Friday, December 4, 2009

Adab mendengar azan

Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati... Mengapa kebanyakan orang yg nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa.. Lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan 'sakaratulmaut'.


Diriwayatkan dari sebuah hadis yg bermaksud: "Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak ALlah akan kelukan lidahmu ketika maut menghampiri...."

Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun sewaktu azan berkumandang. Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan.



Banyak fadhilatnya! Jika lagu Kebangsaan Negaraku kita diajar agar berdiri tegak dan mendiamkan diri. Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri?

Lantas siapa yang berbicara ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah 'Lailahaillallah...' yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut ALlah dgn izinNya menjanjikan Syurga untuk mereka. Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan bermohon kepada ALlah supaya lidah kita ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut...InsyaALlah.

"Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah 'Lailahaillallah...' semasa sakaratul maut menghampiri kami... Amin... amin.. amin Yarobbal a'lamin....."


Sesuatu yang tak pernah terjangkau di akal fikiran ku ini...Subhanallah... Ketahuilah bahawa pada setiap waktu, ribuan bilal di merata dunia akan melaungkan azan, mengakui 'Bahawa Allah Saja Yang Patut Disembah dan Nabi Muhammad Adalah Rasul ALlah. Dimulai dengan Indonesia yang terletak dibahagian timur dengan ratusan kepulauan-nya dan jumlah penduduknya sebanyak 180 juta.

Sebaik masuk waktu Subuh, Azan mulai berkumandang dari kawasan ini dengan ribuan Bilal yang akan melaungkan Ke-Agungan ALlah S..W.T Dan Nabi Muhammad S.A.W.

Proses ini akan bergerak kearah barat kepulauan Indonesia.

Perbedaan waktu antara timur dan barat Indonesia adalah 1-1/2 jam. Belumpun alunan Azan merata Indonesia selesai, dimulai pula di Malaysia....

Berikutnya di-Burma dan dalam waktu satu jam selepas Azan dialunkan di-Jakarta, tiba giliran Dacca di Bangladesh.

Berikut alunannya akan kedengaran di Calcutta dan terus ke Srinagar dibarat India.

Perbedaan waktu dikota-kota Pakistan adalah 40 minit jadi dalam jangka waktu ini, Azan akan berkumandang diseluruh Pakistan. Belum berakhir di Pakistan, Azan akan bermula pula di Afghanistan dan Muscat. Perbedaan waktu antara Muscat dan Baghdad adalah satu jam.

Dalam jangka waktu ini, Azan akan berterusan dilaungkan di UAE, Makkah, Madinah, Yaman , Kuwait dan Iraq .

Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik.


Jarak masa Azan mula dialunkankan di Indonesia sehingga ke pantai timur Atlantik
adalah 9-1/2 jam. Belumpun Azan Subuh berkumandang di pantai Timur Atlantik, Azan Zuhur kini sudah mula dilaungkan di Indonesia.

Ini berterusan bagi setiap waktu sembahyang, tidak putus-putus.

Subhanallah, begitu hebat dan agungnya Islam!

Kalaulah setiap kawasan boleh memasang pembesar suara, akan bergetar satu dunia dengan alunan Azan yang tidak putus-putus.

Allahu Akhbar! Aku bersyukur kerana dapat mengecap nikmat menjadi hambaMu dan Umat Muhammad..... dan ingin selalu ku katakan dalam hatiku tiada seruan lain lagi sepenting seruanMu, Ya ALlah!

Disalin dari http://shiela-sweetmomentos.blogspot.com/

Puluhan ribu rakyat berhimpun sokong Tok Guru

M Faqih

KOTA BHARU, 4 Dis: Pusat bandar Kota Bharu penuh sesak dengan kebanjiran lautan manusia menghadiri perhimpunan menyokong kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Apa yang jelas ia ratusan kali ganda lebih ramai berbanding demontrasi mendesak Menteri Besar Kelantan meletak jawatan di hadapan Kota Darulnamim Selasa lalu, kata Ketua Penerangan PAS, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Biarpun cuaca redup dengan hujan sekali sekala lebat, ia tidak menghalang puluhan ribu rakyat Kelantan hadir menyatakan kasih dan sayang mereka kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Ada yang datang dari Besut, Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan negeri-negeri lain bagi meramaikan lagi perhimpunan tersebut.

Pelbagai sepanduk dapat dilihat, ada yang bertulis ‘Kita Sayang Tok Guru Kita’, ‘Kami Menyokong Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz’, ‘Royalti bui-builah (bagi-bagilah)’ dan ramai yang memakai lilit kepala bertulis ‘We Love Tok Guru’.

Tidak kurang juga kelihatan ramai anggota polis yang terpaksa berkawal di sepanjang jalan.

Medan Ilmu di Jalan Tok Pati menyaksikan sokongan terhadap kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak pernah surut.

Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Ketua-ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud dan penduduk bukan Islam serta pemimpin KeADIlan negeri.

Lebih menarik lagi apabila pemimpin masyarakat Cina, India dan Siam turut berucap di hadapan ribuan yang hadir.

Ah Seng mewakili masyarakat Cina menyatakan kaum tersebut di Kelantan dapat hidup aman damai di bawah pemerintahan PAS yang dipimpinan Tok Guru.

“Masyarakat Cina berdiri teguh di belakang Tok Guru. Kami masyarakat Cina menentang keras usaha-usaha pihak lawan yang mahu menjatuhkan Menteri Besar,” katanya diikuti laungan takbir orang ramai.

Tharuman wakil masyarakat India juga menyatakan masyarakat India di Kelantan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Tok Guru.

Ucapan dalam bahasa Tamil membuat orang ramai menjadi riuh rendah seketika.

Wakil institusi pondok tradisional di Kelantan, Ustaz Awang Yusof dari Pondok Gelang Mas, Pasir Mas secara terbuka meminta rakyat Kelantan tanpa mengira agama dan bangsa memberi sokongan padu kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Wakil KeADILan yang begitu bersemangat berucap berkata, ribuan rakyat yang hadir hari ini tidak dibayar sesen pun untuk hadir menyatakan sokongan kepada Menteri Besar.

“Tidak ada sebuah kerajaan yang bersih di negara ini kecuali Kelantan sepanjang ditadbir Tok Guru hampir 20 tahun,” ujarnya.

Beliau juga mencabar pemuda Umno berdebat pada bila-bila masa untuk membincang isu royalti yang menjadi hak milik rakyat negeri ini cuba dinafikan perdana menteri.


Anwar mahu Australia pantau PRU-13

Oleh G. Manimaran

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai ikatan pembangkang menghadapi pilihan raya umum Mac 2008 meminta Australia menghantar pasukan pemerhati untuk memantau perjalanan pilihan raya umum ke-13 yang ramai jangkakan kemungkinan diadakan dalam waktu terdekat.



Mandat semasa hanya akan berakhir April 2013 tetapi ramai meramalkan ia kemungkinan dipanggil dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh dua tahun.

Dalam temu bual dengan akhbar Australia, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, ikatan tidak formal yang dibentuk selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008 memberitahu bahawa sistem pilihan raya negara ini masih memperlihatkan beberapa kekurangan yang tidak memihak kepada mereka.

Kempen pilihan raya yang dijangkakan tahun depan bukan sesuatu yang mudah bagi Anwar yang kini berhadapan dengan kes liwat — yang kedua dalam tempoh 10 tahun.

Pada pilihan raya umum tahun lalu PR yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS memenangi 82 kerusi Parlimen dengan menafikan kedudukan majoriti dua pertiga yang dinikmati Barisan Nasional (BN) sejak 50 tahun lalu.

Malah PR menguasai Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Perak dan Selangor. Bagaimanapun Perak kembali diambil alih oleh BN selepas tiga wakil rakyat PR keluar parti masing-masing.

"Senarai pemilih tidak boleh dicabar, tiada liputan (bebas) media, anggota keselamatan (juga) bukan berpihak kepada kami," kata Anwar dipetik The Age. Tulisan akhbar itu dimuatkan dalam blog beliau hari ini.

"Pada masa lalu (pilihan raya umum ke-12 Mac 2008) kami telah lakukan dengan baik. Kali ini kami meminta negara-negara seperti, termasuk Australia, agar menghantar pasukan bebas (untuk memantau perjalanan pilihan raya).

"Jangan bercakap pasal demokrasi jika anda menafikan perkara ini dan mengatakan yang baik-baik sahaja untuk menyenangkan pemimpin-pemimpin diktator dan autoritarian," kata Anwar memenangi kembali kerusi Parlimen Permatang Pauh menerusi pilihan raya kecil Ogos 2008.

Negara pernah menerima kehadiran pasukan pemantau ketika pilihan raya umum 1990.

Ketika lawatan ke Malaysia tahun lalu, Perdana Menteri Australia Kevin Rudd memuji Malaysia sebagai negara yang demokrasinya berkembang dengan baik meskipun diselubungi dakwaan adanya unsur membeli undi dan rasuah.

Bagaimanapun Anwar berpendapat bahawa Rudd telah silap dalam pandangannya itu sambil menyifatkan ia sebagai kenyataan diplomatik semata-mata.

Kata Anwar, untuk mengatakan bahawa Malaysia mengamalkan demokrasi yang mantap dengan jelas menggambarkan salah faham tentang isu sebenar yang wujud.

"Sistem kehakiman tidak bebas, anda tiada akhbar yang bebas. Rangkaian-rangkaian televisyen dikawal oleh parti pemerintah. Apakah bentuk demokrasi mantap yang anda bercakap?

"Saya mesti mengatakan bahawa dari segi hubungan dua hala, (Rudd) bukan sahaja hanya perlu menyedapkan kerajaan memandangkan pembangkng juga mempunyai komitmen untuk mempunyai hubungan dua hala yang mantap dengan Australia," kata Anwar yang dilihat sebagai intrumen utama dalam menyatukan pembangkang di bawah ikatan PR.

Anwar akan berada di Australia esok untuk bercakap mengenai pengalaman komuniti Islam di Asia Tenggara pada majlis Parlimen Agama Dunia di Melbourne.

Beliau juga akan menyampaikan syarahan di Monash University berhubung pengalaman Asia dalam menghadapi krisis kewangan dunia.

Hiburan Malaysia yang semakin melalaikan

Oleh Arif Husaini

Apabila dikemukakan wanita cantik dengan pakaian terdedah, dan dengan cerita munkar seperti skandal seks, apa yang paling dilihat oleh orang ramai yang menonton? Tentu sekali aspek-aspek tarikan munkar dan melalaikan itu, walaupun katanya cerita itu mengandungi pengajaran



Baru beberapa minggu, dunia seni tanah air dikejutkan dengan kemunculan Jalang, sebuah filem yang memaparkan cerita munkar seperti ini, menggunakan wanita cantik sebagai tarikan untuk melariskan cerita.

Dan sudah pasti, pembuatnya ialah orang Melayu beragama Islam yang cuba mewajarkan cerita itu dengan pengajaran dan kisah wanita itu bertaubat, walaupun dilihat daripada poster filem ini yang terpapar di akhbar-akhbar, jauh sekali untuk dikaitkan dengan taubat.

Daripada apa yang telah muncul di media selama ini, saya dapat menyimpulkan filem ini tidak lebih daripada eksploitasi wanita dan menggunakan seks sebagai pelaris. Filem seperti ini memudahkan lagi untuk gejala sosial orang Melayu Muslim di negara ini terus memburuk.

Siapa lagi yang akan menonton filem ini kalau bukan orang Melayu yang sebahagian besarnya beragama Islam? Adakah pembuat filem ini tidak memikirkan kesan-kesan jangka panjang filem yang dibuat konon untuk menceritakan kisah taubat itu kepada umum?

Taubat ialah satu perkara besar dalam agama. Kenapa pembuat filem ini mempersembahkan cerita berkisar taubat ini dengan imej-imej munkar? Ini sangat tidak kena dengan apa yang kononnya ingin disampaikan itu.

Dunia hiburan kita kian sesak dengan hiburan melalaikan. Kita melihat hiburan realiti remaja-remaja yang bercita-cita menjadi artis menjadikan remaja-remaja itu sebagai idola dan ikutan ramai anak muda.

Hasil pengamatan saya sendiri, di rumah-rumah ramai orang Melayu satu keluarga berhimpun di hadapan televisyen menonton rancangan hiburan realiti popular Akademi Fantasia sepanjang malam.

Setiap daripada mereka pula mengenali remaja-remaja peserta rancangan itu, siap dengan latar belakang kehidupan dan bermacam-macam lagi. Tidak cukup dengan itu, mereka membeli majalah mengenai rancangan itu untuk mengenali lagi idola kesayangan mereka itu.

Hasilnya, apa yang ada dalam kepala mereka kalau bukan idola-idola ini. Hiburan menjadi satu agenda penting kehidupan mereka hari demi hari, daripada satu musim ke musim akan datang. Apakah harapan masa depan umat Muslim negara kita sekiranya sebahagian besar lebih suka berseronok dengan hiburan.

Di internet pula, semakin banyak blog yang memaparkan kehidupan selebriti yang amat mengejutkan lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan peranan mereka dalam rancangan di televisyen atau apa yang mereka katakan dalam wawancara-wawancara di akhbar.

Sesuatu perlu dilakukan untuk menghadapi serangan hiburan munkar dan melalaikan yang semakin berleluasa ini. Mereka yang mempunyai autoriti dalam agama dan dihormati termasuk tokoh-tokoh politik perlu bercakap menentang perkara ini.

Pihak berkuasa mungkin boleh menggalakkan filem dan rancangan hiburan yang berfaedah dengan memberikan bantuan tertentu dengan menyediakan dana untuk membangunkan hiburan yang lebih berkualiti dan menyumbang kepada pembangunan spiritual bangsa.

Mereka yang terlibat dalam dunia hiburan, yang mempunyai kesedaran ini perlu menggiatkan lagi usaha untuk memperbanyakkan lagi hiburan yang berfaedah. Jangan biarkan unsur-unsur munkar terus diarusperdanakan.

DAP pijak gambar ‘katak’ salah, Pemuda BN bakar gambar LGE tak salah?

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) cukup hairan dengan ulasan akhbar berkaitan pimpinan DAP menggunakan gambar 3 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menjadi bebas sebagai alas kaki menjadi isu yang sahaja dibesarkan untuk memburukkan Pakatan Rakyat (PR).



DPPN Pk mempertikaikan tindakan Pergerakan Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang jelas menambahkan kemarahan rakyat dengan membakar gambar Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang semalam semasa himpunan haram yang di anjurkan oleh mereka.

DPPN Pk kesal dengan tindakan menggunakan gambar seorang pemimpin sebuah kerajaan negeri dan juga Ketua Menteri yang dipilih oleh rakyat menjadi bahan untuk dibakar gambarnya adalah perbuatan biadap.

Jika pimpinan DAP yang dikatakan tidak pernah menyertai kursus Biro Tatanegera (BTN) hanya menggunakan gambar 3 ADUN ‘katak lompat’ tersebut sebagai alas kaki dipertikai, bagaimana pula dengan Pemuda UMNO / BN yang pernah menyertai BTN pula menggunakan gambar tersebut untuk dibakar adalah amat pelik dan menunjukkan sikap kebencian adalah jelas.

DPPN Pk meminta agar pengamal media supaya tidak mengamalkan sikap “double standard” di dalam melaporkan berita yang menyebabkan rakyat tidak akan menerima lagi maklumat atau berita yang akan dilaporkan. Rakyat yang dahagakan sumber maklumat dan berita yang telus serta benar akan mencari alternatif sebagai kebenaran yang perlu diperjuangkan.

SALMAN HAJI SALEH

Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.