawang yang berkaitan dengan internet sebelum ini. Apakah ia hanyalah terhad kepada media yang boleh dicapai dengan rangkaian internet atau ia adalah media berhaluan kiri?




"Ia adalah media yang bukan konvensional," kata Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, "Jangan dilihat kehadiran media baru ini cuma terhad kepada bahan-bahan yang boleh didapati dari internet saja."

Ertinya di sini, media baru adalah diukur dengan dasar, falsafah yang dipegang pemimpin media itu sendiri. Ia bukan tertakluk kepada teknologi maklumat yang terbaru.

Menurut Ahmad Lutfi, pengalaman beliau menubuhkan media baru bermula seawal 1998 iaitu saat bermulanya limpahan protes rakyat yang turun mencurah-curah di ibu kota.

"Ketika itu saya di Harakah untuk mengendalikan unit majalah. Dan, majalah yang saya kelolakan ketika itu adalah Tamadun," katanya ketika menceritakan peristiwa lalu. "Malangnya, unit itu sekarang sudah tiada lagi."

"Hampir 50 buah majalah, akhbar yang saya wujudkan pada era Reformasi itu," katanya lagi, yang pernah menuntut dalam bidang Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) cawangan Semarak dulu.

"Saya bukan daripada bidang kewartawanan, tetapi bermodalkan pengalaman, saya boleh menulis. Dan, yang pentingnya di sini, saya cuma nak beritahu bahawa pengamal media itu jangan mati akal ketika berdepan dengan kekangan kerajaan.

"Kita mesti kreatif untuk berdepan dengan kerajaan. Kalau rajin dan tekun pasti ada jalan, dan undang-undang akan membenarkan," kata mantan siswa yang pernah ditahan ISA ini. Beliau ditahan berikutan laporannya berhubung bantahan para pelajar UM ke atas konsert Sheila Majid pada tahun 1989.

Seminggu sebelum Harakah diterbitkan pada April 1987, beliau telah memulakan kerjaya sebagai wartawan dan mula menekuni segenap peristiwa khasnya yang melibatkan isu-isu pelajar IPT. Mungkin tidak lengkap ilmu kewartawanan jika tidak melapor isu pelajar.

Deretan wartawan veteran pernah melaporkan kisah politik pelajar. Said Zahari melapor isu perbicaraan Fajar yang melibatkan pimpinan pelajar Kelab Sosialis di Singapura. Dan A Samad Ismail tidak lupa melemparkan kritikan ke atas gerakan pelajar 1970-an juga.

HALATUJU MEDIA BARU

13 Disember, saya berkesempatan merakam beberapa buah fikirannya sebelum beliau menjalani rawatan angioplasty untuk membuka saluran darah ke jantung pada keesokan paginya Biar pun, dalam keadaan begitu, semangat beliau berkarya masih menebal.

Mantan pengarang majalah Tamadun yang terkenal ketika era Reformasi ini menyifatkan kes beliau gagal mendapatkan permit penerbitan itu tidak seharusnya dipandang remeh oleh orang-ramai, khasnya pengamal media.

Dengan kegigihannya dalam menubuhkan media-media baru tidak berkala seperti Haraki, Reformasi, Memo, Ehsan, Kritik, Kritis,

Lunas, Alternatif dan sebagainya semua ini tidak boleh direntungkan dalam lipatan sejarah Pakatan Rakyat yang ingin bangkit mendukung cita-cita bangsa merdeka.

Ada sebab kenapa kerajaan tidak meluluskan permit media baru yang diterokainya. Detik, sebuah majalah bulanan yang memihak, pro Reformasi, telah pun melonjak jualannya lebih 100,000 naskhah.

"Majalah Tamadun pernah mencatatkan rekod yang menakjubkan sehingga diulang cetak sebanyak tiga kali pada September, 1998 ketika Anwar dipecat!

"Masa itu, kita tak perlu kreatif untuk lariskan jualan, apa-apa saja berkaitan Reformasi akan laris. Maka, cabaran untuk pembangkang sekarang ialah bagaimana mahu gunakan kesempatan sekarang untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada mereka,"

katanya, sambil menyifatkan dalam pengalaman lalu, pembangkang cuma mengaut keuntungan ekoran Reformasi.

"Sekarang," tambah Ahmad Lutfi, "keadaan sudah berubah. Gelombang media baru tidak lagi memihak pembangkang saja. Bloggers sudah mula mengkritik pembangkang juga."

Bagi beliau, hal ini tambah merumitkan, kerana kritikan tersebut datang daripada rakan-rakan mereka sendiri dalam kalangan PR yang sedar dan peka terhadap masalah-masalah dalaman mereka sendiri.

Pernah suatu ketika beliau meluahkan kerisauannya tentang prestasi PR di negeri masing-masing. Menurut beliau, bahaya itu wujud kerana rakyat sudah boleh membuat penilaian.

"Dulu, kita pembangkang, tidak memerintah dan sudah tentu rakyat tak dapat buat penilaian," kata beliau, "Tapi, sekarang ini keadaan sudah berbeza di mana setiap pengundi sudah mula membuat penilaian sebab PR dah mula memerintah di masing-masing."

FORMULA TERBAIK, AKUI KESILAPAN, SEDIA BETULKAN KEADAAN

Bagaimanapun, tambah Ahmad Lutfi lagi, ada formula dan resepi yang cukup baik untuk diteladani oleh pimpinan Pakatan Rakyat, jika mereka mahu meraih kemebali segala bentuk sokongan dan simpati rakyat.

"Dengan keadaan media baru yang menuntut keterbukaan dan ketelusan, maka pimpinan PR perlu sedar tentang kemungkinan mereka akan ditolak dalam pilihan raya nanti.

"Tiada jalan lain. PR perlu bersikap terbuka, akui kesilapan dan beritahu rakyat bahawa mereka bersedia mengubah kesilapan mereka itu. Dan, saya fikir, rakyat boleh terima pemimpin PR yang mengaku kesilapan dan membetulkan keadaan," kata beliau lagi.

Berhentilah menari ikut gendang Umno/BN!

Oleh Dinsman

Saya nak tulis terus terang saja kali ini. Apa saya ingat nak cakap, saya tulis saja. Beberapa hari ini saya bercakap mengenai satu perkara – para pemimpin kita tak habis-habis lagi duk menari mengikut gendang yang dipalu oleh pihak Umno/BN. Apa ke halnya! Sudah-sudah lah



Janganlah apabila wartawan akhbar atau wartawan tv dari pihak yang kita tahu mereka itu menjadi alat atau media Umno/BN, apabila wartawan mereka itu menghulurkan mikrofon atau menelefon kita, maka kita pun tanpa berfikir panjang terus saja menyambutnya dengan penuh ghairah dan bersemangat… membuat kenyataan dan menjawab segala soalan yang diajukan itu dengan segala senang hati dan berpuas hati, penuh yakin dan percaya bahawa kenyataan dan jawapan kita itu adalah betul dan ikhlas, sesuai dengan perjuangan parti kita.

Cukuplah! Belajar-belajarlah dengan apa yang telah berlaku selama ini. Mereka itu ada agenda mereka. Bukan saja-saja mereka nak berkhidmat untuk kita, dan nak menyebarkan maklumat bagi pihak kita. Jangan bermimpilah! Bangunlah dan sedarlah. Kita sedang diperangkap oleh media mereka. Rasa-rasanya belum pernah dalam sejarah gerakan Islam di negara ini, keadaan dalaman organisasi dan kepimpinan parti PAS menjadi bercelaru, kucar-kacir, saling mencurigai dan salah-menyalahkan sesama sendiri, fitnah tersebar.… Belum pernah rasanya dalam sejarah gerakan Islam di negara ini PAS berada dalam keadaan yang kucar-kacir seperti hari ini.

Masing-masing seperti tidak kenal lagi mana yang betul dan mana yang tak betul; pemimpin mana yang berpegang pada prinsip yang benar dan pemimpin mana yang sedang berusaha untuk menuju ke arah lain… Betapa bercelarunya! Dan dalam keadaan yang bercelaru itu tanpa disedari tiba-tiba ada di kalangan pimpinan sendiri yang menyuarakan rasa kurang senang dengan pimpinan Tok Guru Mursyidul ‘Am, mendesak dia supaya menamakan penggantinya dan supaya merancangkan pengundurannya dari kerusi Menteri Besar Kelantan.

Atas alasan apa? Kononnya kerana kesalahan dia melantik menantunya menjadi CEO sebuah perbadanan perniagaan yang dia sendiri selaku Menteri Besar menjadi pengerusinya; dan satu lagi kerana hendak menunaikan haji dengan pakej yang mahal atas tajaan pihak tertentu. Riuh rendah. Mereka memukul gendangnya dan kita pun menari dengan rancaknya, lintang-pukang tak terkiralah; bahkan kita pun turut sama memukul gendang mengikut rentak mereka.

Hingga jadi terlupalah kita akan siapa sebenarnya yang kita sedang marah-marah dan melemparkan tuduhan yang negatif itu. Terlupalah kita akan kualiti seorang pentadbir negeri Islam yang satu-satunya seperti itu dalam dunia hari ini yang kita sebenarnya sangat memerlukannya.

Terlupalah kita untuk melihat pada wajah pembangunan dan kemajuan Islam di Kelantan hari ini, hasil dari ijtihad pentadbiran gaya tersendiri yang lahir dari upaya pemikiran sang pemimpin itu, yang teori pentadbiran dan pembangunannya pun belum sempat kita kaji dan rumuskan lagi.

Terlupa juga kita akan pencapaian paling puncak dalam sejarah gerakan Islam di negara ini dimana seorang tokoh agama Islam menjadi begitu popular hingga dia diterima baik oleh kalangan bukan Islam, sebagai pemimpin semua, sebagai “Tok Guru kita”!

Kita terlupa akan aset paling berharga yang ada pada kita itu semata-mata kerana kita terpesona dengan pukulan gendang oleh pihak musuh.

Kita terpukau dan terperangkap dalam jerat musuh, tanpa kita sedar, hingga akhirnya kita sendiri mengucapkan kata-kata yang sangat diidam-idamkan oleh pihak musuh itu. Mereka sedang bekerja keras untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13 yang tak lama lagi akan menjelang tiba.

Di bawah pimpinan baru Najib Tun Razak, dengan pakar-pakar strategi dan pakar media di sekelilingnya, jangan kita memandangnya remeh. Lihat saja sekarang! Kita sudahpun terperangkap dalam permainan mereka.

Faktor paling utama yang boleh menghalang cita-cita dan perancangan mereka untuk terus berkuasa di negara ini, telah mereka kenal pasti, hanya dua – iaitu faktor yang bernama Anwar Ibrahim dan yang bernama TokGuru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Dua faktor utama ini kalau berjaya dihancurkan – maka selamatlah Umno/BN melalui pihanraya umum ke-13. Itu saja yang menjadi sasaran mereka sekarang. Takkan ini pun tak dapat kita baca, sedangkan tanda-tandanya bersepah di mana-mana!

Atau cubalah kita fikirkan sekarang – bagaimana jadinya kita Pakatan Rakyat dan gerakan Islam di negara ini sekiranya di kalangan kita tidak ada lagi Anwar Ibrahim dan Tok Guru Nik Aziz?

Siapakah yang akan memimpin gerakan Islam dan Pakatan Rakyat (pada masa ini) untuk menghadapi pelbagai tekanan dan muslihat pihak Umno/BN?

Terus terang saya katakan bahawa buat masa ini kita belum nampak sesiapa pun lagi yang berkemampuan seperti dua orang tokoh ini untuk memimpin gerakan Islam dan reformasi rakyat Malaysia, menghadapi serangan daripada puak Umno/BN bagi membangunkan sebuah politik dan pentadbiran kerajaan baru di negara ini, bagi menggantikan politik dan pentadbiran kerajaan cara Umno/BN yang penuh dengan rasuah dan penipuan itu.

Ya, saya tahu, ada orang sedang menuduh saya amat fanatik dan ta’sub dengan Tok Guru Nik Aziz.

Saya kata tidak, saya tidak fanatik atau ta’sub. Saya mengkaji apa yang telah dibuat oleh Tok Guru Nik Aziz di Kelantan selama 19 tahun dia mentadbir negeri itu mengikut cara dan panduan yang diambilnya dari al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Awal tahun 2008 saya telah terbitkan buku “100 Fakta Kelantan Mengubah Malaysia”, mendedahkan 100 fakta yang dibawa oleh pimpinan Tok Guru Nik Aziz dalam upayanya membangun dan memajukan Kelantan secara Islam.

Dan sekarang saya sedang berusaha, dengan bantuan kawan-kawan, untuk merumuskan teori pentadbiran dan teori pembangunan Nik Aziz itu, yang saya percaya sangat berharga dan boleh memberi manfaat yang besar kepada gerakan Islam sedunia hari ini.

Maka apakah semua yang sangat berharga dan bernilai tinggi ini patut kita musnahkan begitu saja, semata-mata kerana kita mendengar tuduhan yang dibangkitkan oleh pihak musuh, dan kita hendak membuktikan kepada musuh itu bahawa kita tidak bertoleransi dengan amalan rasuah; tanpa terlebih dahulu kita melihat ke kiri dan ke kanan untuk mengenal pasti agenda sebenar yang bersembunyi di sebalik “permainan” itu?

Renunglah kebijaksanaan orang tua-tua kita dulu, yang pernah mengingatkan kita supaya jangan membakar kelambu kerana hendak membunuh seekor nyamuk!

Dan pandanglah ke kiri dan ke kanan terlebih dahulu sebelum membaca tanda-tanda rasuah seperti yang diejakan kepada kita oleh puak-puak yang memang terkenal handal bermain rasuah itu.