Tuesday, November 17, 2009

2 beranak setan

AMPANG: Dua beranak setan. Ungkapan itu sesuai buat seorang bapa dan anak lelakinya yang sanggup menjadikan darah daging mereka sebagai bahan pemuas nafsu sejak setahun lalu.

Difahamkan, akibat perbuatan terkutuk itu, mangsa yang berusia 13 tahun yang juga seorang pelajar tingkatan satu, kini trauma dengan sikap ayah dan abang kandungnya.

Mangsa dikatakan pernah dicabul ayah dan abang kandungnya itu sejak tahun lalu dan kejadian terakhir berlaku Jumaat lalu kira-kira jam 1 pagi di rumah mereka di Bukit Permai, di sini, apabila ayahnya sekali lagi mencabul pelajar malang terbabit.

Kejadian terbaru itu meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa yang akhirnya terpaksa menceritakan pengalaman keji itu kepada guru di sekolah sebelum dia dinasihati membuat laporan polis.

Susulan laporan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun dan anaknya berusia 17 tahun bagi membantu siasatan.

Menurut sumber polis, pelajar itu mendakwa perbuatan jijik itu berlaku ketika dia tidur apabila bapanya menggesel kemaluannya.

“Bagaimanapun, mangsa yang mula menyedari perbuatan itu adalah salah namun dia hanya mampu mendiamkan diri kerana terlalu takut dengan bapanya.

“Keesokannya, ketika di sekolah mangsa yang sudah tidak dapat memendam rahsia itu menceritakan kejadian kepada guru dan dia membuat laporan polis,” katanya.

Sumber terbabit berkata, dalam laporannya mangsa mendakwa selain kejadian terbaru yang berlaku membabitkan bapanya, dia juga pernah menjadi mangsa cabul abang sendiri pada tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hasan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat mangsa.

Menurutnya, mangsa sudah dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital dan laporan menunjukkan dia tidak dirogol namun siasatan masih dijalankan sama ada pelajar terbabit benar-benar dicabul bapa dan abangnya.

“Berikutan itu, dua beranak terbabit ditahan dan bapanya kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan manakala abang mangsa akan dibebaskan kerana dia bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Siasatan mendapati, bapa mangsa mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah yang pernah dilakukannya sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan yang berlaku di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Ampang, di sini, seorang remaja lembam menjadi mangsa cabul beberapa lelaki ketika dia dalam perjalanan pulang selepas mengaji al-Quran di tingkat 12 pangsapuri terbabit.

Bapa remaja berusia 18 tahun itu pada mulanya hairan kerana anaknya tidak pulang rumah selepas tamat mengaji kira-kira jam 9 malam.

Menurut sumber polis, lelaki terbabit dan isterinya yang risau keselamatan anak mereka mencari di sekitar kawasan berkenaan sebelum remaja itu ditemui kira-kira dua jam kemudian di tingkat lapan pangsapuri berkenaan.

“Remaja terbabit ditemui dalam keadaan ketakutan dan ketika ditanya dia hanya mampu memberitahu yang dia dibawa ke sebuah rumah yang mempunyai tiga lelaki.

“Bagaimanapun, dia tidak dapat mengingati rumah yang didakwanya itu kerana dia mempunyai masalah lembam,” katanya.

Menurutnya, tidak lama selepas dibawa pulang, remaja terbabit menceritakan kepada adik perempuannya yang tubuhnya diraba sekumpulan lelaki dalam rumah itu.

“Adik perempuannya memberitahu bapa mereka sebelum lelaki terbabit membuat laporan polis kerana khuatir anaknya menjadi mangsa rogol.

“Bagaimanapun, pemeriksaan doktor mendapati mangsa tidak dirogol dan polis kini masih menyiasat dakwaan remaja itu yang mengatakan dia dicabul sekumpulan lelaki,” katanya.

No comments:

Post a Comment