Tuesday, November 17, 2009

2 beranak setan

AMPANG: Dua beranak setan. Ungkapan itu sesuai buat seorang bapa dan anak lelakinya yang sanggup menjadikan darah daging mereka sebagai bahan pemuas nafsu sejak setahun lalu.

Difahamkan, akibat perbuatan terkutuk itu, mangsa yang berusia 13 tahun yang juga seorang pelajar tingkatan satu, kini trauma dengan sikap ayah dan abang kandungnya.

Mangsa dikatakan pernah dicabul ayah dan abang kandungnya itu sejak tahun lalu dan kejadian terakhir berlaku Jumaat lalu kira-kira jam 1 pagi di rumah mereka di Bukit Permai, di sini, apabila ayahnya sekali lagi mencabul pelajar malang terbabit.

Kejadian terbaru itu meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa yang akhirnya terpaksa menceritakan pengalaman keji itu kepada guru di sekolah sebelum dia dinasihati membuat laporan polis.

Susulan laporan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun dan anaknya berusia 17 tahun bagi membantu siasatan.

Menurut sumber polis, pelajar itu mendakwa perbuatan jijik itu berlaku ketika dia tidur apabila bapanya menggesel kemaluannya.

“Bagaimanapun, mangsa yang mula menyedari perbuatan itu adalah salah namun dia hanya mampu mendiamkan diri kerana terlalu takut dengan bapanya.

“Keesokannya, ketika di sekolah mangsa yang sudah tidak dapat memendam rahsia itu menceritakan kejadian kepada guru dan dia membuat laporan polis,” katanya.

Sumber terbabit berkata, dalam laporannya mangsa mendakwa selain kejadian terbaru yang berlaku membabitkan bapanya, dia juga pernah menjadi mangsa cabul abang sendiri pada tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hasan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat mangsa.

Menurutnya, mangsa sudah dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital dan laporan menunjukkan dia tidak dirogol namun siasatan masih dijalankan sama ada pelajar terbabit benar-benar dicabul bapa dan abangnya.

“Berikutan itu, dua beranak terbabit ditahan dan bapanya kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan manakala abang mangsa akan dibebaskan kerana dia bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Siasatan mendapati, bapa mangsa mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah yang pernah dilakukannya sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan yang berlaku di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Ampang, di sini, seorang remaja lembam menjadi mangsa cabul beberapa lelaki ketika dia dalam perjalanan pulang selepas mengaji al-Quran di tingkat 12 pangsapuri terbabit.

Bapa remaja berusia 18 tahun itu pada mulanya hairan kerana anaknya tidak pulang rumah selepas tamat mengaji kira-kira jam 9 malam.

Menurut sumber polis, lelaki terbabit dan isterinya yang risau keselamatan anak mereka mencari di sekitar kawasan berkenaan sebelum remaja itu ditemui kira-kira dua jam kemudian di tingkat lapan pangsapuri berkenaan.

“Remaja terbabit ditemui dalam keadaan ketakutan dan ketika ditanya dia hanya mampu memberitahu yang dia dibawa ke sebuah rumah yang mempunyai tiga lelaki.

“Bagaimanapun, dia tidak dapat mengingati rumah yang didakwanya itu kerana dia mempunyai masalah lembam,” katanya.

Menurutnya, tidak lama selepas dibawa pulang, remaja terbabit menceritakan kepada adik perempuannya yang tubuhnya diraba sekumpulan lelaki dalam rumah itu.

“Adik perempuannya memberitahu bapa mereka sebelum lelaki terbabit membuat laporan polis kerana khuatir anaknya menjadi mangsa rogol.

“Bagaimanapun, pemeriksaan doktor mendapati mangsa tidak dirogol dan polis kini masih menyiasat dakwaan remaja itu yang mengatakan dia dicabul sekumpulan lelaki,” katanya.

ISA: 'Saya akan sumpah SB-SB yang jahat!'

Written by Lim Hong Siang (Merdeka Review)

Ditangkap: Mat Sah Mohd Satray, seorang juruteknik yang berkhidmat dengan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) pada ketika itu, dikaitkan dengan Abu Bakar Bashir yang dituduh sebagai pemimpin Jemaah Islamiyyah (JI). Mat Sah mengenali Abu Bakar kerana menghadiri khususnya, yang diwajibkan oleh DBP sendiri.

Ditekan: April 2002, Mat Sah disoal siasat sepanjang hari oleh tiga orang pegawai secara bergilir. Malah, Mat Sah yang menggigil di bawah penghawa dingin itu tidak dibenarkan ke tandas, hanya dibekalkan botol air mineral ketika membuang air.

Keesokannya April 18, 2002, media cetak arus perdana menyiarkan berita bahawa Kumpulan Militan Malaysia (KMM) cuba sabotaj untuk meletupkan pelabuhan Klang. Masyarakat ketika itu diselubungi ketakutan berikutan tragedi serangan di Amerika Syarikat pada 9/11.

Ditahan: Permohonan habeas corpus untuk mencabar prosedur penahanan Mat Sah berakhir dengan kekecewaan setelah ditolak dengan penghakiman yang berbunyi “masyarakat dunia kini sedang memerangi pengganas”.

Tetapi, seandainya Mat Sah benar-benar pengganas, apa pula program ‘pemulihan’ yang disediakan di Kamunting?

Di tempat: Yang tiada lampu dalam bilik. Tujuh tahun dilalui … tanpa bukti, tanpa keadilan; tanpa bulan, tanpa bintang.

Dilepaskan: Sept 15, 2009, “Dia (Mat Sah) bukan dibebaskan. Dia dicampakkan keluar dari kem Kamunting ke depan rumah saya,” demikianlah luahan isterinya, Norlaila Othman.

Diikat syarat: Beliau hendaklah tinggal dalam kawasan daerah polis Ampang Jaya, Selangor; dan tidak boleh meninggalkan kawasan tersebut tanpa kebenaran bertulis Ketua Polis Negeri atau Wilayah Persekutuan yang berkenaan. Dengan kata lain, Mat Sah hanya bebas bergerak di sekitar Ampang.

Dikurung di rumah: Malah, Mat Sah wajib melaporkan diri di balai polis setiap Isnin, dan berada di rumah dari jam 9 malam hingga 6 pagi, kecuali mendapat kebenaran polis.

Diarah: Tidak boleh berucap di khalayak ramai; tidak boleh berpersatuan; tidak boleh berpolitik.

Wawancara Merdeka Review bersama Mat Sah dan Norlaila


“Kesian dia Mat Sah, bila sampai dia mati orang akan kata dia terrorist. Padahal, Mat Sah orang baik, dianiaya dan dijadikan scapegoat (kambing hitam),” kata Norlaila yang bergiat aktif memperjuangkan pembebasan suaminya melalui gabungan NGO dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Kerajaan semakin tertekan lantaran demonstrasi ‘Mansuhkan ISA’ pada 1hb Ogos yang lalu, menjurus kepada pembebasan lima orang tahanan ISA sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Demikianlah jangkaan Mat Sah, menyanggah hujah bahawa tahanan ISA dibebaskan setelah “dipulihkan secara menyeluruh”.

Bahang kemarahan rakyat terhadap ISA turut dirasai Mat Sah yang terkurung di dalam Kem Tahanan Kamunting (Kemta), melalui interaksi Special Branch (SB) dengannya.

SB dari Bukit Aman yang sebelum ini mengunjungi Kemta enam bulan sekali, bertemu dengan Mat Sah hampir dua minggu sekali, selepas puluhan ribu manusia membanjiri pusat bandaraya Kuala Lumpur dengan laungan ‘Mansuhkan ISA’.

Mat Sah menceritakan bagaimana SB kelihatan terdesak setelah demonstrasi tersebut. Beliau dibawa ke Police Remand Centre di Kuala Lumpur, menjalani program brainwash. Mat Sah dihujani pelbagai soalan, di samping propaganda mengapa ISA perlu dikekalkan.

Tahanan dikenakan ujian poligraf

Pada malam Apr 17, 2002, Mat Sah ditangkap di bawah ISA. Kediamannya dirempuh 12 orang polis, Mat Sah digari, sementara rumahnya digeladah. “Apabila saya tanyakan mana waran tangkapan, mereka kata ‘tak payah waran’ kerana mereka ‘pegawai gred A’,” kata Norlaila.

Mat Sah kemudiannya dilemparkan label ahli JI dan KMM, tanpa dibicarakan di mahkamah. Namun, “Mereka tak sebut pun perkataan ‘JI’ atau ‘KMM’ (semasa tangkapan), cuma kata ‘kami ada alasan-alasan untuk menahan anda di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana mengancam keselamatan negara’.”

Ingatan Mat Sah masih segar, mengimbas pengalamannya setelah genap dua tahun pertama beliau ditahan.

“Mat Sah, saya tak boleh bebaskan awak. Malaysia dah buat komitmen dengan Asean untuk combat (banteras) terrorism, lebih-lebih lagi Amerika Syarikat. Kalau kami bebaskan awak, apa kata mereka?” – Demikianlah alasan yang diberikan kepada Mat Sah dari Bukit Aman.

Malah, tahanan ini perlu menjalani ‘ujian poligraf’ untuk menguji sama ada dirinya berbohong kepada pihak berkuasa. “Dua kali dia buat, tahun sudah ada, tahun ini pun ada. Dulu dia (polis) kata tak lulus, kali ini lulus pula. Tapi serupa saja, jawapan saya itu juga.” Kemudian, Mat Sah menambah, “saya nampak dia memang nak bebaskanlah. Alasan (lulus ujian poligraf) untuk bebas itu saja.”

‘Isteri awak kena slow sikit’

Apa pula alasannya untuk dilanjutkan tempoh tahanan?

“Pertama, tak ikut peraturan; kedua, pasal isteri vocal...” ujarnya kepada wartawan, sambil melihat ke arah Norlaila. Malah, Mat Sah dijadikan ‘bad example’ kepada tahanan lain, untuk menghalang keluarga tahanan lain daripada tampil memperjuangkan isu ISA.

Walaupun bukan secara terus-terang, tetapi Mat Sah dapat merasakan SB cuba menyampaikan mesej tersirat “isteri awak kena slow sikit” dalam perbualan bersamanya.

Wartawan menyusul dengan soalan, pernahkah terlintas dalam otak Mat Sah, untuk menasihati isterinya agak “tidak terlalu ke depan”? Dengan jujur Mat Sah mengakuinya, “Saya cuma cakap, SB cakap macam tu...” Sambil ketawa, wartawan membalas, “berlapik jugalah macam tu...”

Norlaila yang berada di sisi Mat Sah tidak sabar untuk melakonkan semula perbualan mereka ketika itu. Dengan lembut Norlaila berkata, “Kalau you tak bagi I pergi kempen, I tak datang kem-lah...”

Wartawan tertawa dengan gelagat pasangan suami isteri ini, walaupun menyedari di sebalik gelagat hari ini, tersarat dengan kepiluan yang lalu.

Mat Sah kembali menceritakan pertimbangannya ketika itu. Beliau mengakui bahawa fikiran ini sekadar ‘terlintas’ dalam otak, memandangkan Dr Abdullah Daud dari Johor turut dilanjutkan tempoh tahanan walaupun isterinya tidak berbuat apa-apa.

Enggan nyanyi Negaraku

Walau bagaimanapun, Norlaila bukan bergiat aktif sebermulanya suaminya ditahan. Malah, Mat Sah mematuhi segala peraturan yang ditetapkan dalam kem dengan harapan agar beliau dapat dibebaskan selepas dua tahun.

Namun, Mat Sah dapat perhatikan bahawa tahanan Al-Ma’unah yang ‘baik’ (mematuhi segala peraturan) tetap ditahan, sebaliknya tahanan ‘reformasi’ yang ‘jahat’ (tidak bekerjasama dengan pihak kem) pula dibebaskan.

Bertitik tolak daripada itu, Mat Sah mula tidak bekerjasama dengan pihak kem, seperti enggan menyanyikan lagu Negaraku pada jam 7 pagi saban hari. Sementara itu, Norlaila mula bergiat di luar, melalui serahan memorandum kepada Suhakam, ceramah dan sebagainya.

Perjuangan Norlaila gagal membebaskan Mat Sah, sebaliknya mengakibatkan suaminya itu dihukum lebih berat lagi.

Pada Feb 23, 2006, Norlaila memilih jalan untuk ambush Perdana Menteri dalam satu aktiviti yang dianjurkan Felda. Norlaila sempat menyerahkan memorandum kepada Abdullah Badawi, yang dibalas dengan ungkapan “Insya-Allah” daripada pemimpin itu.

Tindakan di luar dugaan ini mengundang hukuman penahanan bersendirian selama tiga tahun terhadap Mat Sah. Hukuman ini dilihat sebagai amaran kepada tahanan lain, supaya keluarga mereka tidak mengulangi apa yang dilakukan Norlaila...

‘Kerajaan telah rosakkan suami saya!’

Kesan ISA meresap dengan begitu mendalam di hati mereka, dalam kehidupan harian mereka.

“Saya rasa dia telah dibodohkan dalam tujuh tahun, bukan ‘dipulihkan’...” secara terus terang Norlaila menceritakan. Pengasingan ketika dalam tahanan, peraturan-peraturan yang dikenakan ke atasnya telah membuatkan Mat Sah semakin mundur dari segi fikiran.

Ketika ditanya apakah perwatakan Mat Sah tujuh tahun yang lalu, Norlaila menjawab, “Dia seorang yang sangat cheerful (ceria)..., seorang bapa yang mesra dengan kami.

We lost everything for seven years, including the job. (Kami kehilangan segala-galanya dalam tujuh tahun ini, termasuk pekerjaannya)”.

Norlaila mengimbas kembali bagaimana dia perlu membayar untuk ‘membaiki suaminya yang rosak’ ketika dalam tahanan. Norlaila menanggung kos rawatan gigi dan kaki Mat Sah ketika dalam tahanan, sementara berbelanja untuk membelikan makanan yang lebih baik untuk suami dan tahanan yang lain apabila melawat Kemta.

“Dia bukan banduan!”

Penahanan Mat Sah mengubah segala-galanya. Norlaila berkata, “Dia macam seorang yang baru keluar dari gua. Dia tak tahu apa-apa... bila saya bawa dia berjalan, banyak benda baru, banyak bertanya...”

Pernah sekali Norlaila membawa Mat Sah ke pasar, dikejutkan apabila Mat Sah menjerit ‘Ikan!’ sambil menuding kepada ikan yang dijual di situ. Gelagatnya mencungkil minat Norlaila, sambil membelek ikan tersebut untuk melihat apa yang luar biasa. Rupa-rupanya Mat Sah tidak pernah melihat ikan yang sebesar itu dalam tujuh tahun tahanannya.

Malah, Mat Sah merasakan semua orang hendak melanggarnya apabila berjalan di pasar raya. Dunia Mat Sah semakin mengecil, kekosongan, malah tertinggal dari rentak zaman apabila berasa pelik dengan alat-alat teknologi canggih seperti telefon bimbit, smart-tag, komputer dan Internet.

Bahkan apabila pertama kali Mat Sah melangkah ke rumahnya selepas tujuh tahun, beliau merasakan rumahnya seolah-olah penuh dengan ‘semak-samun’, walhal hanya sofa dan sedikit hiasan yang ada pada ruang tamunya.

Anak hidup tanpa ayah

“Jadi saya tak puas hatilah. Dan saya akan sumpah orang yang... SB-SB yang jahat, bekerja untuk menahan orang bawah ISA, membuatkan mereka ditahan bertahun-tahun, mereka cipta pelbagai alasan untuk menahan mereka dengan lebih lama...”.

Berbeza dengan tahanan lain yang bersyukur kepada kerajaan setelah ‘dibebaskan’, Norlaila memesan Mat Sah untuk hanya bersyukur kepada Tuhan, dan bukannya kepada kerajaan kerana kerajaan inilah yang menyusahkan keluarganya.

Untuk tujuh tahun yang lalu, jarak antara Mat Sah dengan anak tunggalnya, Suhaib disarat penuh dengan kerinduan. Jarak ini belum dirapatkan walaupun Mat Sah telah kembali ke pangkuan anak lelakinya yang separuh umurnya hidup tanpa bapa.

Menurut Norlaila, Mat Sah menjadi serba salah apabila ingin menegur anaknya. Begitu juga apabila Suhaib ingin bercakap dengan ayahnya, Suhaib akan memandang ke Norlaila.

“Terlalu lama mereka berpisah...,” Norlaila mengaku bahawa belum lagi kedua-dua bapa dan anak ini mesra semula setelah dipisahkan sekian lama. Norlaila sendiri berdepan dengan keadaan yang sama, apabila merasakan ada seorang lelaki asing berada di biliknya, pada malam pertama Norlaila balik dari Sabah untuk bertemu dengan Mat Sah di rumah.

Malah, Mat Sah yang agak kendur dalam pergerakannya dan pemikirannya, kadang-kala mencungkil kesangsian Suhaib. Suhaib pernah tanya kepada ibunya Norlaila, sambil melihat ke arah Mat Sah dan menuding ke arah otak dirinya, “dia tu, (mental) ok tak?”

Kebanyakan mangsa ISA ialah puak kiri

Bukan seperti Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini berperanan sebagai ‘isteri Timbalan Perdana Menteri’ sebelum suaminya ditendang dari puncak kuasa, Norlaila hanyalah seorang guru sekolah menengah. Ketika Anwar Ibrahim ditumbangkan, keluarganya disokong gerakan reformasi dari setiap pelusuk, dijadikan tumpuan media antarabangsa sebagai desakan untuk membebaskan tahanan politik tersebut.

Lainnya pula keadaan keluarga Norlaila. Malah, PAS yang ketika itu ditonjolkan dengan imej pengganas oleh propaganda kerajaan BN, turut berasa ragu-ragu untuk membantu keluarga Mat Sah.

Namun, Norlaila bukan bersendirian dan dia tidak melupakan bantuan yang dihulurkan wartawan dari Harakah, Malaysiakini dan sebagainya. Yang lebih penting, apabila Norlaila berdepan dengan jalan buntu, kawan-kawannya dari GMI dijadikan sandaran.

Norlaila yang rajin membaca, merujuk fakta sepanjang perjuangan memperolehi keyakinan daripada ilmu pengetahuan, lantaran berasa bertanggungjawab untuk membetulkan persepsi masyarakat tentang ISA.

Dari pembacaan, Norlaila mendapati tahanan ISA meliputi mereka yang digolongkan sebagai ‘orang kiri’. Mereka ahli kesatuan yang memperjuangkan kepentingan buruh, pekerja kilang, peladang dan sebagainya.

Dalam tempoh tujuh tahun, Norlaila cuba segala upaya untuk memperjuangkan pembebasan suaminya dan pemansuhan ISA. “Segalanya saya lakukan dengan beradab, tetapi apabila kerajaan kurang ajar dengan kita, perlulah kita untuk terus mengajarnya.”

Lim Hong Siang ialah pengarang ‘Merdeka Review’, edisi bahasa Melayu. Temuramah di atas ini dijalankan oleh Lim dengan rakan setugasnya Chen Shaua Fui. Ringkasan ini disunting dan disusun semula oleh CPI dengan izin Merdeka Review’.

Aduhai PAS Tolonglah, Please!


Saya masih tak faham, setakat saya tahu hukum melaungkan bacaan quran dan lain2 zikir di speaker adalah sunat. Jika hingga mengganggu ketenteraman orang lain hukumnya adalah haram . Kerana di dalam Islam, menjaga ketenteraman itu wajib.

Jangan dikelirukan dengan azan. Saya tidak mahu membangkitkan hokum azan. Itu syiar Islam. Banyak lagi seperti memasang ceramah melalui speaker, atau ceramah / kuliah yg kuat hingga mengganggu jiran sebelah.Kadang2 penceramah itu meninggikan suara , pasti mengganggu .Apatah lagi jiran sebelah bukan Islam.

Membaca/memasang ayat quran/zikir/kuliah agama dll yg kuat hingga mengganggu jiran.(terdapat corong speaker yg betul2 mengadap tepat ke tempat tidur atau telinga seseorang terutama yg sedang tidur)Bagi saya jika melakukan perkara ini serupalah dengan kita menjerit nama Allah ketelinga orang lain. Apatah lagi jika ia dilakukan pada waktu subuh (termasuklah tarhim-cuma barangkali hukum melaungkan tarhim dengan corong speaker dikawasan umat islam atau kawasan sekolah islam itu lain, sila beri penjelasan).

Kita perlu ingat laungan perkara sunat tersebut kekadang mengganggu anak2 kecil yg sedang tidur, murid2 yg sedang belajar untuk menghadapi peperiksaan malah sesiapa sahaja yg sedang tidur kerana letih bekerja shif dsb . Itu hak individu untuk tidak diganggu.

PAS kena segera beri penjelasan kepada ummat Islam dan bukan Islam bahawa Bukanlah ajaran Islam yang sebenar mengganggu ketenteraman awam. Lagi sekali ingat, saya tidak pertikakan azan-tetapi “perkara sunat yg dilaungkan melalui speaker”...

Saya yang tinggal di Pulau Pinang ni kadangkala terhiris hati disepanjang perkara sunat itu dilaungkan.Dalam hati saya terlintas ”Alangkah jahilnya.....mereka melakukan yg sunat hingga menjadi haram,bilakah suara yg kedengaran ini akan berakhir?.Kita kena mulakan segera dinegeri-negeri yg dikuasai Pakatan Rakyat. Jika kita masih lagi tidak bertindak, tak salah bukan islam menuduh islam bukan agama harmoni dan mementingkan

Kepentingan awam,Islam itu ekstrim dan sebagainya.

Saya rasa kita tidak perlu tunggu bukan Islam bangkitkan perkara ini. Barangkali mereka terlalu takut untuk membangkitkannya sedangkan hati didalam mereka meronta-meronta. PAS kena bertindak menghentikan perkara yg tidak sepatutnya berlaku, Islam sebenarnya yang harmoni. Di masa yg sama PAS kena menerangkannya secara ilmiah. Jika PAS tidak berdaya membendung perkara itu (mungkin sebab dipolitikkan umno), mungkin PAS boleh terangkan kepada semua ahli Parlimen bukan Islam bahawa sepatutnya masjid atau surau tidak harus membunyikan kuat speaker (untuk bacaan Quran,zikir, kuliah , ceramah dll yg sunat.) hingga mengganggu ketenteraman awam.

Saya mengharapkan penjelasan (hukum) yg sejelasnya dari anda yg faham. Saya utarakan bukan bencikan “suara-suara Islam” tetapi sayangkan Islam dan tak sanggup melihat Islam difitnah kerana kejahilan ummat....tolonglah.Diharap PAS tidak lambat bertindak..Apa pendapat anda? Please....

'BN Menang (di Kedah), Kroni Kenyang'


BN melancarkan slogan baru dalam usaha menawan kembali Kedah dari Pakatan Rakyat. Slogan yang berbunyi "BN Menang, Kedah Senang" itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Gerak Mesra 1Malaysia yang diadakan di kawasan Dun Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Muhyiddin turun ke Kedah, kononnya untuk lawatan kerja atas sifatnya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tetapi semua program yang terkandung dalam Majlis Gerak Mesra 1Malaysia adalah program politik yang visinya ialah untuk memenangkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Dato' Seri Shafie Apdal juga hadir dan berucap selaku pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah. Muhyiddin dan Shafie berucap di hadapan orang ramai bagai sebuah rapat umum politik.

Program itu diuruskan oleh Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Kedah, sebuah agensi pusat yang ditubuhkan di negeri ini kononnya bagi menyelaraskan pembangunan setelah pentadbiran negeri ditadbir Pakatan Rakyat.

Jemputan rasmi oleh Jasmaliza Jamaludin bagi pihak Pengarah Kemajuan Negeri Kedah, dihantar kepada semua jabatan meminta kehadiran 10 orang pegawai atau kakitangan bagi setiap jabatan. Jabatan Pelajaran juga meminta setiap sekolah menghantar 20 wakil. Begitu juga lain-lain jabatan. Rakyat dikerah untuk hadir dengan umpan cabutan bertuah yang pelbagai serta persembahan artis. Bukan kerana nak dengar pidato Timbalan Perdana Menteri.

Majlis Gerak Mesra 1Malaysia adalah program politik, medan pemimpin Umno memaki hamun PAS tetapi digerakkan oleh PPN yang merupakan sebuah jabatan kerajaan di mana pegawai dan kakitangannya dibayar gaji dari duit rakyat; termasuk cukai yang dikutip dari ahli-ahli PAS. Kos membiayai program tersebut juga ditanggung oleh kerajaan. Mereka langsung tidak rasa berdosa, makan duit gaji yang dibayar oleh rakyat tetapi melakukan kerja untuk parti politik.

Tiada bezanya dengan perangai RTM Kedah yang setiap siaran berita menyiarkan kegiatan Umno sebagai laporan utama, walhal Umno di Kedah sama tarafnya dengan pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

Sejak dulu pun Umno sebagai sebuah parti politik tidak perlu bekerja keras untuk memenangkan parti mereka dalam pilihanraya. Jabatan kerajaan yang dijadikan lembu tunggangan.

Setelah separuh abad merdeka, mengapa semua penyalahgunaan itu masih berlaku? Sebabnya BN belum kalah di Pusat. Akibat terlalu lama berkuasa, mereka merasakan semua khazanah kekayaan negara adalah hak milik mereka. Pegawai kerajaan dianggap sebagai peon pejabat Umno.

Inilah bahananya jika sesebuah parti itu diberi kuasa memerintah terlalu lama. Keburukan (akibat terlalu lama berkuasa) inilah yang perlu diberitahu kepada setiap rakyat yang mempunyai akal fikiran supaya kewarasan yang mereka miliki dapat digunakan sebaiknya untuk menolak BN.

Jika sekali mereka kalah, jadi macam pentadbiran kerajaan negeri Kedah sekarang. Pegawai-pegawai tidak perlu bersusah payah melakukan kerja untuk parti politik. Ini hujah yang kuat mengapa Umno perlu dikalahkan di Pusat, walaupun untuk sekali.

Mungkin ada juga segelintir yang gemar melakukan kerja politik, lantaran tebalnya jatidiri Umno dan masih setia bertuankan pemimpin Umno tetapi ia cuma kes eksklusif, bukan gambaran keseluruhan.

Ada yang menghubungi saya meminta didedahkan kakitangan tertentu dalam kerajaan atau GLC yang sengaja mensabotaj imej kerajaan negeri dengan beberapa tindakan tertentu. Saya menjelaskan setakat ini tidak perlu, kerana Menteri Besar lebih bijak mencatur politik.

Hasil sikap tidak gelojohnya, ada beberapa individu yang cuba mengkhianati kerajaan sudah terjun dengan labu-labunya.

Sebuah akhbar harian primitif yang menjadi lidah rasmi Umno, menyiarkan sebuah artikel kononnya kekecewaan pegawai-pegawai kerajaan negeri Kedah (KCS) kerana dipinggirkan oleh Pusat. Pentadbiran negeri mempunyai mekanisme yang sudah established untuk penyaluran pembangunan supaya sampai terus kepada sasaran iaitu rakyat jelata.

Rangkaian pentadbiran di Kedah wujud lebih lama dari pentadbiran kerajaan Persekutuan. Tetapi lantaran sikap angkuh dan bebal pemimpin Kerajaan Pusat kerana pentadbiran negeri yang tidak sealiran dengan mereka, salurannya dilencongkan kepada rangkaian baru yang kebanyakannya melibat kepimpinan Umno negeri.

Dari segi amalan, saluran kewangan yang banyak dibuat melalui rangkaian Umno adalah "sangat baik" kerana ia mempercepatkan keruntuhan mereka. Duit dan perebutannya adalah peluru terbaik untuk menghancurkan Umno. Mati semut kerana gula, mati Umno kerana duit.

Dalam usaha mengambil kembali pentadbiran Kedah, BN sudah mula memukul canang "BN Menang, Kedah Senang". Kira-kira macam pelancaran Gelombang Biru di Terengganu selepas pilihan raya umum ke-11 lalu. Malangnya gelombang buatan di Kedah nampaknya belum menjadi.

Separuh abad BN memerintah Kedah, masih ramai rakyat yang dicengkam kemiskinan. Media massa saban hari menyiarkan kedhaifan rakyat dengan rumah dibuat dari dinding dan lantai buluh atau kayu-kayu hutan, terutama didaerah pendalaman seperti Baling, Sik dan Padang Terap. Kononnya atas keprihatinan terhadap penderitaan rakyat, media tersebut juga melaporkan YB, Pemuda atau Puteri Umno turun membantu. Mereka terhegeh-hegeh datang dengan beras, gula dan kopi.

Walhal yang sepatut dilakukan oleh BN sebagai pemerintah di Pusat ialah mempastikan tiada lagi rumah berlantai dan berdinding buluh. Kewujudan rakyat miskin di Kedah tidak bermula dari 9 Mac 2008. Berpuluh tahun golongan tersebut jarang merasai senang. Mengapa selepas BN jadi pembangkang di Kedah baru parti rasuah itu datang menjanjikan kesenangan?

Ternyata pertukaran kerajaan dari BN ke Pakatan sekarang pun tiada membawa kesusahan kepada rakyat, sebaliknya pemimpin BN yang 'susah'. Hilang banyak sumber pendapatan. Jika BN menang, tentulah juak-juak tersebut yang kenyang. Maka slogan "BN Menang, Kedah Senang" sepatut ditukar kepada "BN Menang, Kroni Kenyang".